Tuesday, May 31, 2011

SANTAPAN MINDA





Photo credit: birdhealthy.com

TAKUT HANTU
ATAU TAKUT TUHAN?

PENERBIT filem di Malaysia semakin gemar memilih genre seram. Pada tahun ini, 13 daripada 31 filem-filem yang tersenarai setakat Oktober tahun ini di laman web Finas adalah filem-filem seram. Inilah jumlah genre filem seram yang paling tinggi dalam sejarah industri filem di negara ini.

Pada tahun lepas hanya tujuh daripada 29 filem yang ditayang adalah filem-filem seram, berbanding dengan lapan daripada 27 filem (2009), lima daripada 28 filem (2008), tujuh daripada 28 filem (2007), tiga daripada 28 (2006) dan tiga daripada 23 filem (2005).

Mengapakah genre filem-filem seram semakin menjadi pilihan para pendokong industri filem? Jawapan yang selalu kita dengar dan tahu mengikut kefahaman banyak ialah, genre filem seram dipilih kerana mendapat sambutan penonton. Jika diputar logiknya, ia bererti, selagi filem-filem seram mendapat sambutan, selagi itulah genre tersebut menjadi pilihan.

Benarkah mengikut hukum dunia perniagaan, kita seharusnya menumpukan kepada apa yang diingin oleh pelanggan? Ya dan tidak. Saya berkata ‘ya’ dan ‘tidak’ bersandarkan kepada dua pendekatan pemasaran. Jawapan ‘ya’ ialah pendekatan pertama yang percaya bahawa sesuatu produk yang mendapat sambutan itu harus diperbanyakkan. Ertinya, filem seram diperbanyakkan kerana ia mendapat sambutan ramai.

Jawapan ‘tidak’ pula adalah pendekatan kedua yang percaya bahawa sesuatu produk yang belum mendapat sambutan sesiapa pun, berpotensi mendapat sambutan ramai dan menguntungkan. Banyak sekali contoh-contoh melalui pendekatan kedua dapat kita lihat pada hari ini.

Kita ambil saluran televisyen sebagai contoh. Dahulu, mereka di dalam industri penyiaran tidak terbayang rancangan agama boleh mendapat sambutan penonton. Apabila muncul Forum Perdana di RTM1, sambutan para penonton cukup hebat. Rancangan bicara agama yang mengetengahkan tokoh-tokoh agama itu menjadi bualan dan pilihan ramai.

Kemudian, apabila Media Prima memperkenalkan TV9 yang berimejkan Islam, saluran itu mendapat sambutan. Mulalah timbul keyakinan bahawa ada segmen pasaran yang menyukai rancangan berbentuk Islami. Tidak lama kemudian, Astro memperkenalkan Astro Oasis. Dan kini, TV Hijrah pula bersiaran. Jumlah penontonnya akan bertambah apabila ia dipancarkan melalui saluran Astro mulai hari ini. Fenomena ini menunjukkan bahawa produk baru boleh mencipta segmen pasaran yang baru.

Di dalam dunia penerbitan bercetak pula, kita lihat bagaimana format majalah wanita sebelum ini hanyalah untuk wanita yang berkeluarga atau berkerjaya. Utusan Publications menerbitkan majalah Wanita, Berita Publishing dengan Jelita dan Kumpulan Karangkraf dengan majalah Nona.

Banyak penerbit lain menggunakan format wanita berkeluarga dan berkerjaya untuk konsep majalah wanita terbitan masing-masing. Seolah-olah itulah format yang diingini oleh para pelanggan. Tidak lama kemudian, apabila Kumpulan Karangkraf menerbitkan majalah Midi untuk wanita 40an, rupa-rupanya terdapat golongan wanita yang ingin membaca hal-hal wanita separuh usia. Akhirnya majalah Midi mendapat sambutan ramai.

Justeru itu, kepercayaan pertama bahawa sesuatu produk itu akan laris kerana ia diminati pelanggan bertentangan dengan realiti kedua iaitu sesuatu produk yang belum ada di pasaran sebelum ini boleh mencipta pelanggan yang baru. Realiti kedua lebih berisiko tetapi pulangannya lebih tinggi.

Berbalik kepada genre seram yang semakin mendapat perhatian para penerbit, sudah sampai masanya mereka beralih kepada genre yang lain atau sekurang-kurangnya mengubah formula bahawa ‘filem seram itu adalah filem hantu.’ Sebenarnya genre seram berkait rapat dengan fobia. Terdapat beratus-ratus jenis fobia yang boleh diambil sebagai tema sesebuah filem.

Aquaphobia; takutkan air, astraphobia; takutkan kilat, autophobia; takut bersendirian, gynophobia; takutkan perempuan, homophobia; takutkan darah, pediophobia; takutkan anak patung, philophobia; takutkan cinta dan somniphobia iaitu takut tidur adalah di antara beratus-ratus fobia yang boleh menjadi rencah pembikinan filem seram.

Yang pasti, filem-filem seram bertemakan pelbagai fobia itu lebih bermakna dan lebih thrill daripada filem seram yang menjadikan hantu sebagai watak utama. Tak payahlah perbanyakkan cerita hantu kerana kita mahu penonton takutkan Tuhan, bukannya takutkan hantu!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.6.2011.

Tuesday, May 24, 2011

MENUNGAN DAN RENUNGAN



GENERASI MERDEKA
YANG TERLUPA

PETANG kelmarin, saya menghadiri satu perjumpaan ramah mesra di antara Kementerian Dalam Negeri dan ketua-ketua pengarang media cetak dan elektronik, di Putrajaya. Perjumpaan itu diraikan oleh Ketua Setiausahanya, Dato’ Sri Mahmood Adam. Di antara intipati pertemuan itu adalah ingatan pihak kementerian agar media terus menjaga keharmonian kaum dan agama dalam penyampaian berita.

Biasalah. Dalam pertemuan untuk membincangkan hal-hal penerbitan dalam konteks keselamatan negara, soal-soal sensitiviti agama dan kaum menjadi topik yang disentuh pihak kementerian. Namun, mereka yang hadir menyokong sepenuhnya saranan yang disampaikan oleh KSU kementerian sebagai panduan dan sempadan.

Setelah majlis tamat, saya berasakan tiada perkara baharu yang dibincangkan. Dengan KDN, itulah hal yang lazim disentuh pada setiap pertemuan. Perasaan jadi hambar dan fikiran saya lebih tertumpu kepada terbitan Sinar Harian kerana hari sudah menjelang senja. Mesyuarat memilih tajuk berita esok untuk lapan edisi Sinar Harian mesti diadakan sebelum maghrib.

Selepas Mesyuarat Senja Sinar, saya membuka e-mel daripada Chan Ee Mei, rakan sekelas saya daripada darjah satu hingga tingkatan lima. Ee Mei adalah di antara rakan yang tegas, lantang dan pandai. Oleh kerana berpersonaliti begitu, dia selalu dilantik sebagai ketua darjah. Di sepanjang zaman persekolahan, Ee Mei menjadi ketua darjah saya lebih daripada lima kali. Saya tidak ingat pada tahun-tahun apa, tetapi kerap jugalah dia menjadi ketua darjah.

Hubungan kami terputus setelah tamat persekolahan. Namun, dua tahun lalu, melalui beberapa orang teman sekolah, kami bertemu semula di majlis Class of 1974, Sekolah Menengah Sri Mersing. Suasana di dewan Hotel Seri Malaysia, Mersing jadi riuh rendah pada malam itu. Kami semua daripada pelbagai kaum dan agama bercerita kisah-kisah lama dengan penuh nostalgik. Kami bergurau senda seperti bebudak sekolah.

Pada pertemuan itu, Ee Mei dilantik menjadi koordinator kumpulan kami. Dan sebagai koordinator, beliau berjaya mengumpul segala maklumat terkini berupa alamat, nombor telefon dan pekerjaan semua rakan-rakan Class of 1974. Maklumat itulah yang dikirim Ee Mei kepada saya.

Tatkala menatap e-mel itu, saya terkenang kembali, betapa seronoknya kami di zaman persekolahan. Ketika di sekolah rendah, kami bermain police and thief, belon acah dan teng-teng. Di luar waktu sekolah, kami berkayuh basikal ke merata daerah.

Apabila di sekolah menengah, ramai di antara kami menyertai pasukan pengakap. Kami berkhemah, makan dan tidur baring, bersama. Kenakalan sebagai pelajar seperti meniru kerja rumah dan membaca komik ketika cikgu mengajar adalah kenangan yang tidak dapat dilupakan. Kami bukan setakat berkawan sesama kami, malah kenal adik-beradik dan ibu bapa masing-masing.

Apabila saya menutup e-mel itu, satu perasaan yang lain pula muncul. Layar minda saya memaparkan kembali pertemuan di KDN pada siangnya. Saya teringat, rata-rata ketua-ketua pengarang yang hadir itu berusia lebih daripada 50 tahun. Ertinya, mereka adalah generasi merdeka. Seperti saya, mereka juga melalui tahun-tahun 60an hingga 70an di mana pergaulan di antara kaum dan agama ketika itu lebih terbuka dan lebih bertoleransi.

Malah, sebahagian besar daripada mereka yang menjadi peneraju dalam pelbagai bidang, samada sebagai penjawat kerajaan, ahli politik, tokoh korporat, usahawan dan ramai lagi, terdiri daripada mereka yang telah melalui zaman yang tenang lagi indah dalam keharmonian, keseronokan dan kenikmatan hidup sebagai anak Malaysia yang merdeka.

Tidak kira Melayu, Cina, India mahu pun Sikh, mereka bermain dan belajar bersama tanpa sempadan-sempadan minda yang menjadikan mereka berfikiran rasis mahupun mendabik-dabik dada beretorik mengenai agama masing-masing seperti hari ini. Generasi merdeka ini faham batas dan pantang larang bangsa dan agama lain.

Setelah melalui zaman yang begitu terbuka dan bertoleransi, mengapa pula terdapat di antara mereka daripada generasi merdeka yang terikut-ikut dan terheret dengan pelbagai prasangka? Mereka terpengaruh dengan apa yang dikenali sebagai kebebasan bersuara sehingga kerap terbabas dalam menyuarakan kehendak masing-masing tanpa berlapik lagi kerana terlupa mereka sebenarnya telah meruntuhkan apa yang mereka sendiri telah bina selama ini.

Generasi merdeka yang menguasai pelbagai sektor pembuat dasar seharusnya mengenang kembali kawan-kawan sekolah dan sekampung dari pelbagai bangsa dan agama yang sama-sama bermain dan belajar untuk hidup dalam harmoni. Kalau kita bertemu mereka, apakah kita akan bercakap dengan lantang dan celupar tanpa mengambil peduli sensitiviti agama dan kaum? Kalau kita sayangkan mereka sebagai teman-teman, pasti kita tidak akan membiarkan hati mereka terluka.

Maka peringatan KDN mengenai pentingnya keharmonian kaum pada petang kelmarin jadi bererti sebagai renungan dan menungan.


Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.5.2011.


Photo credit: blogtamingsari.blogspot.com

Tuesday, May 17, 2011

MENJAGA NAWAITU PERJUANGAN





Photo credit: islambestreligion.wordpress

APABILA TERALIH
KOMPAS PERJUANGAN

DIA sudah berbeza daripada dahulu. 25 tahun lalu, Razif suka berpakaian batik lengan panjang, berseluar slek dan bercapal. Sama ada siang mahupun malam, itulah pakaian Razif. Pakaiannya itu sekali gus sesuai untuk ke kuliah, mesyuarat persatuan mahupun untuk ke surau. Sebagai seorang aktivis pelajar, itulah identitinya.

Saya tidak menyangka menemuinya ketika minum-minum sebelum bermula sebuah seminar perniagaan baru-baru ini. Razif sudah berkot dan bertali leher. Kasutnya lebih berkilat daripada mereka yang berada di sekelilingnya termasuklah kasut saya.

Gaya berjalannya sudah berubah sama sekali. Tidak pantas dan lincah seperti dahulu. Sebaliknya, aturan langkahnya perlahan dan tersusun setapak demi setapak. Nampaknya, Razif amat menjaga penampilannya.

Dan, yang berbeza sekali, Razif sudah tidak lagi bercakap mengenai perjuangan bangsa, menegak demokrasi, keadilan, kebebasan bersuara, meritokrasi, anti nepotisme dan kronisme seperti ketika dia menjadi pemimpin pelajar dahulu.

Sebaliknya kini, Razif hanya bercakap mengenai aktiviti perniagaannya. Istilah ekonomi, saham, bajet, bon, kewangan, comparative advantage, competitive advantage, market force, new trade theory, return of investment, outward investment, systemic risk dan entah apa-apa lagi yang saya sudah lupa. Pendek kata, perbendaharaan jargonnya adalah mengenai duit, duit dan duit.

Ke mana pergi perjuangan yang menjadi idealismenya selama ini? Saya tidak tahu dan tidak mahu bertanya Razif. Cukuplah saya mencari jawapannya dengan berfikir sendiri. Secara peribadi, saya berasakan kenalan saya ketika di kampus itu sudah hilang kompas perjuangan untuk masyarakatnya. Yang tinggal hanyalah perjuangan untuk tembolok diri dan mereka di sekelilingnya.

Perjuangan untuk diri semata-mata tidaklah salah. Yang silap ialah, beliau telah teralih kompas perjuangannya kerana tidak jelas, mengapakah beliau bermati-matian berjuang untuk masyarakat dan negara utopianya ketika di kampus dahulu.

Seseorang siswa boleh sahaja berubah niat dan minat terhadap idealismenya sebaik sahaja meninggalkan alam kampus. Komitmen kerja, keluarga dan rumah tangga boleh sahaja mengubah prioriti perjuangannya ke tangga tercorot.

Begitu juga, seorang aktivis politik yang gah dan gagah berjuang boleh tersasar kompas perjuangannya apabila menyandang jawatan, dikurniakan pangkat dan di kelilingi pelbagai peluang untuk menghimpun harta.

Kakitangan kerajaan yang baru bertugas tentu sekali sudah diorientasi dengan pelbagai panduan dan etika institusi yang dianggotainya. Begitu juga mereka yang mula bekerja di syarikat swasta akan dibekalkan dengan visi dan misi syarikat yang menjadi perjuangan entiti tersebut.

Namun, mengapa pula setelah bertugas, dugaan-dugaan seperti diketepikan daripada kenaikan pangkat, berselisih faham dengan ketua dalam soal-soal kerja atau kerana tidak menerima bonus tahunan, seseorang itu terus terlupa asas perjuangan sebagai warga kerja syarikat. Ada yang bukan sahaja terus merajuk tetapi terdapat mereka yang mensabotaj syarikat dengan tidak melakukan kerja dengan baik.

Mengapa perjuangan mula luntur? Mengapa idealisme yang dijunjung layu dan gugur dari sanubari hingga ada yang meninggalkan perjuangan kerana dirasakan tidak memberi makna kepada kehidupan diri masing-masing? Saya mendapat sedikit jawapan daripada buku Khalid ibn al-Walid: Sword of Allah tulisan A.I.Akram.

Khalid adalah seorang komander dan strategis peperangan. Beliaulah yang mengalahkan tentera Islam dalam peperangan Uhud. Beliau jugalah yang mengepalai beratus-ratus peperangan setelah beriman. Semangatnya kental, tindakannya jitu, prinsipnya teguh sekali.

Pada suatu ketika, beliau telah dilucut jawatannya oleh Omar al-Khattab pada 638 tahun Masehi, sebagai ketua panglima perang dan digantikan dengan Abu Ubaidah Al-Jarrah. Khalid tidak merajuk dengan Umar yang memecatnya. Sebaliknya dia akur, patuh dan taat dengan perintah itu dan memfokus fikirannya terhadap jihad.

Di antara kata-katanya setelah beliau dipecat ialah: "Tatkala hujan malam, aku berdiri dengan pedang dan perisai di tanganku… melihat dan melihat lagi ke ufuk timur, menanti fajar agar aku dapat memulakan pertempuran.”

Apakah pegangan perjuangannya jika tidak kepada Allah S.W.T yang satu? Apakah pegangan perjuangan kita yang hilang baranya kalau tidak kerana nawaitu perjuangan yang bercampur-aduk, bersimpang-siur dan pelbagai? Oleh kerana ia kehendak yang bermacam-macam, ia jadi caca marba dan hilang ditelan waktu seperti debu yang ditiup angin pantai di malam hari.

Sebaliknya, perjuangan kerana Allah S.W.T akan kekal ketika berkumpulan mahupun bersendirian. Seperti komando yang berseorangan pun, perjuangan kerana Yang Maha Esa menjadikan kita individu yang cekal dan kekal.

Seperti kata seorang sahabat,
“Jadilah benih yang baik…
jatuh ke laut menjadi pulau;
terdampar ke darat menjadi bukit;
tercampak ke langit menjadi satelit!”



Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.5.2011.

Tuesday, May 10, 2011

KERANA MULUT BADAN BINASA




Photo credit: freakingnews.com



BILA BERCAKAP
IKUT
SEDAP MULUT

DALAM menjalankan tugas di Sinar Harian, ada ketikanya saya meneliti dokumen rakaman sidang akhbar tokoh-tokoh politik, pegawai kerajaan, personaliti perniagaan, para pemimpin NGO, selebriti dan juga orang awam. Rakaman berbentuk video, foto mahupun rakaman suara daripada MP3 dan telefon bimbit adalah di antara dokumen yang saya semak sebelum disiarkan, khususnya visual mahupun audio yang terdapat unsur-unsur sensitif. Ini tidak termasuk laman web, blog, Facebook dan Twitter kepunyaan individu-individu berkaitan yang saya ikuti.

Sebagai akhbar yang menjadikan laporan yang telus dan tulus sebagai kompasnya, Sinar Harian cuba mengelak daripada menerbitkan kenyataan-kenyataan yang berbentuk mencaci, menghina, mengata seseorang ke atas seseorang yang lain. Sudah tentu amat sukar Sinar Harian mengenalpasti andainya apa yang diperkatakan oleh seseorang itu berupa pembohongan mahupun fitnah pada ketika ia dituturkan sehinggalah kata-katanya itu disangkal oleh pihak lain bersama pelbagai bukti pada waktu atau hari berikutnya.

Seboleh mungkin, pihak editorial Sinar Harian, mengenepikan cakap-cakap individu yang orang sekarang kata; bermulut laser. Sebaliknya hanya menerbitkan kata-kata yang keras tetapi berlapik. Ia bertujuan agar kata-kata yang kasar dan kesat tidak menjejaskan bukan sahaja orang yang dikata, malah batang tubuh orang yang mengata itu sendiri. Bayangkan, andainya kami terbitkan kelancangan kata-kata sesetengah individu, tentu dia ‘masak’ dikritik orang. Pada waktu yang sama, kami tidak mahu para pembaca tidak fasal-fasal naik darah hanya dengan membaca tulisan. Ia tidak kena dengan tujuan akhbar sebagai penyampai maklumat, berita mahupun cerita. Bukannya penyebar umpat yang keji.

Kerja meneliti sesuatu kenyataan yang panas, sememangnya sukar. Dalam pada mengedit, kami tidak mahu membuang atau menokok tambah kata-kata seseorang itu mengikut tafsiran kami. Tentu sekali, kami tidak mahu memanipulasi kenyataan seseorang itu untuk melariskan akhbar. Yang penting, kami sentiasa mengelak daripada terjebak di tengah-tengah episod polemik mereka yang bertelagah sehingga seolah-olah melaga-lagakan mana-mana pihak.

Namun, masya-Allah. Ada juga individu yang selamba bercakap sesuatu yang celupar hari ini tetapi menafikan apa yang diperkatakannya pada keesokan hari seolah-olah para wartawan yang bertanya dirinya itu tersalah tafsir atau misquote apa yang disebut. Kita bukan berada di zaman wartawan menggunakan trengkas di buku nota untuk merakam ucapan.

Wartawan pada era itu mungkin sekali tersalah tulis kerana tersalah dengar atau tersalah tafsir. Tapi pada hari ini, wartawan merakam menggunakan MP3 atau telefon bimbit yang turut mempunyai fungsi video. Alat perakam pada hari ini bukan seperti tape recorder pada tahun-tahun 80-an yang hanya tahan 60 minit, tetapi berjam-jam. Dan, bahan yang dirakam dapat terus dihantar secara dalam talian ke meja Editor kurang seminit untuk disunting.

Malang sekali bila kata-kata yang dirakam oleh wartawan dinafikan oleh seseorang ahli politik, misalnya. Bahkan ada yang berani pula menggertak untuk menyaman surat khabar yang kononnya tersilap tulis. Tidak terfikirkah, wartawan pada hari ini mempunyai peralatan yang canggih untuk merekod. Mereka juga menyimpan segala audio visual agar tidak timbul masalah sekiranya pihak yang bercakap ingin mengambil tindakan undang-undang.

Wartawan adalah juga penyimpan rahsia. Banyak rahsia yang disimpan mereka dari pengetahuan orang ramai kerana mereka faham manusia yang menjadi public figure adalah juga manusia biasa. Mereka juga ada belas kasihan. Kalau mereka jenis manusia yang suka mengirai apa yang mereka peroleh, ramai public figure tidak akan berani untuk angkat muka lagi.

Begitulah bahayanya lidah. Apabila lidah menguasai fikiran, kerana mulut badan binasa. Ada orang yang bercakap tanpa berfikir, berkata tanpa menapis dan bertutur tanpa henti. Apabila sebaris mikrofon sudah tersusun di atas meja, dan lampu lensa kamera berkerlipan seperti lampu lip-lap, bulu tengkuk berdiri kerana semangat mula bersarang di hati.

Namun, setelah masa berlalu dan fikiran waras kembali menguasai minda, baharulah sesal mendatang. Di kala itu, ego pula yang menguasai fikiran. Ucapan maaf tidak mahu dilafazkan. Sebaliknya emosi menunjal hati agar tidak mengaku pula segala salah yang telah dihamburkan. Sebaliknya, pelapor pula yang dipersalahkan sehinggakan orang ramai terpengaruh untuk membunuh si pembawa berita. Don’t kill the messenger, kata Shakespeare.

Daripada Sahl bin Saad: Rasulullah saw bersabda ”Sesiapa yang dapat memberi jaminan kepadaku bahawa dia akan menjadi apa yg berada di antara dua janggutnya (misai dan janggut ~ lidah) dan apa yang ada antara kedua kakinya (alat kelamin) maka aku jamin syurga kepadanya.” (Bukhari: 314 dan Tarmizi:2408)


Artikel ini terbit di Sinar Harian pada 11.5.2011.

Tuesday, May 3, 2011

ANTARA REALITI & FANTASI



Photo credit: movies-berkquinlanasher.blogspot

MENYUKAI
PENGHIBUR

BIAR BERPADA

HIBURAN
daripada segi definisinya adalah apa jua aktiviti yang membolehkan kita menggembirakan hati pada waktu senggang. Hiburan terbahagi kepada tiga, iaitu jenis pasif seperti menonton teater dan wayang, jenis aktif seperti sukan atau berekreasi, dan yang boleh dilakukan bersendirian seperti membaca dan bermain alat muzik. Ia dinamakan hobi.

Namun, kita pada hari ini mendefinasikan hiburan sebagai aktiviti yang terjurus kepada menonton wayang, televisyen, teater, konsert atau mendengar lagu. Jelas sekali, kita sudah memperkecil makna hiburan dengan aktiviti hiburan pasif iaitu menikmati seni persembahan. Walau pun skopnya kecil, pengaruh hiburan terhadap kita adalah besar sekali. Kehidupan kita pada hari ini bukan setakat disulami dengan hiburan, malah sudah tenggelam di dalam lautan hiburan sehingga ada di antara kita sudah menjadi manusia hedonis ~ manusia yang suka berseronok di sepanjang masa.

Tidak cukup dengan itu, kita bukannya setakat membayar untuk berhibur seperti membayar sewa siaran televisyen, tiket wayang, konsert ataupun harga sebuah CD; sebaliknya kita pergi lebih jauh daripada itu dengan mengambil tahu hal-hal peribadi para penghibur itu sendiri. Kerana itu, kita telah melangkaui tujuan asal berhibur kerana kita mula mengambil tahu hal-hal peribadi penghibur hingga ia dimasuk campur kehidupan kita sendiri; bukan setakat mereka sebagai penghibur hati di kala masa luang.

Tentu sekali, ada ketikanya kesan lakonan seseorang penghibur itu membuatkan kita suka mahupun benci kepadanya. Kita terkeliru di antara fantasi dan realiti iaitu fantasi watak yang dibawanya dengan realiti diri penghibur itu sendiri. Sedangkan mereka hanya melakonkan watak itu.

Sama juga situasinya apabila kita cuba berlawak dengan pelawak yang menghiburkan kita dalam siri televisyen apabila terserempak dengannya di pusat membeli-belah. Mana mungkin mereka melayani kita sebagai pelawak kerana mereka melawak ketika bekerja. Habis kerja, mereka manusia normal seperti kita. Sebagai manusia biasa di dunia realiti, mereka juga perlu serius di dalam menjalani kehidupan.

Terkeliru di antara dunia realiti dan fantasi inilah yang membuatkan kita menerap acuan minda terhadap seseorang penghibur itu. Kita telah membina dan meletakkan satu standard apakah dia seseorang penghibur yang bagus, apakah dia penghibur yang tidak bagus. Malangnya piawaian yang kita terapkan ke atas mereka adalah piawaian mereka sebagai manusia, bukannya piawaian sebagai penghibur.

Kerana itulah kita bukan setakat marah dengan kelakuan mereka yang bertentangan dengan nilai kita, tetapi sehingga ke peringkat mencaci, menghina malah berkempen untuk membenci seseorang penghibur itu. Malah, kita meneropong kehidupan peribadi mereka untuk mengetahui apa yang mereka lakukan. Siapa kita untuk menilai kehidupan peribadi mereka?

Kalaulah kita menjadi mereka dan kehidupan kita sentiasa diteropong, kita juga punyai aib seperti mereka kerana kita manusia biasa. Sekarang, kita berasa selamat kerana orang lain tidak tahu aib kita kerana kita tidak glamour berbanding penghibur-penghibur tersebut. Entah-entah aib kita lebih buruk.

Mengapa kita suka membaca, melihat dan menyebarkan keaiban penghibur? Saya percaya ia menjadi satu kegemaran kerana lambakan cerita dari sumber, gosip dan juga fitnah yang ditatap di media cetak, elektronik dan alam siber. Akibat banyaknya cerita-cerita sebegitu, ia melarat menjadi satu tabiat menjaga tepi kain orang yang sia-sia, malah memberi ruang untuk mengumpul dosa.

Apa yang penghibur lakukan adalah kehidupan peribadi mereka. Kalau ada yang tidak betul pun, itu adalah mereka sebagai manusia. Apa hak kita untuk menegur mereka hingga menulis perkara yang buruk tentang mereka dan menyebarkannya? Lainlah andainya mereka adalah kenalan rapat atau saudara kita sendiri.

Walaupun kita menyukai seseorang penghibur itu, cukuplah setakat menyukai hasil karya mereka. Tidak perlu ke peringkat menggilai mereka apabila menyukai atau memusuhi mereka tatkala membenci. Penghibur kerjanya menghibur. Itulah cara mereka cari makan.

Kalaupun mereka bertemu kita dalam satu-satu majlis, itu adalah pertemuan penghibur dengan peminat. Di saat itu, kita adalah peminat yang paling disayanginya. Namun, jangan perasan. Kalau kita bertemu mereka sepuluh minit kemudian, jangan terkejut jikalau mereka sudah tidak mengenali kita. Jangan pula kita merajuk dengan mereka. Bukankah selama ini kita membayar kepada mereka sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk dihiburkan mereka? Sebagai pembeli, kita hanya perlu mencari penghibur yang lain kalau kita sudah tidak sukakan seseorang penghibur itu.



Tidak perlulah menyayangi atau membenci mereka
seolah-olah kita ada punyai hak ke atas batang tubuh mereka.



Artikel ini akan terbit di Sinar Harian 4.5.2011.