Wednesday, March 30, 2011

TUMANINAH DALAM KEHIDUPAN


Photo credit: cintailahi.com


REHATKAN MINDA

SEBELUM BERTINDAK


SYUKUR ke hadrat Illahi. Tengah hari semalam, saya selamat pulang ke tanah air setelah selesai menyempurnakan ibadah umrah. Daripada pelbagai segi, ibadah yang telah saya jalani ini memberi erti yang lebih mendalam berbanding dengan ibadah haji yang telah saya tunaikan beberapa tahun yang lalu. Pelbagai insiden berbeza berupa ujian, pengajaran dan sempadan telah saya alami apabila melaksanakan umrah, berbanding dengan ketika menunaikan haji.


Yang manis ialah bila mana saya dan seorang jemaah Turki bertukar-tukar kupiah sebagai kenangan, yang kelakar ialah bila saya beristighfar panjang melihat seorang nenek yang bongkok 90 darjah, yang bertongkat dan berpimpin melintas di depan saya. Namun sebaik sahaja beliau melepasi saya, beliau terus berjalan tegak sambil tergelak-gelak dengan kawannya. Ada juga nenek tua yang menggunakan taktik begitu untuk memancing simpati saya. Tak mengapa, saya maafkan nenek!


Yang cemas ialah bila mana hidung saya berdarah banyak sekali akibat kepanasan ketika berpakaian ihram. Mujurlah mutawwif meminjamkan kain ihramnya sebagai ganti. Yang tidak seronok ialah kerana saya kehilangan salah sebuah beg ketika perjalanan daripada Madinah ke Mekah. Beg itu mengandungi pelbagai barangan, di antaranya ubat-ubatan, kain ihram dan charger telefon. Selama tiga hari jugalah fikiran saya terganggu sehinggalah beg itu ditemui oleh pihak pengurusan umrah.


Dan yang membuat saya kecewa ialah bilamana saya cuba dikelentong oleh seorang lelaki negara jiran yang ingin menjual tasbih kayu kokanya ketika saya sedang beriktiqaf. Mengapa ada orang seberani sebegini? Dia bagai tiada ihsan kerana tidak sedar akan kehadiran Yang Maha Melihat. Bersolat berjemaah di Masjidilharam adalah suatu ujian besar bagi saya kerana di Malaysia, saya jarang sekali pergi ke masjid sebelum azan kecuali solat Jumaat. Jemaah yang ramai dan kekuatiran tiada ruang bersolat membuatkan saya berada di masjid lebih sejam sebelum azan.


Bersolat dengan pak imam yang membaca surah-surah yang panjang pula cukup mencabar kesabaran saya. Ketika bersolat pun, hati selalu mengharap agar biarlah pak imam membaca surah-surah yang pendek. Namun, pak-pak imam di Masjidilharam ini membaca surah yang panjang-panjang, terutamanya solat subuh. Banyak kali saya sudah bersedia untuk rukuk, apabila pak imam menghabiskan bacaan sesuatu ayat. Tetapi bacaannya disambung lagi setelah itu hinggakan saya mengeluh di dalam hati. Ah, betapa lemahnya hati ini daripada godaan untuk bersegera dan gopoh.


Tetapi setelah beberapa waktu bersolat, saya mula menerima situasi dan suasana berjemaah di Masjidilharam. Mungkin juga kerana terpaksa berdiri lama mendengar bacaaan ayat-ayat suci al-Quran, lama-lama saya berasa seronok bersolat. Apabila merenungi ketika menanti waktu solat berikutnya, saya menyedari, perlakuan sesuatu aktiviti yang lama sedikit daripada biasa itu menimbulkan fokus di fikiran. Fokus inilah yang membuatkan hati jadi tenang.


Dan ketenangan ini saya rasai apabila pak imam mengajak makmumnya bertumaninah. Tumaninah dalam solat di Masjidilharam, ketika iktidal dan duduk di antara dua sujud agak lama tempohnya. Biasanya tumaninah atau rehat seketika ini melebihi lima saat sebelum diikuti dengan sujud. Oleh kerana tempoh yang panjang sedikit inilah, saya berasa lebih tenang dan lebih relaks bersolat. Pada saat ini, minda seperti mampu menghentikan gangguan-gangguan ketika solat.


Tentu sekali saya tidak bermaksud untuk menyatakan bahawa solat yang punyai sedikit tempoh tumaninahnya sebagai tidak khusyuk. Ataupun untuk mengheboh-hebohkan yang solat saya kini sudah lebih baik. Siapalah saya dan apalah sangat ilmu yang saya ada?


Namun, apa yang saya ingin kongsikan ialah, betapa tumaninah ini bagus apabila diaplikasikan di dalam kehidupan sehari-hari. Banyak sekali saat-saat di dalam kehidupan memerlukan kita bertumaninah sebelum melakukan sesuatu. Sebelum bercakap dan sebelum bertindak, berikan masa lima saat untuk tumaninah. Masa rehat minda yang sedikit itu akan menghasilkan tindakan yang lebih jitu.


Tersalah cakap, terlepas cakap, tersasul dan bercakap siang tidak pandang-pandang tentu sekali terjadi kerana kita tidak memberi diri sendiri masa untuk bertumaninah. Tanpa berehat seketika sebelum bersuara atau bertindak, akibatnya besar sekali. Kesannya juga buruk sekali lebih-lebih lagi apabila kita berbohong.



Inilah yang dinamakan berfikir dua kali.

Pertama sebelum tumaninah, kedua selepas itu.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian, 30.3.2011.

Wednesday, March 23, 2011

PERSEPSI TERHADAP MASALAH


Photo credit: semisch11.wikispaces.com MASALAH KECIL & MASALAH BESAR HUJAN pagi turun lagi baru-baru ini. Langit yang gelap, angin dingin yang bertiup menyapu wajah dan tempias hujan di balkoni menggamit nostalgia. Saya teringat ketika zaman persekolahan dahulu. Hati melonjak-lonjak seronok apabila berjalan dengan payung kertas berwarna coklat. Oleh kerana saiznya yang lebih besar daripada tudung saji di rumah, saya memegang hujung payung agar ia tidak terkibar-kibar ditiup angin apabila berselisih dengan lori balak. Selalunya, sedang asyik menggenggam kaki payung agar tidak terlepas ditiup angin, seluar pula yang basah terpercik air lopak apabila lori balak merempuhnya. Bila ia terjadi, ia bukannya masalah. Saya akan tertawa dan terus menapak ke sekolah. Seluar saya akan kering sendiri kerana saya akan bermain police and thief sebelum kelas bermula. Apabila di sekolah menengah pun saya tetap akan berpayung. Tetapi kali ini sambil mengayuh basikal pula untuk ke sekolah. Saya tidak suka berbaju hujan kerana tak nampak macho. Lagipun, bau plastik baju hujan selalunya menyesak deria bau saya. Padahal, baunya lebih kurang sama dengan bau payung kertas yang berwarna coklat itu. Alasan. Pada hari ini, hujan yang turun cukup merisaukan. Fikiran berlumba-lumba membuat jangkaan. Jika saya berada di rumah, saya sudah terbayang akan lewat sampai ke pejabat kerana jalanraya pasti sesak. Fikiran mula mencongak, jalan atau lebuh raya manakah yang saya perlu lalui untuk mengelak kesesakan? Jika saya berada di pejabat pula, saya mula menjangka apakah perlu pulang awal atau menanti hingga hujan teduh untuk mengelak kesesakan? Jika pulang mengikut waktunya, apakah saya sempat tiba ke rumah sebelum maghrib? Andainya saya bertolak selepas maghrib, apakah jalan raya akan sesak juga jika ada pokok tumbang menghadang jalan? Begitulah kita. Semakin dewasa, kita kian serius menjalani kehidupan seharian. Apabila aral mendatang, fikiran kita tidak melihat ia sebagai peluang untuk berehat lalu menghadapinya dengan selamba. Sebaliknya kita melihat aral itu sebagai masalah yang akan merosakkan program. Kerana itu, apabila berdepan dengan halangan yang kecil pun, fikiran kita sudah melihat ia sebagai problem. Mungkin sekali pola pemikiran kita sudah keras dan statik kerana kita sudah lali mengharungi putaran kehidupan yang berulang-ulang hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan berganti tahun. Seolah-olah kehidupan kita sudah diprogram begitu rupa hinggakan kita akan panik andainya kelainan terjadi dalam kehidupan seharian kita. Terbangun pagi lewat 10 minit, anak terlupa flush tandas, Astro tidak bersiaran kerana hujan atau terlupa menggosok tudung untuk ke pejabat bisa membikin kecoh seisi rumah. Padahal, sekiranya kita terima aral-aral itu seadanya, ia bukan masalah besar. Sebenarnya mental kita boleh dilenturkan apabila menghadapi halangan-halangan kecil. Pokoknya kita mestilah sedia maklum bahawa apa yang kita rancang tidak semestinya menjadi walaupun kita telah berpuluh-puluh kali melakukan dengan jayanya. Bagaimana pun, oleh kerana kita sentiasa berjaya melakukan sesuatu, maka mental kita mempunyai tanggapan ia tidak mungkin gagal walau sekali. Andainya kita teringat kembali Murphy’s Law yang mengatakan, anything that can go wrong, will go wrong, maka kita akan sedar yang diri kita ini tidak sesempurna mana pun. Apabila mental kita tidak kaku kerana sudah dapat menerima segala aral kecil yang mendatang, tentu sekali ia memberi kesan terhadap emosi. Hormon adrenalin tidak mendadak keluar daripada ginjal hingga menyebabkan jantung mengepam darah yang akhirnya boleh membuat kita panik. Emosi yang terkawal itu akan menjadikan kita tenang. Ia bagus untuk kestabilan spiritual. Andainya kita dapat menangani masalah-masalah kecil yang berlaku, tentu sekali mental kita tidak penat dan akan bersedia untuk menghadapi masalah yang lebih besar. Pendek kata, kita mestilah memberi reaksi yang berpadanan dengan kadar masalah itu sendiri. Masalah-masalah kecil tidak perlu diambil peduli. Kalau pun ia ditangani, ia tidak perlu dihadapi dengan pendekatan serius dan penuh emosi. Sebaliknya masalah besarlah yang harus diambil perhatian dan didepani dengan berani. Andainya, masalah kecil ditangani seperti ia masalah besar, itulah melatah namanya.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.3.2011, insya-ALLAH...

Wednesday, March 16, 2011

SISTEM MENGATASI PANGKAT



Photo credit: core77.com

PEMIMPIN WAJIB
MENGHORMATI SISTEM

PADA ketika anda menatap artikel ini, insya-Allah saya sudah tiga hari berada di Kota Mekah menunaikan umrah. Sebagai Ketua Pengarang akhbar Sinar Harian, saya pergi dengan perasaan selesa dan yakin terbitan akhbar ini akan berjalan lancar.

Insya-Allah, lapan edisi Sinar Harian akan terbit setiap hari. Edisi Utara dan Edisi Perak akan diterbitkan di Prai, Pulau Pinang; Edisi Kelantan dan Terengganu diterbitkan di Pengkalan Chepa, Kelantan; Edisi Melaka/Negeri Sembilan, Pahang, Selangor/Kuala Lumpur diterbitkan di Shah Alam, Selangor sementara Edisi Johor diterbitkan di Senai, Johor.

Saya tahu, akhbar ini dikendalikan oleh sebuah pasukan yang terdiri daripada lebih 334 orang tenaga kerja yang cekap. Daripada lebih 140 wartawan daerah yang dikenali sebagai Skuad Cakna, hingga ke berpuluh-puluh Sub-Editor, Penolong Editor dan Editor, serta pasukan pengurusannya yang didokong berpuluh-puluh petugas percetakannya, saya tahu Sinar Harian akan sampai ke tangan anda tatkala sang mentari mula bersinar.

Sebuah akhbar yang dihasilkan oleh 334 tenaga tidak mungkin dapat terbit tepat pada waktunya tanpa koordinasi, kerjasama dan komitmen setiap anggota pasukannya. Inti kepada korodinasi ini ialah sikap saling hormat menghormati terhadap tugasan masing-masing.

Misalnya, seorang Sub-editor yang memperoleh berita yang tidak lengkap faktanya daripada seorang Skuad Cakna di Keratong, akan menghubungi wartawan tersebut untuk menggesanya mendapatkan maklumat tambahan. Sub-editor tersebut mungkin sekali 5 tahun lebih muda daripada Skuad Cakna tersebut. Tetapi demi melaksanakan tugas, Skuad Cakna itu akan terus menghubungi sumber beritanya bagi memperoleh maklumat tambahan.

Seorang wartawan yang ingin keluar daerah, yang mengemukakan borang penggunaan kenderaan untuk ke sesuatu tugasan, terpaksa akur dengan kehendak Kerani Jabatan Pentadbiran apabila borang yang diisi itu dikembalikan kerana tidak lengkap.

Malah, Editor Edisi akan mendengar pandangan seorang wartawannya agar berita yang diperoleh itu membatalkan siarannya kerana sumber maklumatnya menarik diri daripada bekerjasama. Malah, Pengarang Berita sekalipun akan akur dengan kehendak petugas IT agar mengirim semula halaman-halaman fail portable document format atau PDF seandainya ia bermasalah.

Siapa yang di atas dan siapa yang di bawah, siapa yang senior dan siapa junior, pangkat besar dan pangkat kecil sudah tidak mustahak di dalam melaksanakan tugasan. Siapa yang memberi arahan itu tidak penting. Yang mustahak ialah mematuhi sistem dengan akur oleh sesiapa sahaja demi produksi yang lancar. Justeru itu, saya sebagai ketua sudah tidak penting kerana sistem itu sendiri menjadikan seluruh organisasi berputar tanpa kehadiran saya.

Menghormati sistem dan bukan mementingkan siapa yang lebih berkuasa itu akan menjamin kelancaran perjalanan sesebuah organisasi. Setiap anggota pasukan tidak boleh berasa dirinya lebih berkuasa daripada sistem itu sendiri. Sikap mementingkan diri daripada kerangka sistem yang tersedia akan meruntuhkan seluruh jentera organisasi. Peranan ketua-ketua amat penting agar sistem di dalam organisasi itu berjalan lancar kerana sikap ketua-ketualah yang akan memberi kesan yang besar terhadap organisasi.

Kerana itu, seseorang ketua tidak boleh berasa dia indispensable atau tidak boleh diketepikan. Sikap ini akan membawa kepercayaan bahawa, organisasi itu akan runtuh tanpanya. Apabila dia berasa demikian penting terhadap organisasi, maka lama kelamaan dia akan menjelma menjadi little Napoleon. Little Napoleon dalam konteks ini adalah pemimpin kecil yang melanggar sistem yang akhirnya meruntuhkan organisasi kerana berasakan dialah manusia yang paling berkuasa.

Kita tahu banyak sekali little Napoleon di dalam jabatan kerajaan, parti politik, NGO, malah jawatankuasa surau yang melanggar sistem yang sepatutnya dihormati dan dipatuhi. Lebih buruk lagi apabila mereka menggunakan kedudukan untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati. Apabila berasa diri lebih hebat daripada sistem itu sendiri, dia ingin kekal berkuasa dan melekat di kerusi pangkat hingga berakar punggungnya.

Di peringkat yang lebih tinggi ialah para pemimpin yang melanggar sistem pemerintahan apabila berasa dirinya begitu penting. Seolah-olah wilayah kuasa pentadbiran dan pemerintahannya akan tumbang tanpanya. Walhal sebenarnya, dialah yang menjadi penyumbang utama keruntuhan organisasi, negeri mahupun negaranya kerana mengutamakan pangkat, bukan sistem itu sendiri. Pada hari ini, kita menyaksikan tumbangnya sistem dan organisasi kerana pemimpin-pemimpin yang tidak menghormatinya.




Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.3.2011, insya-ALLAH.

Tuesday, March 8, 2011

MENGHARGAI PELANGGAN


Photo credit: j2kfm.com

YANG TAK BERSELERA
DI MEDAN SELERA

KEMUNCULAN restoran-restoran masakan Melayu, mamak dan kopitiam adalah sesuatu yang membanggakan. Sebilangan daripada restoran-restoran itu telah menyaingi kehebatan restoran-restoran makanan segera mahupun bistro francais dari luar negara.

Ia menandakan golongan usahawan restoran di Malaysia sudah setanding dengan restoran-restoran luar negara daripada segi kualiti perkhidmatan, masakan dan juga kebersihan. Malah, adalah membanggakan bilamana beberapa jenama restoran Malaysia sudah mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara pula.

Di samping beratus-ratus restoran makanan yang moden dan maju ini, terdapat beribu-ribu pula restoran dan gerai masakan yang menyediakan masakan tempatan. Ada yang berniaga di bawah pokok, di bawah jejambat, di rumah-rumah kedai, malah berformat gerai di medan selera.

Meskipun membuka perniagaan di tempat yang tidak eksklusif, mereka masih cemerlang daripada segi perkhidmatan, kualiti masakan dan kebersihan. Mungkin, apa yang kurang ialah daripada segi wajah. Itu tidak mengapa, kerana masyarakat Malaysia tidak mengira sangat mengenai prestij. Lelaki yang bermercedes atau wanita yang menggalas jenama LV pun biasa sahaja duduk bersembang sambil memamah roti canai dan nasi lemak serta menghirup teh tarik dengan selesanya.

Tidak dinafikan, selain daripada usahawan restoran yang telah berjaya, dan yang akan berjaya, terdapat pula mereka yang susah hendak berjaya. Ini berpunca daripada sikap tuanpunya sendiri terhadap bidang yang diceburinya. Orang berniaga, dia pun berniaga. Orang lain berniaga makin maju, dia berniaga semakin haru. Sebabnya?

Yang pertama sekali ialah masakannya ada rupa, ada harga, tetapi tiada rasa. Kuahnya cair, ikan bawalnya hancur, udangnya lembik, bendirnya kenyal, ulam pegaganya layu dan pisang buat mencuci mulutnya bonyor. Orang lain buka restoran layan diri, dia pun begitu. Tetapi layan dirinya melebihi daripada restoran orang. Selain daripada melayan diri dengan mengambil hidangan, kita melayan diri dengan mengambil air minuman, sudu, garpu, kertas tisu dan akhirnya terkebil kebil di kaunter bayaran kerana melayan diri juga mengingat apa yang kita makan.

Ada juga restoran yang tidak mengamalkan konsep layan diri. Tetapi kita terpaksa pula melayan perasaan. Dengan perut yang berkeroncong kita memesan nasi goreng kampung. Gembiranya hati melihat si pelayan menatang hidangan yang dipinta. Namun, mata memandang terkulat-kulat apabila nasi goreng yang dipesan singgah ke meja sebelah. Kita pasti, pelanggan di meja sebelah baru sampai dan baru memesan. Tapi, apa nak buat andainya jika itu bukan rezeki namanya.

Ada juga kealpaan terjadi kerana lain yang kita pesan, lain yang dihidang. Apabila pesanan yang sebenar sampai, si pelayan tidak meletakkan makanan betul-betul di depan mata, tetapi jauh di tepi meja. Terpaksalah kita menjulurkan tangan untuk menggapai makanan. Itu pun mujur juga. Ada ketikanya nasi ayam yang dipesan tak sampai-sampai hingga lapar kita jadi kenyang semula. Tiba-tiba si pelayan datang dengan senyum simpul mengatakan ayamnya sudah habis dan hendak digantikan dengan telur ayam!

Pelayan yang terjerit-jerit ke arah dapur untuk memesan makanan adalah identiti kemeriahan restoran di Malaysia. Tetapi, wajarkah andainya jeritan itu seperti menengking hinggakan kita yang duduk di bawah batang hidungnya tiba-tiba boleh meningkat tekanan darah hingga 10 mata kerana terkejut? Ketika pelayan mengemas pinggan mangkuk, sudu garpu dan gelas, ia seharusnya dilakukan dengan tertib. Tidak boleh gopoh-gapah hingga ada gelas pecah berderai ke lantai dan menaikkan tekanan darah kita ke 10 mata lagi.

Kerusi dan meja tidak perlulah diletakkan rapat-rapat hingga kita berlaga kepala dengan pelanggan di kerusi belakang. Apakah dengan merapatkan kerusi dan meja, maka jumlah pelanggan akan bertambah, sedangkan yang lebih penting ialah pelanggan yang bertali arus. Ini bermakna, perkhidmatan yang pantas dan cekap lebih mustahak daripada suasana yang berhimpit-himpit kerana ia menyukarkan pergerakan pelanggan dan kelancaran perkhidmatan.

Gendang gendut tali kecapi. Kenyang perut suka hati. Seperti juga pepatah Sepanyol yang mengatakan perut itu menguasai minda, restoran yang menggembirakan pelanggan hingga kekenyangan akan membuatkan kita memilih untuk datang berulangkali ke restoran itu. Inilah yang rahsia mengembangkan perniagaan.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.3.20011, insya-ALLAH...

Tuesday, March 1, 2011

REDHA MENERIMA HUKUMAN


Photo credit: ieylafadzieyla.blogspot

BERANI BUAT
TAK BERANI TANGGUNG

DI WAKTU kecil, apabila awan gelap berarak di langit, saya akan terkinja-kinja kerana tahu hujan lebat akan turun. Mandi hujan adalah kegemaran saya dan kawan-kawan sebaya. Mandi air yang turun dari cucur atap sungguh menyegarkan. Airnya sejuk. Lebih seronok lagi bila dapat memanjat dan masuk ke dalam tong lege iaitu tong minyak tar yang tingginya separas dada setelah dipotong dua. Airnya sedingin ais.

Puas mandi, saya dan kawan-kawan akan pergi ke parit di belakang rumah. Air yang melimpah dari dalam parit, melimpahkan juga ikan sepat dan anak-anak ikan yang lain. Dengan menggunakan pungkis, iaitu bakul rotan yang digunakan untuk mengangkat sampah, kami akan menangguk ikan yang masuk ke dalam kebun. Semua ikan yang ditangguk akan dimasukkan ke dalam tin majerin.

TETAPI, setelah hujan berhenti, tibalah masanya untuk menuju ke muka pengadilan! Abah yang selalunya tahu saya ke parit dengan kawan-kawan akan menanti di tangga rumah. Sambil mencekak pinggang, abah akan memberitahu yang dia puas memanggil saya menyuruh pulang. Namun, siapa yang dapat mendengar laungannya yang ditenggelami bunyi deru hujan lebat?

Seperti biasa, dengan muka kasihan, saya akan naik ke rumah tanpa berkata apa-apa. Tanpa disuruh, saya akan menarik salah sebatang rotan yang terselit di dinding dan menghulur kepadanya. Biasanya rotan yang saya pilih adalah yang paling besar kerana rotan yang halus akan memberi kesan pedih sementara yang besar sedikit akan memberi kesan sengal.

Abah akan menyebat betis saya tidak lebih daripada lima kali, bergantung kepada tahap kemarahannya. Oleh kerana saya selalunya diam ketika menerima hukuman, biasanya saya akan menerima tiga sebatan. Tetapi, walaupun sebatannya hanya tiga kali, betis saya akan birat berbelang. Berjurailah air mata. Tetapi saya sudah pandai untuk menangis tak berlagu.

Saya tahu, abah sayangkan saya. Apabila malam, setelah didodoi oemak, abah yang baru pulang daripada surau akan datang untuk melumur minyak urat di betis saya yang berbirat. Ketika itu, saya akan pura-pura tidur kerana berasa bahagia disayangi meskipun telah melakukan kesalahan. Saya mula mengerti, bila salah, kita pasti menerima hukuman. Saya mula fahami bahawa kita juga mesti menerima hukuman dengan tenang.

Lama sebelum itu, apabila saya melakukan kesalahan dan tatkala abah sedia menyebat, saya akan meraung, merayu dan minta ampun. Pernah juga saya lari dan bersembunyi di belakang emak untuk mengelak hukuman. Namun, pada suatu ketika, sambil menyebat abah sempat menurunkan nasihat, kalau hendak menjadi anak jantan, kita mestilah berani buat dan berani tanggung. Maknanya, saya bukan anak jantan jika berani buat, tetapi tak berani tanggung.

KITA semuanya sudah mumaiyiz sebelum akil baligh lagi. Tentu sekali kita tahu yang mana betul, yang mana salah, yang mana baik, yang mana buruk. Apabila dewasa, kita semestinya sudah panjang akal. Tahu risiko yang akan terjadi apabila kita melakukan kesalahan. Oleh itu, andainya kita sudah boleh berfikiran jauh, tetapi masih berani membuat salah, kita mestilah bersedia untuk menerima hukuman yang setimpal.

Kita tahu memandu melebihi had laju itu satu kesalahan. Berlumba dan beraksi dengan motorsikal seperti pelakon lasak itu juga satu kesalahan. Merokok itu membahayakan kesihatan. Atau, sengaja datang lewat ke pejabat itu melanggar peraturan syarikat. Mudah sekali kita memahami risiko melakukan kesalahan. Kerana itu, apabila hukuman sampai, kita sepatutnya menerima dengan senang dan tenang hati.

Kerana itu, tak kenalah bila kita yang melakukan kesalahan itu menyalahkan pula si pemberi hukuman. Bukankah kita ada hati kecil, yang siang-siang lagi membisikkan amaran sebelum kita lakukan satu kesalahan? Jadi, mengapa tidak mendengar suara dari lubuk hati itu? Tetapi, setelah melakukan kesalahan, kenapa kita berani pula mempersoalkan si pemberi hukuman dan mencabar pula sistem undang-undang sedangkan si penghukum berperanan membetulkan kita agar menjadi lebih baik?

BERANI menerima hukuman itu menandakan kita redha dengan ketentuan. Ia akan menimbulkan keinsafan. Keinsafan itu pula akan menjadikan kita lebih baik. Mudah-mudahan memperoleh rahmat dari Yang Maha Pengampun pula.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.3.2011.