Tuesday, December 28, 2010

UNTUK ANDA YANG BELAJAR


Foto: amartindebarros.com

BERWASATIYYAH
DALAM MENUNTUT
ILMU

PADA zaman dahulu, menurut ceritanya, si polan yang ingin menuntut ilmu, terpaksa merantau berpurnama lamanya untuk mencari seorang guru. Guru yang ditemui pula belum tentu akan menerima si polan dengan mudah. Setelah disuruh mengangkat air, membelah kayu dan dilempang hingga tergolek; jika si polan tahan dengan deraan itu, baharulah dia diterima menjadi murid.

Pada tahun-tahun selepas kemerdekaan, menuntut ilmu asas menjadi mudah dengan wujudnya sekolah. Namun, untuk memperoleh ilmu ke peringkat tertinggi hingga ke menara gading bukannya senang. Bukan sedikit mereka yang mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (kini PMR) lebih daripada sekali, Sijil Pelajaran Malaysia hingga tiga kali, atau Sijil Tinggi Pelajaran (kini STPM) sampai lima kali hanya untuk menjejakkan kaki ke tangga universiti.

Tetapi, pada hari ini, ilmu pula yang mencari kita. Bukalah akhbar dan kita akan menemui pelbagai ilmu yang ditawarkan. Kita boleh memilih mana yang sesuai dan diminati. Layarilah internet, dan kita boleh menemui beribu-ribu laman institusi pelajaran. Malah, tawaran untuk mempelajari ilmu sampai kepada kita dalam bentuk e-mel ataupun surat. Seolah-olah pada hari ini, guru yang mencari kita, bukan sebaliknya.

Oleh kerana mudahnya memperoleh ilmu pada hari ini, maka sesiapa sahaja boleh belajar apa yang diingininya pada bila-bila masa yang kita suka. Tambahan pula, tiada had umur yang menyekat kita daripada mempelajari sesuatu. Tentu sekali fenomena ini amat bagus kerana ia memenuhi hasrat kita sebagai manusia yang sentiasa ingin tahu dan ingin menjadi lebih pandai. Tanpa perlu mengikuti kelas atau kuliah yang formal pun, kita itu boleh menjadi pakar di dalam bidang yang diminatinya.

Namun, ia boleh menjadi masalah apabila kita tidak mempunyai kepandaian untuk menilai sesuatu ilmu itu. Kita perlu tahu menimbang apakah ilmu itu menjadikan kita lebih bijaksana atau semakin dungu. Lebih tawaduk bila mana ilmu itu membuatkan kita semakin sedar akan kekurangan ilmu yang diterokai atau semakin bongkak dengan ilmu yang sedikit. Lebih malang lagi jika kita tertuntut ilmu yang sudah ketinggalan zaman ataupun yang salah lagi menyesatkan!

Mempelajari sesuatu ilmu itu tidak boleh hanya berdasarkan menambah pengetahuan dan kemahiran dalam sesuatu bidang. Jika itulah sahaja yang diperoleh, maka kita hanya mendapat kulit dan isi dan tidak intinya. Kulit adalah pengetahuannya, isi adalah kemahirannya, tetapi intinya pula ialah sikapnya.

Serampang tiga mata yang menunjangi ilmu inilah yang menjadi kunci-kunci kepada penguasaan apa jua bidang. Tidak boleh tidak, ilmu yang baik adalah ilmu yang meresap dan dihayati oleh seseorang secara mental, fizikal dan spiritual. Ini adalah kerana, pengetahuan sesuatu ilmu itu adalah untuk mental, kemahiran ilmu itu adalah untuk fizikal, sementara perubahan sikap yang diperoleh daripada sesebuah ilmu itu adalah untuk spiritualnya.

Lihatlah betapa ramai manusia yang dikatakan terpelajar tetapi tidak bijak, apatah lagi bestari. Tahu teori, tetapi yang tidak dapat dipraktikkan. Kerana itulah, jika kita renungi, terdapat banyak sekali masalah di dalam masyarakat yang terjadi secara berulang kerana pendekatan penyelesaiannya mengikut paradigma yang serupa. Puncanya adalah kerana penguasaan ilmunya hanyalah penambahan pengetahuan dan peningkatan kemahiran dan tidak kepada perubahan sikap.

Jika akal dan fikiran sahaja yang diasah, tetapi hati masih tidak diasuh, maka setinggi mana, sebanyak mana ilmu yang dituntut, ia akan berkesudahan dengan kesilapan yang akhirnya menjadi kesalahan. Ilmu yang tidak dipelajari dengan penyertaan hati akan menjadikan seseorang itu tidak mengenal baik dan buruk untuk diri, negara dan agamanya meskipun dia sudah mumayiz berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Justeru itu, dalam pada kita mudah sekali mempelajari ilmu, kita mestilah memperoleh tiga elemen yang penting itu. Ia akan menjadikan kita seseorang yang seimbang dari segi perlakuan dan pemikiran. Malah, pada waktu yang sama dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari secara optimum. Inilah wasatiyyah yang harus menjadi pegangan kepada sesiapa yang mencintai ilmu.
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.12.2010.

Tuesday, December 21, 2010

BERTANGGUH ITU MENGELAK TANGGUNGJAWAB


Foto: medindia.net
BUAT KITA
YANG SUKA DIGANGGU

KEHIDUPAN
kita pada hari ini disulami dengan gangguan suara, imej dan tulisan. Saya katakan ia sebagai gangguan kerana ia tiada kena mengena dengan kita. Gangguan juga adalah sesuatu yang kalau kita tidak layani, tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kepada diri kita.

Bahan berita daripada media sama ada media cetak atau elektronik adalah satu bentuk gangguan seandainya ia membangkitkan emosi kita hingga kita menghabiskan masa meneliti atau bercakap mengenainya. Cerita politik, gosip artis mahupun masalah sosial adalah topik yang amat menarik untuk dibincangkan. Bagaimana pun, apabila ia menegangkan urat leher dan menaikkan darah hingga kita bermasam muka dengan teman sebelah, ia sudah menjadi gangguan. Mengganggu masa dan mengganggu keharmonian persahabatan.

Apa jua bentuk hebahan, iklan mahupun promosi juga adalah satu bentuk gangguan. Kita tidak memintanya. Tetapi, tiba-tiba ia menerjah mata, telinga dan menujah fikiran ketika kita asyik mendengar lagu, menonton rancangan kegemaran atau melayari laman web. Bagi kita yang lekas sedar ia adalah satu bentuk gangguan, kita akan mengubah saluran atau stesen.

Buat kita yang tidak perasan yang kita diganggu, kita akan tertawan dengan gangguan itu meskipun telah menyaksikan gangguan itu berulang-ulang kali. Kita akan terheret dan terperangkap untuk mengikutinya dengan asyik. Melayani apa yang tidak penting, malah tidak ada kena mengena dengan kita, bererti kita membenarkan gangguan itu menguasai masa dan tenaga kita.

Oleh kerana saban hari gangguan ini datang kepada kita, akhirnya kita tidak sedar ia menjadi satu keperluan. Malah, ada sebilangan daripada kita yang mendambakan gangguan-gangguan ini, kerana tanpanya, kita berasa kehidupan seharian menjadi sunyi dan tidak lengkap.

Tanpa sedar, kita pula yang mencari gangguan ini pula. Kita membuka radio bukan semata-mata untuk berhibur, tetapi untuk mendengar lawak yang kosong dan celoteh yang tidak membina minda. Kita menonton drama-drama yang stereotaip formulanya atau tayangan filem untuk sekian kali ulangannya tanpa berasa jemu.

Apabila kita membuka komputer pula, kita tidak terus membuka e-mel untuk membaca surat, notis, hebahan syarikat atau terus memulakan kerja. Sebaliknya, kita membuka kotak sembang, laman sosial atau blog yang menuntut masa kerja kita. Akhirnya, tanpa disedari, masa seharian kita yang terluang jadi terbuang.

Siapakah yang memaksa kita untuk mendengar atau menatap sesuatu yang tidak mustahak buat kita? Tiada seorang pun! Mengapa kita mengizinkan sesuatu yang tidak penting itu menguasai tumpuan kita hingga lalai dengan waktu? Tiada sesiapa pun kecuali diri kita sendiri.

Mengapa? Kerana kita mencari jalan untuk lari daripada tanggungjawab. Tiada tanggungjawab itu menyeronokkan kerana kita boleh buat apa yang kita suka. Tetapi, melakukan apa yang kita sukai itu pula sebenarnya satu cara kita untuk menangguhkan apa yang sepatutnya kita lakukan.

Sikap bertangguh itu mencuri masa. Kerja yang mudah di waktu senggang jadi tunggang-langgang apabila ia cuba disiapkan pada waktu yang singkat. Kesilapan akan terjadi apabila kita bekerja dalam tekanan masa. Tetapi, tekanan yang lebih hebat itu datang dari bawah sedar kita kerana rasa bersalah akibat membuang waktu.

Renungilah. Mengapa ada banyak ketika dan masa bila mana kerja yang diberikan dalam tempoh 24 jam boleh kita siapkan dalam masa 24 jam? Dalam pada itu, ada banyak juga kerja yang diberi seminggu tempohnya tidak dapat disiapkan selama 6 hari, sedangkan apabila hari esok menjelang, kita dapat juga menyiapkan tugasan itu. Apakah, kerja seminggu itu memerlukan masa seminggu atau sebenarnya 24 jam?

Apabila kita menyukai sesuatu, masa yang kita lalui terasa singkat. Sebaliknya, apabila kita tidak menyukai sesuatu itu, masa yang diharungi terasa begitu lama. Kerana itulah, kita perlu meminati apa yang kita buat. Dengan cara itu, masa yang diharungi akan terasa singkat. Elakkan diri daripada diganggu. Jangan pula kita mencari gangguan.

“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara lain, yaitu masa muda kamu sebelum datangnya hari tua, masa sihat kamu sebelum dilanda sakit, masa kaya kamu sebelum masa miskinmu, masa lapang kamu sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup kamu sebelum datangnya saat kematian.” (Hadith Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.12.2010.

Tuesday, December 14, 2010

MERAIKAN PERBEZAAN


Foto: webmastergrade.com
ORANG LAIN
TIDAK BOLEH
JADI SAYA

PAGI
tadi, saya nyaris merempuh sebuah kereta ketika hendak memasuki jalan utama. Pemandunya membunyikan hon marah. Saya pun membalas suara hon kenderaannya dengan mengajuk bunyinya. Kami saling bertukar-tukar cebikan. Saya mengagak, dia memarahi saya kerana hendak memotong laluannya. Saya pula memarahinya kerana terkejut.

Kemalangan itu hampir terjadi kerana dia tidak memasang lampu keretanya. Waktu itu sudah 7.00 pagi, tetapi keadaan masih gelap. Walaupun saya boleh nampak jalan raya tanpa memasang lampu, saya masih menyalakannya kerana mahu pemandu lain nampak akan kehadiran kereta saya. Orang lain kesemuanya memasang lampu kecuali kereta itu.

Pemandunya berfikiran, lampu kenderaan hanyalah untuk menyuluh jalannya. Oleh kerana dia sudah nampak jalan, maka dia mula memadam lampu. Dia tidak sedar kalau dia masih memasang lampu, dia membantu orang lain melihat akan kehadiran kenderaannya. Justeru, kemalangan boleh dielakkan.

Bagaimana pun, itu hanyalah pendapat saya. Mungkin dia memadam lampu kerana sudah tidak memerlukannya. Saya pula masih memasang lampu kerana mahu orang lain nampak dan mengelak dari melanggar kereta saya. Masing-masing ada rasional yang tersendiri.

Namun, oleh kerana mahu orang lain berfikiran seperti kita, maka kita marah bila ia tidak berlaku. Padahal, kita tidak boleh marah jika orang lain tidak ikut apa yang kita inginkan kerana mereka tidak boleh menjadi kita. Biasanya, perselisihan faham beginilah yang seringkali terjadi di antara suami-isteri, ibu-bapa, atau di kalangan mereka yang sama setempat kerja.

Si isteri minta suami bangun pagi untuk menemankannya ke pasar. Baginya, barang basah lebih segar dan pilihan lebih banyak bila pergi awal. Si suami pula tidak mahu bangun cepat kerana pada pendapatnya, lagi sedikit pilihan, lagi cepat isterinya selesai membeli belah. Ia menjimatkan masa. Oleh kerana kedua-duanya mempunyai pandangan masing-masing dan mahukan yang seorang lagi akur dengan caranya, maka akhirnya mereka bermasam muka.

Si ayah yang dahulunya mengambil peperiksaan STPM hingga 5 kali untuk memasuki universiti akan berasakan ketekunannya belajar siang dan malam selama bertahun-tahun adalah cara terbaik untuk layak masuk ke universiti. Kerana itu, si anak juga dipaksa belajar mengikut cara lamanya; siang dan malam, tanpa TV, muzik dan tanpa internet. Sedangkan bagi si anak, TV, muzik dan internet adalah santapan minda ketika belajar. Mana mungkin si anak mendengar nasihat si ayah kerana dia sudah terdedah dengan pelbagai bentuk kerehatan sejak kecil lagi?

Di tempat kerja, cara seseorang itu beribadah juga boleh menimbulkan tanggapan yang negatif bagi orang lain. Jika si A yang dapat melakukan banyak solat sunat, dia tidak boleh berasakan yang rakannya si B yang tidak langsung melakukan solat sunat sebagai orang yang kurang beribadah daripadanya. Mungkin bagi B, dia memilih untuk banyak bersedekah tanpa pengetahuan si A. Sudah tentu si B buat-buat tak dengar bila si A menyarankan agar dia memperbanyakkan solat sunat.

Soalnya, mengapakah kita mahu orang lain jadi seperti kita? Mungkin sekali kerana cara yang kita temui itu telah menghasilkan yang terbaik dan paling berjaya, kita beranggapan bahawa cara itu juga paling bagus untuk semua orang. Dalam keghairahan agar orang lain menuruti formula kejayaan diri, kita memaksa orang lain turut mengikutinya. Akhirnya, apabila orang lain tidak mahu peduli, kita pula yang marah. Sedangkan marah kita itu tidak berasas kerana dia bukan kita.

Ada juga di antara kita yang menggunakan kedudukan sebagai ketua atau yang lebih berkelayakan untuk memaksa orang lain mengikuti cara kita. Tidak dinafikan, cara paksaan boleh menghasilkan kejayaan. Tetapi, mereka yang mematuhinya mungkin hanya akur kerana minda dan hati mereka terpasung. Apabila kita tiada, maka masing-masing akan ikut cara sendiri-sendiri. Ini terjadi tidak kira di dalam negara, organisasi mahupun institusi keluarga.

Justeru itu, untuk apakah kita mahu orang lain menjadi seperti kita? Bukankah manusia itu diwujudkan dengan pelbagai perbezaannya? Alangkah bosannya kita jika kita semua berfikiran dan bertindak serupa. Kita bukannya robot. Sebaliknya kita adalah manusia yang punyai hati dan perasaan. Raikanlah perbezaan meskipun dalam pergeseran.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 15.12.2010.

Tuesday, December 7, 2010

YANG BARU SAYA TAHU TENTANG HIJRAH


Foto: songbirdgarden.com

BERHIJRAH BIARLAH
BERAMAI-RAMAI

UNTUK menulis mengenai hijrah ini, saya merujuk beberapa sumber yang di antaranya ialah buku The Sealed Nectar atau Ar-Raheequl Makhtum, susunan Safiur-Rahman Al-Mubarakpuri. Buku biografi Nabi Muhammad s.a.w. ini merujuk kitab-kitab muktabar terdahulu yang di antaranya kitab-kitab sahih Bukhari dan Muslim.

Saya tertarik kepada beberapa fakta yang memperbetul tanggapan saya mengenai hijrah. Selama ini, saya beranggapan Rasulullah s.a.w melaksanakan hijrah daripada Mekah ke Madinah secara beramai-ramai pada 1 Muharram. Gambaran yang ada di layar minda saya ialah, penghijrahan yang didahului oleh baginda itu diikuti dengan berduyun-duyun umat Islam sekali rap sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Musa a.s yang membawa kaumnya menyeberangi Laut Merah.

Padahal, hijrah orang-orang Islam Mekah telah bermula lebih awal daripada bulan Muharram dalam kumpulan-kumpulan kecil sebelum baginda memperoleh wahyu daripada Allah s.w.t agar berpindah. Nabi Muhammad s.a.w sendiri bertolak daripada Mekah selepas bulan Muharram iaitu pada 27 Safar dan tiba di Madinah pada 12 Rabiulawal iaitu 16 hari perjalanan. Dan baginda hanya tiba berdua sahaja dengan Saidina Abu Bakar.

Dalam era pentadbiran Saidina Omar Al-Khattab, pemimpin umat Islam itu telah memilih bulan Muharram sebagai bulan pertama kalendar hijrah. Kitalah pula yang memilih 1 Muharram untuk memperingati penghijrahan baginda, bukannya sebagai tarikh bermulanya perpindahan Rasulullah s.a.w dan umatnya.

Hijrah adalah satu proses untuk berubah. Sebagai manusia seperti kita, Rasulullah s.a.w yang berpindah secara fizikal juga perlu berubah secara mental apabila bermastautin di tempat yang baharu. Sudah tentu perubahan spiritual atau kejiwaan perlu baginda ditangani agar ia kental, tidak terjejas, malah semakin kukuh.

Justeru itu, hijrah itu bukannya memasang niat untuk berubah apabila tahun baharu menjelang. Sebaliknya ia adalah satu hasrat yang disusuli dengan pelan perubahan, diikuti dengan tindakan, dipertahankan dengan kekuatan emosi dan dipasak dengan iltizam rohani. Kerana itulah, hijrah yang dilakukan secara bidan terjun akan menemui kagagalan.

Hijrah akan lebih berkesan seandainya ia dilakukan secara berkumpulan seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda tidak berpindah sendirian. Ini adalah kerana, perubahan atau penghijrahan yang dilakukan dalam kumpulan lebih mudah diperkekalkan kerana teman-teman sekumpulan dapat ingat memperingati agar masing-masing dapat mempertahankan perubahan yang dipilih.

Lihatlah penghijrahan beribu-ribu ekor penyu yang menyelami lautan, burung-burung yang terbang merentasi benua dan pelbagai binatang daratan seperti beruang, gajah, kambing biri-biri mahupun kupu-kupu. Meskipun pada asasnya ia berhijrah untuk mencari makan, ia berpindah secara kumpulan dan bukannya sendirian.

Kerana itu, seandainya kita ayah yang hendak berubah, jangan lupa untuk membawa sekali isteri dan anak-anak untuk ikut sama. Jangan nanti apabila kita berjaya di dunia, isteri dan anak masih terkapai-kapai dengan kehidupan yang tanpa arah. Silap-silap, kita menjadi bapa yang gagal di akhirat kerana tidak berjaya menghijrahkan keluarga.

Ketua kecil di mana-mana unit atau bahagian pejabat yang bagus tentulah terpilih kerana berperibadi elok dan berproduktif tinggi. Kerana itu, dia terpilih menjadi pemimpin. Tetapi, pemimpin yang bagus adalah pemimpin yang boleh membawa anak-anak buah untuk berhijrah. Dia bukan ketua yang baik kalau membiarkan anak-anaknya melanggar disiplin syarikat.

Begitu juga, majikan atau pemimpin-pemimpin yang mempunyai beratus malah beribu-ribu pengikut, mestilah berkebolehan untuk mengajak segenap anggota yang dipimpinnya untuk berhijrah sama. Jangan pula dia bercakap dengan penuh semangat di pentas utama untuk mengajak pengikutnya berubah, sedangkan mereka hanya mentertawakan kerana tidak faham hijrah yang dibawanya.

Hijrah bukannya perubahan teknologi terkini, susunan ekonomi, menambah bangunan ataupun memperlengkap prasarana. Tetapi ia adalah transformasi manusia ~ individu yang menjadi anggota ummah.

Bukan perubahan perkara atau benda, tetapi manusia.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, 8.12.2010.