Tuesday, November 30, 2010

MARI AKTIF DALAM SUKAN YANG ADA KELAS!


Foto: youroutletshopping.info

MINDA
KELAS DUNIA
MELALUI SUKAN

DALAM Sukan Asia 2010 baru-baru ini, Malaysia telah menunjukkan kecemerlangannya di dalam beberapa bidang sukan yang disertainya dengan memenangi sembilan pingat emas. Sukan skuasy memperoleh tiga pingat emas, boling (2), karate (2), wusyu (1) dan basikal (1). Maknanya, kita mempunyai kehebatan taraf Asia untuk bidang-bidang sukan tersebut.

Dalam pada itu, sudah bertahun juga kita melahirkan juara-juara peringkat dunia di dalam sukan seperti skuasy. Datuk Nicol Ann David adalah juara dunia yang masih kekal dalam ranking nombor satu. Dalam sukan boling pula, kita ada pemain bertaraf dunia seperti Shalin Zulkifli, Azizul Hasni pula dalam sukan lumba basikal serta Datuk Lee Chong Wei dalam badminton. Dan kita mempunyai pasukan bertaraf dunia dalam sukan sepak takraw dan juga hoki.

Bagaimana pun, mengapakah bidang sukan yang dinyatakan di atas tidak mendapat liputan media yang meluas hingga ia menjadi sukan kegemaran dan kegilaan sebilangan besar rakyat Malaysia? Malah, liputan mengenainya dibuat mengikut musim. Apabila ada kejohanan, baharulah beritanya memperoleh ruang tambahan di dada akhbar dan media elektronik. Setelah tamat kejohanan, cerita mengenai sukan-sukan yang bertaraf dunia ini mulai sunyi sepi semula.

Sebaliknya, mengapa pula sukan bolasepak mendapat liputan yang begitu meluas? Kemenangan sekali-dua pasukan Malaysia dalam sesuatu kejohanan lazimnya akan diriuh-rendahkan oleh media. Maka rakyat mula memasang angan-angan bahawa kali ini, ya… kali ini kita akan menjuarai kejohanan itu. Apabila angan-angan sudah tersemai dan harapan sudah setinggi gunung, perlawanan berikut selalunya akan melisutkan kembali perasaan apabila kita kecundang.

Maka berdebat dan berpolimiklah masyarakat Malaysia tentang masa depan bolasepak negara. Harapan dipupuk kembali apabila ada pasukan baru, jurulatih baru, pengurus baru yang mengendalikan pasukan. Datanglah lagi pertandingan dan kita menyeru kembali semangat. Tetapi pasukan bolasepak kita tidak ke mana jua. Mengapa? Kerana pasukan bolasepak kita berada di tangga 150 dalam ranking FIFA! Alahai.

Sebenarnya kita hanya melihat fatamorgana. Keliru di antara realiti dan ilusi. Kelincahan, ketangkasan dan kepantasan para pemain antarabangsa di televisyen membuatkan kita berada di dalam ilusi. Dan kita bawa ilusi itu apabila kita menonton pasukan kita, sedangkan ia realiti. Maka bersemangatlah kita menonton pemain-pemain kita sedangkan tayangan di layar minda adalah bayangan pemain-pemain profesional antarabangsa.

Keadaannya sama seperti apabila kita perasan kita boleh memandu laju selepas menonton filem aksi ataupun bermain dengan permainan grand prix di video. Ilusi itulah yang kita gandingkan; bila mana apabila kita kerap menonton bolasepak di televisyen, kita berasakan bahawa bolasepak kita juga sehandal para pemain di televisyen. Padahal, imej di televisyen dan di padang sebenar adalah dua situasi yang berbeza. Ramai yang keliru dengan ilusi ini.

Seharusnya, biarlah kita berpada terhadap sukan yang belum nampak lagi kegemilangannya. Sukan bolasepak tidak perlu lagi digembar-gemburkan. Biarlah ia berkembang sendiri sebelum diuar-uarkan semula. Sebaliknya keutamaan harus diberikan kepada sukan yang bertaraf dunia.
Dalam pada itu, mereka yang di dalam persatuan skuasy, badminton, boling, hoki, sepak takraw, lumba basikal dan juga formula future, Majlis Sukan Negara dan persatuan sukan masing-masing perlu rapik dengan media. Selalulah buat kenyataan akhbar, beri kemudahan akses kepada maklumat kepada golongan ini. Sedarkan golongan media yang sukan-sukan ini bertaraf kelas dunia sepatutnya mendapat liputan paling meluas, berterusan lagi gah.

Ini akan menaikkan semangat kita untuk berbangga dan menggalakan kita untuk bergiat di dalam sukan-sukan itu. Bila kita bermain badminton, skuasy atau boling, sekurang-kurangnya kita yakin akan jadi juara dunia kerana Chong Wei, Nicol dan Shalin adalah buktinya.
Yang penting, biarlah kita bergaya di bidang sukan yang kita ada world class!

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.12.2010.

Tuesday, November 23, 2010

MELIHAT ZAHIR SEBELUM BATIN


Foto: stuffucanuse.com

CANTIK
SANGATKAH
DIRI KITA INI?

APAKAH yang kita lakukan apabila bangun pagi? Biasanya, setelah menggeliat dan menggenyeh mata, kita akan terus ke bilik air untuk menggosok gigi. Selepas itu mandi, bersabun dan bersyampu. Usai bersolat, kita bersolek. Bagi perempuan, wajah jadi cantik setelah dilukis semula. Bagi lelaki pula, wajah kembali terurus setelah membuat landscaping kecil dengan menebas misai dan janggut serta menyikat rambut.

Buat orang lelaki, tali leher yang terjerut kemas akan menampilkan gaya yang segak. Bagi orang perempuan, busana yang diperagakan akan menganggunkan ketrampilan. Perfume yang disembur menyegarkan bau tubuh dan menaikkan aura. Orang yang berselisih dengan kita boleh terhenti untuk menghidu bau minyak wangi yang kita pakai.

Itulah kebiasaan yang kita lalui sebagai manusia yang berkerjaya. Bagi golongan suri rumah, pelajar, mahupun yang masih belum bekerja, rutin harian yang dilalui lebih kurang sama juga. Dalam masa tidak sampai sejam, kita sudah pun siap. Kita lalui semua proses mendandan diri separuh robotik ini sebaik sahaja bangun tidur.

Namun, pernahkah kita berhenti seketika, termenung dan merenung kembali buat seketika? Apabila bangun tidur, sebelum melompat atau bermalas-malas mengheret kaki ke bilik air, terciumkah kita bau tubuh sendiri terutamanya bau yang datang daripada mulut kita? Wangikah ia?

Apabila membelek wajah di cermin, lihatlah kelayuan mata sendiri yang cengkung dan bergelanggang kerana belum dipalit kelilingnya dengan celak dan shadow. Berapa garis kedutkah yang kita ada. Kurang daripada sepuluh atau sudah tidak terkira? Biasanya kita tidak sempat membilangnya kerana cepat-cepat menutupnya dengan bedak.

Bila diperhatikan betul-betul, rambut kita yang ikal seperti seludang kelapa sudah semakin lurus seperti berus periuk terpakai. Tidak lama lagi, warna putihnya akan melebihi warna hitamnya. Misai yang tebal pun sudah jarang-jarang dan tidak tentu hala tumbuhnya.

Otot-otot di tepi bibir yang biasanya ternaik hingga menyerlahkan wajah kita seperti orang yang sentiasa tersenyum, kini sudah kendur. Akibatnya, wajah kita yang serius kelihatan seperti sedang mencebir; menjadikan wajah kita persis orang yang sudah putus urat senyumnya.

Carilah kembali tanda lahir di tubuh, sama ada tompok putih di belikat atau garis di celah paha ~ yang hanya diketahui juga oleh pasangan kita; yang juga menandakan kita bukan manusia sempurna seperti batang tubuh artis yang sudah diphotoshop di komputer. Bagaimana pula perut yang punyai kesan pecah lemak hingga berjalur-jalur pecah seribu, tompokan hitam atau kutil yang mula tumbuh di merata tubuh?

Dan, lihatlah diri kita secara keseluruhan di cermin secara 360 darjah. Tataplah bentuk tubuh kita sendiri daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki. Kepala, leher, tengkuk, bahu, lengan, dada, perut, paha, betis dan akhir sekali, kaki. Eh, sejak bila lubang hidung kita dah tak sama saiz rongganya? Bila pula tubuh kita rebeh sebelah?

Kita kini tidak lagi persis model yang cantik dengan keluk, lekuk dan luk di bahagian-bahagian yang sepatutnya. Justeru itu, apakah kita kini seorang manusia… atau kita telah bertukar menjadi makhluk yang menggelembung di sana-sini di bahagian-bahagian yang tidak seharusnya?

“Tidur itu saudara mati.” Demikian sabda Rasulullah, s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabarani dan Baihaqi. Ertinya, bangunnya kita daripada tidur itu seumpama bangun daripada mati. Wajah kita pucat, tidak terurus, tidak bermaya dan berbau. Sebenarnya tubuh dan wajah kita amat hodoh sekali!

Tetapi, oleh kerana terlupa mahu melihat kekurangan fizikal diri sendiri, kerana hendak berkejar menyoleknya, maka kita sudah alpa akan kecacatan bentuk zahir kita. Apabila kita menyarung baju yang lengkap dengan jalur dan warnanya, atau ropol dan rendanya, kita kelihatan segak sekali. Maka apabila mengatur langkah dengan bergaya kerana kasut tumit tinggi menjadikan postur tubuh membusung di ponggong dan dada… wah siapa yang tidak ingin menatap lebih daripada sekali?

“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).” (Az-Zumar 39:42)

Sedangkan fizikal kita sendiri kita lupakan kerana sentiasa disalut dengan pakaian yang indah-indah, bagaimana pula dengan spiritual kita? Jika yang boleh dilihat itu tidak selalu dipandang, bagaimana pula dengan bahagian diri kita yang tidak dapat ditilik?

Apakah batin kita secantik yang kita anggap selama ini?
Ataupun ia lebih hodoh daripada kita yang zahir ini?

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.11.2010.

Wednesday, November 17, 2010

SALAH TANGGAP MENGENAI KORBAN


KONSEP TAK LENGKAP
MENGENAI KORBAN

BERKORBAN selalunya dikaitkan dengan tindakan menyerah sesuatu yang berharga kepada sesuatu pihak. Masa, tenaga dan wang ringgit lazimnya adalah perkara kesayangan yang dikorbankan demi kebaikan pihak yang menerima korban itu.

Kamus Dewan mendefinasikan korban sebagai amalan menghampirkan diri kepada Allah; sesuatu persembahan kepada dewa dalam pemujaan; pemberian sebagai tanda kebaktian atau menanggung sesuatu penderitaan; agar pihak yang menerima apa yang diserahkan itu mendapat kebaikan daripada pengorbanan itu. Kamus Merriam-Webster pula mendefinasikan korban atau sacrifice sebagai menyerahkan sesuatu untuk sesuatu yang lain, selain daripada semua definasi di atas.

Kisah di dalam al-Quran bagaimana Nabi Ibrahim bersedia mengorbankan anaknya Nabi Ismail adalah senario yang menjelaskan konsep korban sebenarnya. Oleh kerana ketakwaannya kepada Allah, dua beranak itu rela melakukannya. Sehingga di saat-saat akhir perlakuan sembelihan itu, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah nekad untuk melakukannya sebagai tindakan memberi. Tetapi, Allah telah menukarkan korban anaknya itu dengan seekor kibasy. Mereka dibalas syurga kerana ketakwaan itu.

Bagaimana pun, mengikut kefahaman kebanyakan kita pada hari ini, berkorban itu satu tindakan untuk memberi sesuatu yang berharga kepada seseorang untuk kebaikan si penerima. Seorang cikgu sanggup mengorbankan masa rehatnya semata-mata demi kejayaan anak muridnya. Ahli politik pula mengorbankan masa rehatnya untuk kebajikan rakyat. Dan, seseorang bapa berkorban tenaga membanting tulang demi pelajaran anaknya.

Mengapa korban selalunya dikaitkan dengan kesusahan dan penderitaan seseorang demi kebahagiaan pihak yang satu lagi? Seolah-olah berkorban itu berat sebelah atau sesuatu tindakan umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Sedangkan bukankah berkorban itu adalah tindakan memilih salah satu situasi kos melepas? Kedua-duanya baik, tetapi pilihan kedua melalui pengorbanan itu memberi ganjaran yang lebih baik dan besar?

Seseorang guru ada pilihan untuk berehat dan melakukan apa yang dia suka di luar waktu mengajar. Tetapi dia memilih untuk berkorban masa semata-mata untuk kejayaan anak muridnya. Dia membuat pilihan yang kedua yang sebenarnya menguntungkannya juga. Apabila anak muridnya berjaya, dia akan berasa bahagia. Setiap kali wajah anak muridnya terpapar di dada akhbar kerana menjadi orang besar, dia akan berasa bangga di sepanjang hayatnya.

Seseorang ahli politik juga ada pilihan untuk mewakilkan para pegawainya menangani semua masalah rakyat. Tetapi dia menggunakan masanya untuk mendengar segala masalah rakyat tidak kira siang atau malam. Hasilnya, apabila masalah rakyat terbanyak di kawasannya terbela, dia dipercayai dan disayangi hingga terpilih lagi menjadi wakil mereka.

Begitu juga, seorang bapa yang bekerja untuk masa depan anaknya itu boleh sahaja bersantai-santai dengan kehidupannya. Biarlah si anak mencari kerja sendiri apa besar nanti. Pandai-pandailah hendak hidup nanti. Sebaliknya, apabila dia berkorban siang dan malam, bergolok dan bergadai demi pelajaran anaknya, si ayah akan memperoleh kebaikan untuk dirinya juga akhirnya. Apabila si anak berjaya kelak, dia juga yang akan dapat menumpang teduh ketika dia sudah tidak berdaya untuk melangkah.

Jelas sekali, berkorban itu bukan sahaja menguntungkan si penerima, tetapi juga si pemberi. Ia tidak pernah berat sebelah. Malah, si pemberi itu akan memperoleh hadiah dalam bentuk kebahagiaan dan kepuasan hati hingga ke akhir hayat melihat hasil pengorbanannya.

Kerana itu apabila dikatakan berkorban, ia tidak sepatutnya dilihat sebagai melepaskan sesuatu untuk orang lain, membahagiakan orang lain atau memberi apa sahaja yang paling disayangi kepada orang lain tetapi diri sendiri merana dalam kepayahan.

Sebaliknya, jika kita menjangkau fikiran lebih jauh, kita akan sedari bahawa semua pengorbanan itu akhirnya dikembalikan untuk diri sendiri juga. Malah, ganjaran spiritualnya lebih baik dan besar. Itupun, belum termasuk ganjaran di akhirat kelak.

* Foto: tintaberdakwat.blogspot.com
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.11.2010.

Wednesday, November 10, 2010

APABILA KETAGIH HIBURAN


Foto: butchireland.com
DUNIA HIBURAN
YANG TIADA SEMPADAN

HIBURAN. Istilahnya sahaja sudah menyeronokkan kerana ia mengingatkan kita untuk relaks dan bersantai. Menurut Kamus DBP, hiburan itu sesuatu yang menyukakan dan menggembirakan hati. Ia juga adalah sesuatu yang menyeronokkan yang mampu mengalih perhatian, mengikut Kamus Merriam-Webster pula. Melihat kepada maknanya, hiburan itu suatu aktiviti yang ringan.

Namun, oleh kerana ia menggembirakan, maka hiburan menjadi rekreasi kegemaran yang akan dilakukan oleh kebanyakan daripada kita. Meskipun pada mulanya hiburan adalah sesuatu yang sampingan, oleh kerana ia menjadi minat manusia yang meluas, maka hiburan menjelma menjadi satu industri.

Sedangkan revolusi industri di United Kingdom pada kurun ke-18 dan ke-19 yang telah mengubah sama sekali sosio-budaya dan sosio-ekonomi manusia, hiburan tidak pernah menjadi pilihan manusia untuk dikembangkan. Sebaliknya, bidang pertanian, pengeluaran, perlombongan, pengangkutan dan juga teknologi yang menjadi penjana asal revolusi industri itu.

Hiburan yang berupa acara sampingan, kini sudah menjadi acara utama kerana hiburan menjenguk dan mencelah di mana-mana, pada setiap ruang dan ketika. Kita bangun pagi bukan lagi kerana mendengar kokokan ayam, tetapi bila muzik rancak berkumandang daripada jam di telefon bimbit.

Apabila memutar ke stesyen radio, kita mendengar celoteh juruhebah yang lebih gemar memperkatakan topik-topik yang lawak hingga kita tertawa. Kita sudah tidak mendengar juruhebah yang memperingat kita dengan informasi atau menasihati kita kata-kata hikmat. Lawak hanya menghiburkan. Ia tidak akan membahagiakan seperti mendengar kata-kata hikmat.

Di akhbar-akhbar, berita-berita tentang ekonomi, masalah sosial dan bisnes jarang sekali dipilih menjadi tajuk utama. Sebaliknya berita-berita orang-orang politik yang berpolemik, cerita sensasi dan berbaur seks lebih mendapat tempat kerana ia berunsur hiburan. Di televisyen juga, drama, program realiti, konsert dan peragaan fesyen didapati lebih banyak daripada program-program berupa informasi, penyelidikan dan keilmuan.

Apabila kita membuka internet, terdapat berjuta-juta gerbang dan laman berupa hiburan hinggakan kita terlupa menjadikan komputer sebagai alat untuk memperoleh ilmu, bukannya untuk mendapat hiburan. Hiburan kini muncul di mana-mana. Hinggakan kita bukan lagi memilih hiburan untuk merehatkan fikiran, tetapi kita terpaksa memilihnya kerana ia dipersembahkan dalam beranika bentuk. Justeru itu, kita dileka dan dilalaikan. Tanpa kita sedari, kita tidak boleh hidup tanpa hiburan barang seketika.

Santapan rohani kita bukan lagi solat, zikir dan tafakur. Bukan lagi melihat mentari senja terbenam, atau melihat sekawan burung berterbangan pulang ke sarang. Sebaliknya santapan rohani kita adalah persembahan yang tentunya mengandungi muzik yang bergemuruh bunyinya dan cerita tahyul yang menakutkan hingga ia memberi kesan terhadap tabiat tidur kita.

Santapan jasmani kita bukan lagi pergi ke hutan memikat burung, berlari di sawah dengan berkaki ayam atau berperahu mudik ke kuala. Santapan jasmani kita adalah tarian yang diiringi muzik yang membingitkan. Kalau adapun yang bersukan, jumlah yang menjadi penontonnya lebih ramai daripada yang beraksi di padang atau gelanggang.

Santapan minda kita bukan lagi bahan bacaan yang mendatangkan manfaat, tetapi santapan minda kita adalah bahan bacaan yang bukannya fakta tetapi fitnah, bukannya celoteh tetapi cercaan, bukannya berita tetapi hampas cerita yang sudah dibaca berulangkali sama ada di majalah mahupun di internet.

Sebenarnya, hiburan itu bagus jika ia dinikmati secara sambilan. Ia sampingan, bukan keutamaan. Ia sepatutnya merehatkan, bukannya meleka dan melalaikan. Sebaliknya, jika kita nikmati hiburan tidak tentu masanya, kita menjadi akibat dilolokkan. Akhirnya, kita menjadi manusia hedonis ~ manusia yang suka berseronok di sepanjang masa. Sedangkan keseronokan itu bukannya kebahagiaan.


Kerana keseronokan selalunya seketika.
Kebahagiaan lazimnya berpanjangan.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.11.2010.

Wednesday, November 3, 2010

AKIBAT BERADA DI ZON SELESA


Foto: mycathatesyou.com
KITA SUDAH
NAIK LEMAK

KEHIDUPAN sebahagian besar daripada kita adalah rutin. Bangun pagi, gosok gigi, mandi, solat, sarapan pagi, tengok TV dan pergi kerja. Di pejabat, buat kerja, mesyuarat, minum, buat kerja, makan tengahari, solat, buat kerja dan bila tiba waktunya, akan pulang ke rumah. Di rumah pun, rutin harian adalah serupa.

Kalau pun ada perbezaan adalah pada hujung minggu di mana sebahagian besar daripada kita boleh bangun lewat, mandi lewat, bersarapan lewat, bersantai dan melepak. Jika ada jemputan kenduri, kita akan hadirinya. Jika tidak, kita mungkin ke pasaraya untuk membeli-belah atau berjalan-jalan. Kita pulang apabila senja untuk berehat, menonton TV dan tidur awal agar dapat bingkas bila jam berbunyi keesokan harinya untuk pergi kerja.

Inilah kehidupan yang dikatakan sebagai settled down. Sudah tak susah-susah. Sudah tak payah-payah. Namun, masalah besar akan terjadi kalau pada suatu pagi kita bangun tidur lewat dan mendapati air paip tidak mengalir dan TV tidak bernyala. Seluar serta baju pula tidak bergosok dan sebelah stoking kita hilang entah ke mana. Pada pagi itu, roti yang dibeli sudah luput tarikh dan kita keluar rumah dengan perut kosong.

Kita tahu kita pasti terlewat kerana terlupa mengisi minyak petrol. Kereta yang beratur di stesen minyak sudahlah panjang dan pam yang berfungsi pula hanya satu. Sampai di pejabat kita disindir bos kerana terlewat. Laporan yang diingini bos pula tidak dapat diberi kerana fail di dalam komputernya sudah hilang. Pendek kata, pada hari itu semua yang terjadi terkeluar daripada kebiasaan. Kerana itu, wajah kita masam seperti terminum cuka.


Ya, kita tidak suka dengan hari itu. Tetapi ketika membelek akhbar dalam talian selepas itu, kita mula menoleh ke kiri dan kanan meja untuk bersembang dengan teman-teman. Bercerita tentang ibu mencari anak gadisnya yang hilang, seorang lelaki maut digilis keretapi, pengurus kedai runcit diragut, artis yang tidak digemari hendak kahwin dengan artis yang digemari. Oh, keseronokan membaca masalah orang lain begitu menguja perasaan hingga kita menjadi pembaca berita dalam talian untuk kawan-kawan.

Mengapakah pada asasnya kita tidak suka rutin harian kita tercalar walau sedikit pun? Tetapi, kita cepat marah-marah kalau orang lain tidak dapat memenuhi skrip kehidupan kita? Kenapa kita cepat berang bila fail yang dipinta tidak ditemui, mengeluh bos menelefon meminta sesuatu disiapkan secara tiba-tiba, atau membebel kerana kakak tukang sapu lewat membersihkan bakul sampah kita?


Mengapa pula kita jadi teruja membaca, mendengar atau menonton keluarbiasaan orang lain yang mengalami kemalangan, berdepan dengan tragedi dan ditimpa musibah? Apakah kita sebenarnya gembira mengetahui berita kesusahan orang lain? Apakah kita ini sadis? Sama sekali tidak! Kita bukannya gembira, malah kita turut bersedih, simpati dan empati dengan apa jua episod hitam yang dihadapi oleh orang lain.

Tetapi setakat bersedih sambil menggeleng tanpa melakukan apa-apa. Pasif. Kita hanya begitu kerana kita sendiri takut dengan keluarbiasaan, tidak berani menghadapi risiko dan tidak terdaya bila dicabar dan diuji dengan keadaan malang seperti orang lain lalui.

Sebab itulah, selain daripada berita, kita sukakan cerita. Filem di pawagam atau TV daripada pelbagai genre menjadi kesukaan. Lagi ganas, ngeri, seram dan surreal adegan yang terpapar, lagi seronok kita menatapnya, siri demi siri, minggu demi minggu, ulang tayang demi ulang tayang.

Lama kelamaan, kita menjadi insan yang menonton. Menonton hingga tidak dapat membezakan yang mana benar, yang mana fiksyen. Gempa bumi di dalam filem itu dilihat sama dengan letusan gunung Merapi ~ sama-sama ditonton dengan santai sambil mengunyah keropok.

Daripada satu segi, alhamdulilah kita bernasib baik kerana tidak ditimpa musibah. Tetapi, daripada satu sudut yang lain pula, suasana aman damai lama kelamaan menjadikan kita terlupa bahawa kehidupan di dunia tidak semestinya berakhir seperti filem Walt Disney. Ia menjadikan kita naik lemak kerana berada di dalam zon selesa.

Sebab itulah kita jadi cemas tidak tentu hala
hanya kerana terlewat seminit untuk mengetip kad perakam waktu!


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.11.2010.