Wednesday, October 27, 2010

IDENTITI DIRI HILANG DALAM TEMBOK BUATAN SENDIRI


Foto: erikhenne.com

INDIVIDU YANG
INDIVIDUALISTIKKAH
KITA?

SEWAKTU
saya kecil, iaitu kira-kira 50 tahun yang lalu, saya hanya kenal sejenis sabun berjenama Sunlight. Saya dan adik beradik gunakan ia untuk mandi. Oleh kerana pada waktu itu tiada syampu, sabun itu juga saya gunakan untuk membasuh rambut hingga menjadi kesat. Ibu pula menggunakan sabun itu untuk membasuh baju dan mencuci pinggan. Ayah pula menggunakan ia untuk membasuh basikalnya. Buat kami sekeluarga, sabun berwarna oren berbentuk kuib itu adalah sabun serbaguna.

Pada hari ini, sabun datang dengan pelbagai jenis dan juga kegunaan. Ada sabun mandi jenis buku dan ada juga daripada jenis losyen. Sabun kepala yang kini dikenali sebagai syampu pun sekurang-kurangnya ada dua jenis iaitu syampu dan perapi. Sabun basuh pula ada yang untuk mencuci pinggan mangkuk, mencuci pakaian dan ada yang boleh digunakan untuk mencuci sayur. Ini tidak termasuk sabun khusus untuk mencuci lantai dan kereta.

Ketika waktu makan sewaktu kecil dahulu, kami sekeluarga akan menghadap makanan yang sama. Apa yang mak masak, itulah yang kami makan. Tanpa komplen, malah berebut-rebut sesama adik beradik, mangkuk dan piring lauk serta pinggan kami selalunya akan licin. Daripada segi makan, kami habiskan apa sahaja yang terhidang.

Pada hari ini, dalam banyak ketika dan keadaan, kami sekeluarga tidak menjamah makanan yang sama untuk makan malam. Saya lebih suka makan ikan daripada daging kerana menjaga tekanan darah, sementara isteri saya lebih sukakan ulam-ulaman. Anak-anak saya pula ada yang hanya makan burger, ada yang goreng sendiri telur dadar yang dia kenali sebagai omelet dan anak gadis yang hanya minum susu rendah lemak sebagai makan malamnya.

Pada hari ini, banyaknya pilihan menjadikan kita boleh menikmati apa yang kita sukai secara peribadi. Untuk kereta, kita ada kereta dua pintu, empat pintu, kereta sports, suv dan juga van. Televisyen pun mempunyai pelbagai jenis. Kita boleh memilih daripada jenis tiub yang konvensional, LCD, plasma dan kini HDTV.

Santapan minda berupa berita boleh sahaja dibaca dalam bentuk cetakan, menonton di saluran berita 24 jam seperti CNN ataupun melalui berita secara online di internet. Malah, cara bersosial juga sudah berubah daripada bersantai sesama keluarga, kepada berhibur sesama rakan-rakan dan kini kita boleh bersosial dengan mereka yang kita tidak kenali melalui Facebook mahupun Twitter.

Kalau sebelum ini, kita pernah mendengar perbezaan dan perbalahan di dalam keluarga boleh terjadi kerana perbezaan pandangan politik, kini kerenggangan dan krisis boleh berlaku kerana pendekatan agama yang menjadi pilihan. Si ibu mungkin seorang pengamal Islam yang konvensional, si bapa seorang salafi dan si anak pula seorang ahli tabligh. Bayangkan seandainya masing-masing mengatakan dia benar sementara yang lain salah.

Dengan pelbagai pilihan, kita mula membina kelainan. Tetapi, tidakkah kelainan ini lama kelamaan menjadi tembok yang kita tidak sedar telah terbina mengepung diri? Dari segi positifnya, ia menjadikan kita seorang individu yang unik. Dari segi negatifnya, ia menjadikan kita lebih individualistik kerana hanya kenal dan tahu citarasa sendiri dan tidak tahu apa yang orang lain sukai.

Malah, ia mula menjadi masalah bilamana individu yang individualitik itu tidak mengerti kecantikan kelainan dan perbezaan. Apabila ini timbul, maka keluarga yang sepatutnya mesra dan harmoni menjadi renggang kerana pilihan yang berbeza ini. Bagaimana pula jika kita makrokan skop kita kepada perbezaan dalam kejiranan, negeri dan akhirnya kaum serta bangsa?

Pilihan menjadikan kita semakin berbeza dan tidak mempunyai masa untuk mengenali hati budi masing-masing. Kita tenggelam di dalam dunia sendiri hingga tidak sedar jiran sebelah rumah yang hanya berdiri di sebelah kita ketika menanti giliran mendapat khidmat di bank. Puncanya kerana kita asyik dengan SMS, MP3 ataupun PSP.

Kerana berbezalah, kita jadi individualistik yang tegar tetapi mengalami penyakit hati ~ bersendirian di dalam keramaian, kesunyian dalam kebisingan.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.10.2010.

Tuesday, October 19, 2010

MEMAHAMI DAN MENGUASAI POLA KEHIDUPAN


Foto: mspmentor.net

MENGAPA
TIDAK PERCAYA
SEBELUM BERJAYA?

SEKALI
sekala, perasaan untuk mengubah diri muncul di celah-celah lamunan. Rasa ingin berubah sama ada daripada segi mental seperti memajukan diri di dalam bidang akademik, membuatkan kita berasa ingin masuk kolej semula. Inspirasi untuk berubah daripada segi material seperti ingin memperoleh kenaikan pangkat atau pendapatan tinggi juga akan menjadikan kita lebih rajin bekerja. Begitu juga, bila keinginan untuk berubah daripada segi spiritual muncul, kita menyimpan iltizam agar diri kita bertukar daripada seseorang yang pemarah kepada seseorang yang penyabar.

Mungkin kita pernah menemui Albert, kawan sekolah yang kita gelar si kepala samseng dahulu, rupa-rupanya sudah menjadi jutawan. Atau terpandang Azman yang dahulunya kaki ponteng di sekolah, kini muncul sebagai seorang motivator di kaca TV. Ataupun, Ee Mei, yang dikenali begitu pemalu di sekolah kini sudah menjadi seorang ahli politik yang begitu petah berucap di Parlimen.

Kejayaan-kejayaan sebilangan daripada mereka di sekeliling kita ini kadangkalanya tidak terjangkau oleh pemikiran kita. Bila mengingati diri mereka yang dahulunya kita kenal sebagai jahat, culas mahupun pemalu, kita tidak menyangka mereka telah berubah menjadi lebih baik, rajin mahupun petah.

Apabila kita merenung ke dalam diri, kita mungkin terasa mengapakah mereka yang toya di zaman persekolahan dahulu kini sudah menyerlah lebih hebat daripada kita sendiri. Mereka yang di zaman persekolahan dahulu menyanjung atau menghormati kita kerana lebih handal daripada mereka, kini telah mendahului kita dalam maraton kehidupan.

Ke manakah langkah yang hendak dibawa dan selaju manakah larian hendak dicuba bila melihat teman-teman sudah jauh lebih hebat daripada kita? Yang pasti, kita tahu yang kita lebih handal daripada mereka dahulu, tetapi mengapa kini sebaliknya? Roda kehidupan yang berputar mengajar kita apa itu realiti. Justeru, bagaimanakah kita boleh mengutip kekuatan-kekuatan diri yang tercicir di sepanjang lorong kehidupan?

Sebelum memulakan langkah, kita harus menyedari bahawa selama ini kita hanya percayakan sesuatu apabila telah berjaya menggapainya. Sikap inilah yang menjadikan kita terhenti-henti meranduk arus kehidupan. Ibarat berundur setapak setiap kali menapak dua langkah ke hadapan. Puncanya ialah kerana kita tidak percaya sebelum berjaya mencapai sesuatu.

Di zaman persekolahan dahulu, kita berasa alangkah sukarnya untuk lulus PMR kerana terpaksa menghafal matapelajaran untuk tiga tahun iaitu daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga. Kebolehan mengasah pensel dengan pengorek pun harus diketepikan kerana kita perlu belajar mengasah pensel menggunakan pisau agar lorekan di kotak-kotak jawapan objektif dapat dilakukan dengan kemas. Akhirnya kita melangkah ke dewan peperiksaan dengan seribu kegusaran.

Namun, setelah keputusan PMR diumumkan, kita yang tidak begitu rajin, dapat juga kelulusan yang baik, setanding dengan teman-teman lain. Ketika itu, baru kita percaya yang rupa-rupanya kita sepandai rakan-rakan sekelas. Menjelang peperiksaan SPM pun, minda kita memahat perasaan bahawa peperiksaan SPM itu sukar. Namun setelah keputusan peperiksaan diumumkan, kita berjaya juga. Untuk kali kedua di dalam hidup, kita percaya setelah berjaya.

Merentasi kehidupan, kita lalui pelbagai kejayaan yang lain. Mendapat ijazah di universiti, kemudian berkasih dan akhirnya melangkah ke jinjang pelamin adalah di antara kejayaan hidup yang dilalui bagai mimpi. Kita hanya tersedar bahawa ia benar-benar terjadi hanya setelah kita berjaya mengharunginya.

Bagi kaum wanita, kemampuan mengandung dan melahirkan anak adalah sesuatu yang sukar dipercayai sehinggalah suara bayi sendiri nyaring mengetuk ke gegendang telinga. Bagi kaum lelaki, kejayaan menjadi ayah hanya dimengerti setelah melihat senyuman si kecil.

Jelas sekali, sikap percaya setelah berjaya, sudah kita lalui berkali-kali dalam kehidupan. Apabila kita melalui pola ini secara berkali-kali, mengapa tidak kita ubah pola pemikiran untuk cuba percaya sebelum berjaya? Samada kejayaan itu berbentuk material, emosional mahupun spiritual, sedarilah, seandainya berjuta-juta insan yang lain telah lalui apa yang kita bakal harungi, hampir mustahil kita pula yang akan gagal.

Ada perbezaan di antara mereka yang percaya setelah berjaya atau mereka yang percaya sebelum berjaya. Yang pertama hanya melahirkan manusia tidak apa-apa. Yang kedua melahirkan manusia yang apa-apa.
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 20.10.2010.

Tuesday, October 12, 2010

BERUBAH UNTUK KEKAL RELEVAN


Foto: scottscales.com

NAMA KITA
ADALAH SATU JENAMA

PENGALAMAN saya sewaktu di sekolah rendah ~ akan terdapat suatu hari bila mana cikgu akan meminta semua murid-muridnya untuk beratur di luar kelas. Kami akan berbaris berdua-dua dan berjalan berpimpinan tangan menuju ke sebuah van besar yang sudah menanti di bawah pohon semarak api.

Pada ketika itu, tahulah saya bahawa kami semua akan dihidangkan dengan segelas air Milo. Cuaca yang panas dan dahaga tekak dihilangkan dengan minuman Milo yang sejuk dan sedap. Seingat saya, hampir setiap tahun kami menerima minuman percuma itu.

Pada hari ini, seandainya saya mempunyai kesukaran memilih minuman apabila makan-makan bersama keluarga di restoran, saya akan memesan sahaja air Milo. Saya berasa selamat memesan air itu kerana sudah ingat akan rasanya.

Milo, air coklat bercampur malt itu diadun sejak tahun 1934. Kini, setelah melebihi tiga suku abad, minumannya masih saya gemari. Saya percaya ramai di kalangan kita juga menyukainya. Mengapa kita sukakannya? Di antara puncanya ialah kerana minuman itu dipromosikan sepanjang masa hingga kita kenal dengan jenama Milo. Kerana itu, jenama tersebut berada di minda kita di sepanjang usia.

Dan, dari setahun ke setahun, dari sedekad ke sedekad, bekas tin dan logo jenama itu sentiasa bermain di mata melalui promosi dan iklannya. Kini, meskipun terdapat dalam bentuk original, 3 dalam 1, UHT, Mocha, dalam plastik atau di dalam kotak, warna hijaunya itu amat kita kenali. Pendek kata, Milo kekal relevan kerana jenamanya terkenal dan penjenamaan semula sentiasa dilakukan oleh pengeluarnya.

Jenama-jenama lain seperti magerin Planta, ubat gigi Colgate, minyak rambut Brylcreem, malah Maybank adalah di antara jenama-jenama yang terkenal dari dahulu hingga ke hari ini kerana tuanpunya jenama-jenama itu sentiasa melakukan penjenamaan semula agar imej produk-produk itu sentiasa segar dan semasa, hingga kita tidak berasa ketinggalan zaman apabila menggunakannya.

Penjenamaan semula atau rebranding inilah yang melestarikan jangka hayat sesebuah jenama itu sehinggakan seseorang menggunakan produk itu bukan semata-mata kerana mereka memerlukannya, tetapi berasa selesa, malah bangga kerana menggunakan sesuatu produk itu.

Contohnya, nasi lemak bungkus berharga seringgit yang dimakan di gerai bawah pokok hanya setakat sedap dirasa. Tetapi, dengan adanya jenama dan penjenamaan semula, nasi lemak yang dimakan saban hari itu akan membuatkan si pemakan rasa bergaya bila menjamahnya.


Inilah yang dipersembahkan oleh restoran Nasi Lemak Antarabangsa. Harga nasi lemaknya lebih mahal empat kali ganda, tetapi kita masih ingin memakannya tanpa komplen tentang harganya kerana kita bukan makan nasi lemak, tetapi nasi lemak berjenama Nasi Lemak Antarabangsa.

Nama manusia juga boleh diumpamakan sebagai satu jenama. Kita boleh kenal dengan ramai sekali orang bernama Ali, tetapi bukan semua Ali membawa makna, imej dan prestij kepada namanya. Ali yang kita kenali itu mungkin sekali Alibaba, Ali yang menjadi bilal di surau kampung atau Tan Sri Ali, seorang tokoh korporat. Pangkat dan gelaran memang menaikkan imej seseorang Ali. Tetapi, personaliti, idea, karisma serta kepimpinan yang diserlahkan itulah yang membawa jenama Ali itu sendiri.

Tetapi, Ali yang membawa jenama yang berpersonaliti lagi dihormati itu akan hilang pengaruhnya seandainya Ali tidak melakukan penjenamaan semula atau rebranding. Dalam konteks manusia, penjenamaan semula boleh sahaja berupa perubahan fizikal seperti Ali yang gemuk menjadi Ali yang sendo; perubahan personaliti seperti Ali yang hu-ha kepada Ali yang alim lagi pendiam; atau perubahan status seperti Ali yang tidak lulus SPM kepada Ali yang berkelulusan Doktor Falsafah.

Di sekeliling kita terdapat banyak sekali contoh-contoh manusia yang masih relevan kerana sentiasa melakukan perubahan. Bagaimana Tengku Razaleigh Hamzah yang walaupun mula suam di peta politik tanahair, tiba-tiba hangat semula apabila beliau berpendirian menyokong desakan PAS untuk menyaman PETRONAS, satu tindakan yang tidak disangka oleh pihak UMNO. Kini, beliau melangkah penuh gaya kerana diberi mandat memilih calon ADUN Galas.

Begitu juga dengan Datuk Ibrahim Ali, yang pernah dipersendakan sebagai Wakil Rakyat yang melompat parti dan menjadi Wakil Rakyat Bebas, kini kekal kian hebat sebagai pemimpin PERKASA. Tidak terkecuali dengan Datuk Bung Mokhtar Radin dengan perubahan imej melalui perkahwinannya.

Maka, apakah kita, setelah 20 tahun bekerja misalnya, masih lagi menjawat jawatan yang sama, berperangai yang sama, berpakaian yang sama dan bercakap tentang benda-benda yang sama? Andainya kita begitu, bersedialah untuk tidak dianggap relevan, kerana tiada melakukan penjenamaan semula.

Ketika itu, jangan tertanya-tanya mengapa mereka telah melupakan aku?

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.10.2010.

Saturday, October 9, 2010

MENGEJAR MATERIAL


Foto:lifesalary.com
GAJI BUKAN
SEGALA-GALANYA


SAYA menemui Halim, seorang katerer sewaktu menghadiri sebuah majlis sambutan aidilfitri di rumah kenalan di pinggir Kuala Lumpur. Setelah berkenal-kenalan, baharulah saya tahu, dia jugalah katerer untuk majlis itu. Makanannya enak-enak. Para petugasnya pun ramai. Sekitar 20 orang untuk majlis sepanjang hari minggu itu.

Saya bertanya, mengapa mengambil petugas yang ramai. Padahal, pada saya, sepuluh orang petugas pun sudah memadai kerana para tetamu lebih selesa mengambil makanan secara layan diri. Lagi pun, majlis aidilfitri tidak begitu sesak seperti majlis perkahwinan di mana waktu kedatangan tetamu biasanya dihadkan sekitar empat jam. Suasana amat santai.

Kata Halim, dia tidak sampai hati untuk mengurangkan jumlah petugasnya walaupun ramai di antara mereka hanya pekerja sambilan kerana masing-masing sudah bersamanya lebih tiga tahun. Biarlah dia membayar lebih sedikit asalkan semua para pekerjanya dapat duit poket. Lagipun, mereka mesra sesama mereka seperti adik beradik. Daripada penerangannya, saya rasa Halim baik hati orangnya.

Mengikut Halim, masing-masing tahu tugas masing-masing. Dengan kecekapan dan kebiasaan melakukan kerja, yang lelaki dapat memasang empat khemah yang lengkap dengan kain hiasan bersama dengan kerusi dan meja bersarung dalam masa sejam. Yang perempuan pula pantas mengatur periuk, mangkuk, pinggan, piring serta sudu dan garpu setengah jam selepas itu.

“Untungnya abang kerana ada ramai pekerja yang cekap. Tetapi abang tak ada penyelia atau mandor ke, sampai kena selia sendiri?” soal saya. “Ketua bebudak tu dah berhenti sebelum puasa. Inilah sebabnya abang sendiri kena turun padang,” jawab Halim. Kata-katanya itu mengkagetkan saya.

“Entahlah. Dia berhenti kerana dapat kerja dengan katerer lain. Di sana, dia dapat gaji lebih seratus ringgit daripada bekerja dengan saya. Saya nasihatkannya, supaya fikir habis-habis sebelum meletakkan jawatan. Tapi dia degil. Sudahnya, sayalah yang kena ganti dia buat sementara waktu, sebelum saya pilih salah seorang daripada pekerja yang ada untuk jadi penyelia,” ujar Halim dengan panjang lebar.

“Baru sebentar tadi penyelia saya yang berhenti tu telefon merayu-rayu hendak bekerja semula.” Kenyataan Halim itu menarik perhatian. “Kenapa?” tanya saya. “Katanya, walaupun gajinya di tempat baru bertambah seratus ringgit, nilai kerja yang terpaksa dia buat melebihi tiga ratus ringgit! Dia bukan sahaja menjadi penyelia tetapi mengambil tempahan daripada pelanggan, membeli barang basah dan pemandu pekerja! Di tempat saya, dia hanya arah-arah pekerja sahaja.”

“Habis tu, abang nak ambil dia balik, tak?” Soalan saya dijawab dengan gelengan perlahan. “No way! Saya tak ambil dia kerana dia asyik memikirkan soal gaji. Padahal, gaji bukan segala-galanya,” katanya lalu bangkit dan berlalu melayani para pengunjung.

Kata-kata Halim membuatkan saya berfikir. Lalu menyedari ada di antara kita terlalu mengutamakan gaji daripada lain-lain faktor. Apabila memohon kerja, perkara utama yang diambil kira adalah gaji. Syarikat mana yang menawarkan gaji lebih tinggi, di sanalah tempat kita pilih untuk bekerja.

Kita tidak memikirkan sama ada gaji yang diberi benar-benar setimpal dengan kerja yang kita lakukan. Atau, gaji yang dijanjikan benar-benar akan diberi pada penghujung bulan. Apabila hendak bekerja di tempat baharu pun, faktor gaji juga yang asyik diambil kira sebagai faktor utama.

Soal sama ada jarak daripada rumah ke tempat kerja, teman-teman di tempat kerja, kemudahan-kemudahan pekerja, kepatuhan syarikat mengikuti hak-hak pekerja, bentuk kerja-kerja yang bakal dilakukan termasuk perangai bos, tinggal kabur di benak fikiran. Akhirnya, apabila mula bertugas dan kita berdepan dengan faktor-faktor lain seperti kemudahan syarikat, majikan, rakan sekerja, suasana kerja, bidang tugas, malah sempit atau luasnya meja kita, jauh atau dekatnya pejabat dengan tempat makan, maka baharulah terfikir bahawa soal gaji bukan faktor nombor satu.

Pada ketika itu, walaupun berasa kesal dengan keputusan yang diambil, kita tidak mampu mengubahnya kerana sudah terperangkap di dalam putaran sikap yang kita pilih sendiri. Jika kita cepat sedar, mudahlah kita berundur. Andainya kita lalai, maka gaji itu sepatutnya digunakan untuk membeli ubat hati.
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.10,.2010.