Wednesday, July 28, 2010

Tanggapan Silap Masyarakat


BEBAN SEORANG
WAKIL RAKYAT


SETELAH mengaminkan doa pak imam di sebuah masjid di pinggir kota, dan ketika hendak beredar, saya nampak beberapa orang jemaah meluru ke arah seseorang. Setelah mengamati dari jauh, tahulah saya para jemaah itu berkerumun untuk bersalaman dengan seorang Wakil Rakyat.

Di antara mereka yang menemui Wakil Rakyat itu adalah seorang kenalan saya, Harun. Lama saya tak bertemu dengan Harun. Lantas saya berdiri menunggunya bersalaman dengan Wakil Rakyat itu. Saya ingin menyapa Harun bila dia menapak ke arah saya. Namun saya teragak-agak hendak menegur kerana tampak keruh di wajahnya. Sebaik sahaja Harun terpandang saya, wajahnya jadi berseri pula. Lalu kami terus bertegur sapa.

“Tadi aku nampak wajah kau monyok, aje. Kenapa?” tanya saya. “Alah… YB Mat yang aku jumpa tadi sebenarnya kawan sepermainan. Bila terpandang aku, dia bukan main lagi tersengih nak bersalam. Tapi sebaik sahaja hendak bersalaman, dia tertoleh ke arah orang di sebelah aku.
Baru saja bersentuh jari, dia dah lepaskan tangan dan bersembang dengan orang itu. Lafaz salam aku pun entah dijawab, entahkan tidak. Kalaulah macam ini perangainya, kalau dia bertanding di kawasan aku lagi, aku tak akan undi dia…”

Daripada tutur katanya, jelas sekali Harun berasa tidak dipedulikan oleh Wakil Rakyat yang juga kawannya itu. Perasaan kecil hati itu wajar, sebagai seorang manusia. Namun, bila ia melarat sampai berniat untuk tidak mengundi orang politik itu semata-mata kerana orang itu tidak betul-betul bersalaman dengannya, itu sudah tidak patut.

WAKIL RAKYAT adalah di antara manusia yang amat sibuk. Hanya segelintir sahaja yang menyibuk. Mungkin, selain daripada peranan sebagai seorang bapa, dia juga adalah seorang suami, bapa mentua dan seorang menantu di peringkat keluarga. Dia mungkin juga adalah ketua, pemimpin, pengurus, perunding, penasihat, penyelesai masalah dan ada kalanya menjadi pak imam di kariahnya.

Kesibukannya pula daripada pagi sampai ke malam. Merasmikan majlis, bermesyuarat, berdialog, berdebat, menolong rakyat dan meluluskan permohonan adalah kerja sehariannya melebihi 14 jam sehari dan 7 hari seminggu.

Namun, apa yang kita selalu lihat ialah ketika dia berucap di pentas, berdebat di Parlimen, bercakap dalam sidang akhbar atau bersembang ketika menjamu selera selepas merasmikan majlis atau bila kita terserempak dengannya di kafe.

Itulah imejnya di mata masyarakat. Tekanan di fikirannya sebagai bapa, suami, ahli keluarga dan tentu sekali sebagai ahli politik kita tidak nampak. Semakin tinggi pangkatnya di dalam parti, semakin sukar dia mempunyai masa untuk dirinya. Malah, sebagai pemimpin di peringkat nasional, jadualnya disusun, masanya di sesuatu majlis dicatu dan langkahnya pun diatur. Seolah-olah dia adalah robot atau produk bernyawa.

Malangnya, kerana mereka begitu prihatin terhadap rakyat, dan kerana mereka bisa bercakap untuk menenang dan menyenangkan hati ketika bertemu kita, kita perasan yang kita satu-satunya orang yang paling disukainya. Maka secara tidak sedar, kita melantik Wakil Rakyat sebagai penyelesai segala masalah kita.

Kita bukan sahaja meminta pertolongan mereka untuk kemasukan anak ke sekolah asrama penuh, merekomen permohonan tanah, tapak niaga, pinjaman bank, gelanggang futsal, kipas angin dalam balai raya dan sejadah di surau. Malah, tempat mandi mayat pun kita pinta mereka dermakan.

Permohonan berbentuk material itu boleh dikatakan wajar dipenuhi oleh Wakil Rakyat. Tetapi jika sampai kita pinta pertolongan spiritual dan mental yang berlebih-lebihan, itu sudah di luar kemampuan ahli politik itu. Wakil Rakyat tidak boleh mengatasi masalah banjir. Itu masalah jurutera.

Mereka tidak boleh menyelesaikan masalah kemiskinan. Itu tanggungjawab pakar ekonomi. Mereka juga tidak boleh hapuskan masalah mat rempit. Ia kerja pakar psikologi. Mereka tidak dapat selesaikan masalah pengangguran. Itu bidang pengurusan sumber manusia. Mereka juga tidak mampu satukan rakyat. Ia tugas ahli sosiologi dan tanggungjawab rakyat sendiri.

Apa yang mampu mereka lakukan ialah menyampaikan denyut citarasa rakyat melalui saranan, gesaan dan cadangan. Melalui kuasa undi mereka sebagai Wakil Rakyat, mereka meluluskan undang-undang di Parlimen. Itu sahaja kuasa sebenar mereka. Jika kita pinta lebih daripada itu, kita bukan sahaja merosakkan pertimbangan mereka, tetapi juga masa depan kita sendiri.

Konfusius pernah berkata, ‘Pemimpin itu umpama matahari. Mereka menyinari. Namun, andai dihampiri, kita rentung jadinya.’


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.7.2010

Tuesday, July 20, 2010

Menjadi Pengikut Yang Baik



Foto: womanpr.com
PENGIKUT BUKANNYA
PAK TURUT


PETANG kelmarin, saya bertemu dengan Husni, seorang sahabat yang sekuliah ketika menuntut di UiTM. Ketika di kampus, kami menggelarnya Mat Belia kerana cara berpakaiannya yang begitu kemas. Kemejanya disisip ke dalam seluar. Seluarnya pula jenis slack, rambutnya tersisir rapi dan kasutnya jenis kulit yang berkilat.

Kini, perwatakannya pun sudah sedikit berubah. Dulu, dia lebih banyak tersenyum daripada bercakap. Kini sudah sebaliknya. Gaya berpakaiannya, walaupun masih sama, tetapi kini sudah pandai berjeans dan berkasut kanvas. Sudah 30 tahun tidak bertemu, tentu sekali banyak cerita yang dapat dikongsi.

Selain daripada cerita zaman muda-muda dahulu, perbualan kami berlanjutan kepada kisah-kisah kerjaya, keluarga dan akhirnya kepada kisah politik. Perbincangan bersama Husni pada petang kelmarin bertukar hangat kerana topiknya mengenai bolak-balik pertemuan pemimpin Umno dan Pas.

“Cakap para pemimpin kedua-dua belah pihak lebih banyak yang negatif daripada yang positif. Ada juga yang bercakap seperti orang yang bongkak dan takabbur… bercakap mengenai kekuatan parti masing-masing dan menyindir pula terhadap parti lawan.” Saya menjadi asyik dengan kritik yang disampaikannya.

“Bukankah berbaik itu bagus dan berbalah itu tidak elok? Berjumpalah dulu untuk bertentang mata dan duduk semeja. Ini, tidak. Tapi aku lebih kesal dengan ahli-ahli Umno mahupun Pas. Mereka membiarkan pemimpin masing-masing bercakap dengan nada yang semakin menjauhkan persaudaraan sesama Islam. Sepatutnya ada ahli-ahli yang berani bangun menegur pemimpin mereka.”

“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya..,” kata Husni lagi yang memetik Surah Al-Hujurat, ayat 9. “Kalau pengikut tidak boleh menegur pemimpin, mereka bukanlah pengikut yang baik!”

Kata-kata Husni itu ada benarnya. Dia bukan sahaja mengkritik para pemimpin, tetapi dia juga mempersoalkan pendirian para pengikut parti-parti itu. Leadership yang baik memerlukan followership yang bagus. Kepimpinan yang elok memerlukan kepengikutan yang molek.

Kita terlalu sangat menumpukan kepada istilah kepimpinan, bukannya kepengikutan. Carian saya di Google sebentar tadi memaparkan topik mengenai leadership berjumlah 144 juta, sedangkan topik mengenai followership pula hanya 160 ribu. Dalam bahasa Melayu, carian saya mengenai topik kepimpinan dalam memaparkan 4.6 juta pautan, sedangkan topik mengenai kepengikutan hanya 4,950.

Followership atau apatah lagi, kepengikutan adalah istilah yang jarang sekali digunakan oleh kita. Malah, mungkin anda yang membaca artikel ini baharu tahu ada istilah kepengikutan atau followership dalam bahasa Inggerisnya.

Tiada istilah, maka tiada ilmunya. Ertinya, jika istilah kepengikutan itu sendiri tidak pernah atau jarang sekali digunakan, tentulah konsep kepengikutan itu sendiri belum difahami oleh sebahagian besar daripada kita. Oleh kerana konsep kepengikutan itu tidak diketahui, maka kita hanya tertumpu kepada kepimpinan yang baik, tetapi bukannya kepengikutan yang bagus.

Sebab itulah, pada hari ini kita punyai ramai pemimpin yang baik, tetapi ramai sekali pengikut yang jadi pak turut. Mereka tongong dan taklid kepada pemimpin. Lebih buruk lagi, ramai yang menjadi pengikut yang taksub dengan pemimpin. Mereka angguk sahaja apa yang pemimpin kata, dan berperangai hodoh bila tahu membodek sahaja di sepanjang masa.

Seharusnya, pengikut bukan sahaja menuruti jalan dan pandangan pemimpin, tetapi memberi maklum balas kepada pemimpin akan haluan yang dilalui. Mereka adalah cermin kepada ketua kerana memainkan peranan untuk check and balance agar segala keputusan yang silap dapat diperbaiki dan tidak diulangi.

“Jika sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya, jika dia tidak mampu untuk mengubahnya, maka ubahlah dengan lidahnya, dan jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman.” – Riwayat Muslim.

Menegur untuk kebaikan tidak terhad sama ada kita di atas atau di bawah. Ia tanggungjawab semua, sama ada pemimpin, lebih-lebihlah lagi pengikut kerana jumlah yang ramai itu boleh nampak kesilapan seorang.

Pendek kata,
orang di belakanglah
yang menjadikan orang yang di hadapan itu,
ke hadapan.

Artikel ini terbit di akhbar SINAR HARIAN pada 21.7.2010.

Wednesday, July 14, 2010

Mengendalikan Setiap Keputusan


Foto: telegraph.co.uk

MENYUKAI
APA YANG KITA PILIH


SAYA mengenali Aman, anak seorang kenalan sejak dari zaman persekolahannya. Aman seorang pemuda yang rajin. Sementara menanti keputusan SPM, Aman memperoleh dua peluang pekerjaan. Yang pertama, membantu rakannya menjaja CD cetak rompak. Kedua, menolong bapa saudaranya di gerai burger. Aman memilih kerja yang kedua.

Apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan, Aman memperoleh keputusan yang cemerlang. Dia memperoleh 8A1. Pada waktu yang sama, Aman sudah pun menerima tawaran melanjutkan pelajaran daripada pelbagai kolej swasta dan IPTA. Ada tawaran mengikuti kursus pemasaran, perakaunan, kejuruteraan dan lain-lain. Akhirnya, Aman memilih untuk menuntut di sebuah universiti tempatan dalam bidang Arkitektur, iaitu kursus yang dicita-citakannya.

Sudah sekian lama saya tidak menemui Aman sehinggalah terserempak dengannya ketika makan tengah hari di sebuah restoran di Taman Tun Dr. Ismail. Aman tidak seceria yang saya kenali. Lantas saya bertanya, “Aman jadi arkitek di mana?”

Dia tersenyum tawar bila mendengar soalan saya. Perlahan-lahan dia menggeleng. “Aman kerja dengan kawan di bengkel motor aje, pakcik.” Mata saya bulat memandangnya. Mengapa Aman tidak memilih kerjaya seperti yang diingininya? “Abah dah meninggal. Ramai adik-adik Aman nak sekolah. Aman tak boleh pilih kerja.” Saya mula mengerti dengan situasinya.

Ya. Dalam hidup, kerapkali kita berada di persimpangan pilihan. Dan, bentuk-bentuk pilihan yang kita hadapi ada tiga. Pertama, memilih di antara yang baik dan yang buruk. Bagi Aman, dia memilih untuk menolong bapa saudaranya menjual burger dan bukan sebagai penjaja CD cetak rompak. Pilihan begini mudah dilakukan kerana tentu sekali yang baik mengatasi yang buruk. Dalam kehidupan, kita mudah memilih sama ada untuk merokok atau berhenti demi kesihatan; sama ada memandu mengatasi had laju hingga membahayakan keselamatan diri atau memelihara nyawa dengan mematuhi undang-undang.

Kedua, memilih yang terbaik di antara yang baik. Buat Aman, dia memilih bidang arkitektur di antara tawaran-tawaran kursus yang bagus-bagus juga. Pilihan jenis kedua ini juga agak mudah, sama seperti kita hendak memilih pakaian mana yang lebih cantik di antara yang molek-molek di gedung pakaian, atau makanan mana yang ingin kita rasa di antara senarai menu hidangan di restoran.

Namun, pilihan bentuk ketiga amat sukar kerana ia adalah memilih sesuatu yang kita tidak mahu pilih. Seperti Aman, meskipun ingin menjadi seorang arkitek, dia terpaksa mengorbankan kerjayanya semata-mata untuk membantu keluarganya. Umpama, ditelan mati emak, diluah mati bapak. Dalam kehidupan, kita pernah berdepan dengan situasi terpaksa memilih apa yang kita tidak hendak.

Bagaimana pun, walaupun apa pun pilihan, kita mestilah menyukai apa yang kita telah pilih dan bukan membencinya. Ini adalah kerana, pilihan yang kita buat akan mempengaruhi minda dan emosi kita. Jika kita membenci apa yang kita pilih, kita terpaksa mengharungi hari demi hari dalam mode pemikiran yang pasif dan negatif. Emosi kita juga akan terganggu dan ini akan menjejaskan pandangan kita terhadap kehidupan itu sendiri.

Like what you do, not do what you like. Sukailah apa yang kita buat, bukan buat apa yang kita suka. Dengan pendirian begitu, kita boleh berdepan dengan apa jua halangan. Saya teringat kata-kata seorang tokoh korporat mengenai kita dalam menghadapi cabaran. Katanya, “jadilah seperti benih yang baik… jatuh ke laut menjadi pulau, bergolek ke darat menjadi bukit, tercampak ke langit menjadi satelit!”

Al-Quran ada menyentuh mengenai hal ini. “…boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah 216)


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.7.2010.