Wednesday, June 30, 2010

Tidak Cukup Dengan Apa Yang Ada


Foto:mybijakwang

MENGAPA MENYUKAI
APA YANG KITA TIADA


PADA cuti sekolah baru-baru ini, saya berkunjung ke rumah sepupu saya. Dia mempunyai dua orang anak lelaki yang comel. Yang pertama, berusia 6 tahun dan yang kedua pula 4 tahun. Sebagai buah tangan, saya membelikan masing-masing sebuah buku abjad.

Kedua-duanya tampak gembira dengan hadiah saya dan asyik membelek buku masing-masing di sudut ruang tamu. Namun, keasyikan mereka hanya seketika. Selang beberapa minit, mereka bergaduh, berpukul lalu menangis. Terpaksalah ibu mereka menjadi pengaman. Melalui leteran si ibu, tahulah saya yang mereka bergaduh kerana berebut buku.

Puncanya ialah bila si abang hendakkan buku si adik. Tentu sekali si adik tidak mengizinkan. Dan, si abang pula, meskipun buku yang saya berikan kepadanya lebih cantik dan lebih tebal, dia masih mahukan buku si adik.

Sekali pandang, sudah menjadi adat bagi kanak-kanak berebutkan sesuatu sama ada benda atau makanan. Tetapi, jika dilihat daripada sudut kejiwaan, sikap menyukai apa yang kita tiada sudah tertanam di dalam diri kita. Ini adalah kerana, sejak kecil kehendak kita pasti dilayani oleh ibu bapa. Apa sahaja yang dikehendaki akan ditunaikan. Akhirnya, ia menjadikan kita berasa mudah memperoleh sesuatu. Apabila kita dewasa, pelbagai kekangan menyekat kita memperoleh apa yang dihajati secara mudah. Lalu ia terpendam hingga menimbulkan rasa tidak puas dengan apa yang ada.

Daripada sudut yang positif, menyukai apa yang kita tiada itu menjadikan kita mencabar diri untuk memperoleh sesuatu yang lebih bagus. Pemikiran yang sentiasa inginkan sesuatu yang lebih baik atau lebih hebat itu adalah sikap yang terpuji. Namun, ia menjadi masalah dan bala kepada diri seandainya kita menghalalkan cara untuk mencapai matlamat, lalu menggagaunya dengan melanggar adat, adab mahupun undang-undang. Lantas kita tergamak menipu kelulusan untuk memperoleh jawatan, merasuah untuk mendapat projek atau menjatuhkan orang yang berada di atas kita.

Daripada sudut yang negatif, sikap menyukai apa yang kita tiada ini berakar akibat rasa rendah diri. Lalu berasakan apa yang kita ada itu tidak elok. Lantas, kita menyuntik hidung kita yang berbentuk jambu air supaya tinggi dan mancung seperti paruh burung belatuk. Atau memperlekeh bapa sendiri kerana beranggapan bapa orang lain lebih baik. Atau apabila kerap terasa kerja di syarikat lain lebih bagus, maka saban hari kita mencerca tempat kerja sendiri tanpa menyedari yang cercaan kita itu adalah doa yang akan meranapkan syarikat dengan kita, kita sekali.

Sedarilah bahawa apabila kita terlalu inginkan sesuatu hingga berasakan apa yang kita ada itu tidak elok, atau terlalu fokus kepada apa yang kita tiada, ia adalah petanda yang kita sudah lupa bersyukur. Sikap syukur akan membenihkan sifat sabar. Dan bersabar dengan berasa cukup dengan apa yang ada pula akan mencambah sikap qanaah iaitu berpada dengan apa yang ada.

Sebaliknya apabila kita lebih menyukai apa yang kita tiada, ia akan membenih sifat tamak hingga cemburu dengan apa yang ada pada orang lain. Lebih buruk lagi andainya kita bersifat dengki dengan merampas apa yang orang lain ada.

Seharusnya kita bukan lihat apa yang orang lain ada, renung apa yang orang lain tiada. Ertinya, kita mesti tenung dari kacamata spiritual dengan menyedari mereka yang lebih rendah, lebih dhaif atau lebih bernasib malang daripada kita. “Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat Allah kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dengan cara itu kita semakin bersyukur bukannya semakin kufur iaitu syukur nikmat bukannya kufur nikmat. “Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” Al-quran, (14:34).


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.6.2010.

Tuesday, June 22, 2010

Sikap Bina Tak Bina


Foto: redbookmag.com
ALANGKAH INDAH
ANDAINYA KITA ENDAH


SAYA bertemu kembali dengan Razia di alam siber apabila dia memohon menjadi rakan Facebook. Razia adalah bekas staf saya ketika bertugas di sebuah syarikat perunding perniagaan di Petaling Jaya. Sejak menjadi rakan, kami bermesej bertanya khabar. Saya sempat bertanya mengenai ayahnya, Pak Hanif yang baik hati. Orang tua itu tidak kenal saya secara peribadi tetapi melalui Razia yang selalu bercerita kepada ayahnya mengenai saya sebagai bosnya.

Apabila Razia pulang daripada kampung, dia selalu menyampaikan salam daripada ayahnya. Saya akan menyahut salam Pak Hanif seraya meminta Razia mengirim salam kembali. Oleh kerana kampung Razia di Felda Keratong, boleh dikatakan setiap bulan, dia akan pulang menjenguk orang tuanya. Dan, Pak Hanif tidak lupa mengirim buah tangan kepada saya berupa rambutan, manggis atau pisang salai. Dia pernah mengirim kepada saya daging rusa hasil buruannya.

Tentu sekali mesej pertama saya kepada Razia ialah mengenai Pak Hanif. Tersentuh hati saya bila Razia mengkhabarkan orang tuanya sudah tiada lagi. Arwah telah meninggal dunia tiga bulan yang lalu. Dan, mesej-mesej daripada Razia seterusnya ialah suara hatinya betapa beliau terkilan kehilangan orang yang amat disayangi. Katanya, dia mula jarang ke kampung sejak dinaikkan pangkat dan mula sibuk dengan kerja.

Sehinggakan apabila orang tuanya menjalani rawatan jantung di IJN KL pun, Razia tidak sempat menziarahi ayahnya yang terlantar. Malah, apabila orang tuanya dibawa kembali ke kampung, gadis itu masih sibuk dengan kerjanya sehingga Pak Hanif benar-benar pergi tak kembali. Hati saya tersentuh apabila membaca mesej-mesej Razia yang menceritakan betapa air matanya akan mengalir setiap kali hatinya dicengkam kekesalan bila mengenangkan arwah bapanya.

YA. Kita sering alpa apabila kita berasa kehidupan kita semakin baik dan sempurna. Apabila kesemuanya ada, maka kita menganggap seluruhnya akan kekal sampai bila-bila. Kenderaan yang membawa kita ke pejabat, kerja dan kerjaya kita dan mereka yang di sekeliling kita kesemuanya seperti kita juga ~ ia tidak akan kekal sampai bila-bila. Tanpa amaran, ia boleh hilang dalam sekelip mata. Kita yang berada di dalam pola kebiasaan tidak sedar yang kita sudah melangkah ke dalam zon selesa yang sebenarnya adalah tipu daya kehidupan.

Justeru itu, apabila kereta kita yang setia membawa kita pergi dan pulang kerja hingga kita terlupa untuk melakukan penyenggaraan; maka jangan panik apabila ia meragam tidak mahu hidup. Seandainya kerja kita yang sudah menjadi rutin dan mudah dibereskan sehingga kita tidak terfikir untuk memperbaiki cara kerja kita; maka jangan hairan apabila sampai tempoh kenaikan, gaji kita tidak dinaikkan kerana prestasi kita yang hambar. Sekiranya teman setia kita sudah dianggap amat memahami hinggakan kita tidak ambil pusing terhadap dirinya lalu dilayan seperti benda; maka jangan menyesal bila teman setia itu hilang dari mata.

Kita tidak ada kuasa. Namun, apabila bila kita lihat semuanya berada dalam putarannya, jangan pula kita berasa kesemuanya beredar dengan sendirinya. Apabila kehidupan kita diusik oleh Yang Maha Kuasa, janganlah melatah dan menyesal. Bersyukurlah senantiasa kerana dengan itu kita akan mengingat diri agar redha dan tawakkal apabila ujian datang bertimpa.

Alangkah indahnya jika kita sentiasa endah dengan manusia di sekeliling kita, perkara yang kita sukai dan benda yang kita empunyai. Dengan cara itu, kita tidak akan bina tak bina, atau mengambil mudah dengan apa yang kita ada. Let’s not take things for granted. Ingatkan diri bahawa yang kekal hanyalah Yang Awal dan Yang Akhir ~ Al-awwalu wal-akhiru. Ingatkan diri kita sekarang kerana umur kita semakin singkat. Ingatkan sekarang, bukan esok atau lusa.

Hadith Nabi: Ibn Umar r.a., katanya : " Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : “Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara.” Maka Ibn Umar berkata : "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati."

Artikel ini terbit di akhbar Sinar harian pada 23.6.2010.

Wednesday, June 16, 2010

Belajar Terus Belajar


BELAJARLAH
MENGHORMATI ILMU


Dua kali sebulan, saya memberi kuliah penulisan kepada para wartawan. Semakin lama memberi kuliah, saya mula mencari kelainan dalam berceramah dengan menggunakan slaid sebagai daya penarik. Maklumlah, kuliah pengetahuan biasanya cepat membosan dan mudah membuat mata para pesertanya layu. Lagi pula, slot kuliah saya biasanya diberikan selepas waktu makan tengahari.

Baru-baru ini, saya cuba pula memasukkan muzik latar di dalam slaid kuliah powerpoint saya agar menjadi lebih menarik. Saya gagal meskipun setelah beberapa kali cuba memasukkan muzik format MP3 ke dalam slaid powerpoint saya. Nota di skrin komputer menyatakan bahawa saya perlu menukar format MP3 itu ke format wav.

Saya memang tak pandai melakukannya. Setelah menggaru kepala, saya tercari-cari anak sulung saya yang mempunyai kemahiran kejuruteraan komputer. Malangnya dia sedang nyenyak tidur. Dengan perasaan bosan, saya bertanya pula anak perempuan saya yang berusia 11 tahun. Sengaja membuang pertanyaan tanpa bermaksud apa-apa.

Dengan selamba dia datang dan meminta saya beralih dari kerusi komputer. Dengan pantas jari jemarinya menari-nari membuka fail video converter yang tersimpan di dalam cakera padat komputer. Tidak sampai lima minit muzik format MP3 telah ditukar ke format wav. Tanpa berkata apa-apa, dia terus bangun dan meniarap kembali di lantai untuk menyambung lukisan kartunnya.

Untuk sekian kalinya saya rasa terpukul. Teringat kembali akan kata-kata, ‘kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.’ Dari semasa ke semasa saya akan mengalami situasi bilamana saya disedarkan bahawa tidak semestinya ‘orang yang terlebih dahulu makan garam itu’ tahu semua perkara. Malah, bidalan itu sudah tidak relevan kerana ia berkait dengan pengalaman.

Selain daripada pengalaman, yang penting pada hari ini adalah pendedahan. Pengalaman selalunya mengambil masa untuk dijadikan pengetahuan. Sedangkan pendedahan pula begitu pantas berubah menjadi pengetahuan. Oleh kerana orang muda lebih mudah menerima pendedahan, maka mereka lebih pelbagai ilmu daripada kita yang banyak bergantung kepada pengalaman. Pada era IT ini, ada banyak sekali perkara yang tidak diketahui oleh orang dewasa sebenarnya bukan sahaja menjadi kemahiran orang muda dan kanak-kanak, malah menjadi mainan seharian mereka.

Kerana itu, dalam banyak perkara kita yang dewasa perlu belajar daripada orang muda. Saya teringat bagaimana tabiat berdoa sebelum makan itu diperkenalkan oleh anak-anak saya ketika mereka bersekolah TADIKA. Bagi saya yang sudah berpuluh tahun hidup, cukup sahaja dengan bacaan bismillah sebelum menyuap makanan. Namun, apabila diajar oleh anak-anak, melalui amalan mereka baharulah saya mula mengamalkannya.

Pada hari ini, ada banyak ketika saya berbual dengan para remaja dan mereka memberi pandangan mengenai perkara-perkara yang selama ini saya tidak ambil serius. Sejarah Empayar Uthmaniah yang saya pelajari untuk peperiksaan Islam di SPM pun saya mula pelajari semula dengan lebih bermakna melalui penceritaan mereka. Begitu juga sejarah perselisihan orang-orang Yahudi dan Arab hingga tercetusnya pergolakan perebutan bumi Palestin juga saya pelajari melalui mereka yang lebih muda daripada saya.

Yang penting ialah belajar. Untuk memperoleh ilmu, kita bukan sahaja melalu proses learning iaitu belajar, malah unlearn dan relearn atau membuang apa yang telah lama kita ketahui untuk belajar semula. Contoh yang mudah, jika dahulu kita merakam menggunakan tape recorder, kini kita boleh merakam menggunakan MP3. Jika dahulu satu keluarga akan makan apa yang emak masak, kini satu keluarga boleh duduk semeja dan makan apa yang masing-masing sukai.

Budaya, gaya hidup dan cara hidup sudah berubah. Kita mesti menyedari akan perubahan itu jika tidak mahu dianggap kolot. Jika selama ini, anak-anak diumpamakan kain putih dan ibubapalah yang mencorakkannya, kini jika ibubapa adalah kain yang bercorak, anak-anaklah pula yang akan memutihkannya kembali.

Yang penting pada hari ini bukanlah siapa yang mengajar siapa, atau siapa yang belajar daripada siapa, tetapi sikap kita menghormati ilmu dan menghormati siapa yang ahli di bidangnya.
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.6.2010.

Tuesday, June 8, 2010

Kita Adalah Pelakon


Foto: metagencyonline
DUNIA INI
PENTAS SANDIWARA

BARU-BARU ini, saya bertemu dengan Azman, seorang kenalan lama yang telahpun bersara daripada sebuah syarikat swasta. Jawatan akhir sebelum dia bersara adalah sebagai Pengurus Pemasaran. Sebagai orang pemasaran, Azman popular di kalangan semua warga syarikat di tempat kerjanya.

Dia ringan tulang orangnya. Apabila syarikat ingin mengendalikan program, dialah yang akan menjadi juru acaranya. Jikalau mana-mana warga syarikatnya hendak membuat majlis, dialah yang akan dipanggil untuk menyerikannya. Sakit pening dan kenduri kendara mana-mana warga syarikat akan dibantunya. Pendek kata, Azman umpama wakil rakyat.

Bagaimana pun, setelah dia bersara, Azman mula dilupakan. Tidak sampai sebulan dia pencen, bekas teman-teman sepejabatnya mula bersikap dingin terhadapnya. Bila Azman menelefon mereka, masing-masing tidak hendak berbual lama dengannya. Apabila Azman datang minum-minum di gerai berhampiran dengan ofisnya, teman-teman lamanya hanya ‘berhai-hai’ dengannya tanpa mahu bertepuk tampar seperti ketika dia sama-sama menjadi pekerja. Keluhan inilah yang disuarakan Azman kepada saya. Dengan wajah yang sugul, Azman berasa dirinya sudah tidak dipedulikan oleh bekas rakan-rakan sepejabatnya.

SAYA teringat akan kata-kata pujangga Shakespeare di dalam persembahan pentas berjudul As You Like It. Katanya, all the world’s a stage. All the men and women merely players. They have their exits and entrances. Maksudnya, dunia ini pentas sandiwara. Kesemua lelaki dan perempuan adalah para pelakonnya. Masing-masing mempunyai (waktu) masuk dan keluarnya.
Kata-kata Shakespeare begitu tepat sekali. Namun sebilangan daripada kita terlupa mengenainya. Malah, ramai yang tidak sedar bahawa kita ini adalah sebahagian daripada pendokong watak-watak dalam dunia kehidupan. Kita ada tempoh dan masa masing-masing. Sama ada kita menjadi hero, penyangak mahupun pak pacak semata-mata, kita perlu tahu, bilakah kita ingin ditonton di tengah-tengah gelanggang kehidupan dan di waktu manakah kita perlu tunduk dan berundur sahaja ke belakang pentas dunia.

MALANGNYA, akibat tidak sedarkan diri, ada watak-watak hero semalam berasakan dirinya masih hero lagi hari ini, meskipun setelah berdekad-dekad berlalu. Kita lihat terdapat pemimpin politik yang ingin berpaut kepada kuasa dan duduk di kerusi ketua hingga ke akhir hayatnya. Sesiapa yang tegur, akan dicantas dan dibuangnya keluar daripada parti. Di hatinya sudah terpahat, ‘akulah hero dulu, kini dan selama-lamanya,’ tanpa menyedari dia sudah menjadi si hero tua.

Ada juga Yang di Pertua persatuan belia yang masih enggan turun dari kerusi walaupun telah berpuluh tahun memimpin kerana takut dirinya dilupakan. Dia duduk di kerusi ketua dan tidak mahu bangun-bangun dengan harapan agar terbit akar keluar daripada punggungnya supaya kerusi itu terus melekat menjadi sebahagian daripada anggota tubuhnya. Diri yang dulunya remaja sudah menjelma menjadi remaja bangka tetapi masih tiada hati menjadi pengikut pula. Kerana itu, dia membina penyokong-penyokong pak turut yang akan terus menyokongnya. Dia lupa yang sokongan itu adalah sokongan yang membawa rebah.

Sedarilah. Kita perlu ingat bilakah masa kita diperlukan, bilakah waktu kita tidak dipandang. Andainya kita ibu mahupun bapa… ketahuilah bahawa bila anak sudah membesar, sudah sampai masanya si anak perlu kehidupannya sendiri. Kita tidak boleh mengongkong masa depannya, kerjayanya hatta, bila dan dengan siapa dia mesti berkahwin. Melangkahlah ke samping kehidupannya. Bila kita diperlukan, kita akan dicarinya.

Andai kita menjadi sahabat dan rakan, ketahuilah kita bukannya akan sentiasa menjadi teman suka dan dukanya. Ada ketikanya dia akan bertemu dengan kawan-kawan yang lain hingga melupakan kita. Apabila kita sakit dan terbaring di katil, ketahuilah bahawa mereka di sekeliling kita tidak punyai banyak masa untuk kita. Andainya mereka tidak menjenguk, mengeluh sahajalah mengenangkan giliran kita yang mula dilupakan.

Di pentas sandiwara dunia, kesemua manusia sibuk memainkan peranan masing-masing. Kerana itu, apabila kita sudah tidak ada di lingkaran kumpulan yang kita anggotai, bersedialah untuk dilupakan. Mereka masih ada peranan untuk dimainkan. Sebaliknya, kita sudah diusung ke belakang pentas dunia. Dalam kesunyian, telan sahajalah kepahitan itu kerana inilah hakikat kehidupan.

Adat di dunia sudah begitu.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.6.2010.