Tuesday, February 23, 2010

PERCAYAKAN GOSIP


Foto: tucsoncitizen.com
MENGAPA SUKA
CAKAP BELAKANG
?

SAYA menerima sebuah e-mel daripada seorang sahabat. Sharifuddin menceritakan keadaan warga syarikatnya yang tidak sampai 10 orang itu hendak berhenti kerja secara beramai-ramai. Puncanya kerana dia hanya memberi bonus sebulan gaji kepada kakitangannya. Saya hairan kerana setahu saya, syarikat pembekal alatulisnya itu tidak pernah memberi bonus sejak mula beroperasi. Mengapa pula mereka hendak berhenti kerja bila taukenya hendak memberi bonus?
“Aku pernah bersembang dengan seorang staf, niat aku hendak beri bonus kepada semua kakitangan aku. Dia boleh bawak cerita kepada staf yang lain yang aku nak beri bonus tiga bulan gaji. Bila aku beri sebulan gaji, masing-masing merajuk dan nak berhenti kerja. Mereka tuduh aku berbohong! Nasib baik aku panggil staf aku yang jadi penyebar cerita palsu itu menceritakan kepada semua staf dalam sebuah mesyuarat. Kalau tidak, aku boleh tutup kedai.”

Alhamdulilah kerana Sharifuddin dapat menangani masalah di syarikatnya yang kecil itu. Fitnah yang besar di dalam sebuah syarikat yang kecil itu dapat dihidu dan disusur puncanya lalu diselesaikan. Bagaimana pula kita yang bekerja di syarikat yang besar, kawasan perumahan yang besar atau kampung yang besar?

Yang pasti, saban hari berita benar dan palsu datang kepada kita bersilih ganti hingga kita tidak dapat mengenal yang mana satu yang benar dan yang mana salah. Yang bahayanya, berita itu tiba dalam bentuk pertuturan, bisikan dari telinga ke telinga sehingga kita tidak tahu dari manakah sumbernya. Malangnya, kita mudah mempercayainya.

Mengapa? Di antara punca utamanya ialah sikap kita yang mudah menerima apa yang disampaikan secara cakap belakang-belakang. Kita mudah menerima cerita yang disampaikan secara tidak rasmi ini kerana di dalam mana-mana kelompok manusia, akan terdapat seorang penyampai berita yang handal dalam mensensasikan apa jua khabar.

Lazimnya, si penyampai berita ini mempunyai cara pertuturan yang amat menyakinkan. Sesuatu berita disampaikan dengan intonasi suara yang memukau, mimik muka yang mempengaruhi si pendengar dan gerak geri yang dramatik. Sudah tentunya penyampaian yang sebegini akan membuat kita terpesona dan terlupa rasional serta logika. Sehingga akhirnya kebenaran itu dikaburkan dengan kebatilan.

Kerana itu, di dalam sesebuah organisasi, seseorang yang bertukar jabatan kerana kenaikan pangkat boleh digosipkan sebagai seseorang yang diturunkan pangkat. Orang yang mengundur diri daripada sesuatu jawatan kerana kurang sihat dikatakan sebagai dibuang dan orang yang mengubah pendirian kerana menghormati keputusan mesyuarat boleh dianggap orang berperangai lalang. Si penyampai berita inilah yang menggodam apa yang benar kepada yang palsu. Malangnya, yang palsu inilah yang dipercayai.

Mengapa pula yang palsu ini dipercayai hingga ia menjelma menjadi benar? Ia terjadi kerana kita juga. Ramai di kalangan kita terdiri daripada mereka yang lebih suka mengangguk untuk mengiyakan. Kita malas untuk berfikir sama ada apa yang disampaikan itu betul atau salah. Lagipun, kita segan untuk mempersoalkan apa yang disampaikan kerana hendak menjaga hati si penyampai berita.

Akibat kasihan kepada si penyampai kerana tidak mahu dia malu alah jika kita bertindak dengan menyoal sumber berita yang disampaikan, akibatnya, kita memperoleh maklumat yang salah. Oleh kerana kita perlukan maklumat untuk membuat keputusan, maklumat yang salah akan menghasilkan keputusan yang salah.

Sepatutnya, apabila kita memperoleh sesuatu khabar, perkara pertama yang harus kita lakukan ialah bertanyakan sumber berita yang diperoleh si penyampai. Dengan maklumat itu, kita harus terus merujuk kepada sumber itu untuk memperoleh kepastian. Tindakan ini akan mematikan fitnah di sumber asalnya. Dan, yang lebih penting, kita akan disegani kerana berani memberhentikan cakap belakang daripada berleluasa.

Dalam pada kita berani menghentikan cakap-cakap belakang, jangan pula kita terjerumus pula menjadi salah seorang daripadanya. Ini boleh terjadi jika pada mana-mana ketika, kita malu untuk mengaku yang kita tidak tahu mengenai sesuatu perkara apabila ditanya mengenainya. Oleh kerana hendak menyedapkan hati si penanya, maka kita pun mencipta cerita yang kita rasa logik.

Tanpa kita sedari, tindakan itu akan menjadikan kita si penyebar fitnah. Sedar-sedar, rupa-rupanya, kita pun apa kurangnya?

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.2.10.

Tuesday, February 16, 2010

MENCEGAH DIRI DARIPADA RASUAH


Foto: hubpages.com

BUKANNYA SUKAR
MENOLAK RASUAH

TATKALA bercuti panjang sempena Tahun Baru China, saya tertonton filem Bujang Lapuk di YouTube. Filem arahan Seniman Negara, Allahyarham P. Ramlee terbitan tahun November 1957(tahun kita memperoleh kemerdekaan) tidak pernah menjemukan. Terlalu banyak elemen pengajaran yang diselitkan oleh Allahyarham. Terima kasih, P. Ramlee.

Sebuah adegan menarik perhatian saya. Ia adalah babak dating sembunyi-sembunyi Sudin, salah seorang bujang lapuk dengan kekasihnya Zaiton. Perbualan mereka diganggu oleh adik Zaiton. “Ehem, ehem… kakak mintak duit 20 sen beli aiskrim!” celah kanak-kanak itu, lalu menghentikan perbualan pasangan itu.

“Sudah, tak ada duit. Mana ada jual aiskrim malam, malam?” jawab Zaiton. “Kalau tak ada duit, bukak, arr…” jawab si adik seraya memberi amaran akan memberitahu dating rahsia pasangan itu kepada emak mereka.

Sudin menggaru kepalanya. Bimbang rahsia mereka diadukan oleh adik Zaiton. Lantas dia menyeluk poketnya. “Nah. Ambil ini 20 sen. Lekas. Pi main jauh-jauh, ya dik!” Si adik terus berlalu pergi. Dan Sudin meneruskan perbualannya dengan Zaiton tanpa sekelumit pun rasa bersalah memberi rasuah yang tergaris di wajahnya.

Pastinya rasuah sudah pun terjadi seawal tahun-tahun kita memerintah negara sendiri. P. Ramlee sebagai perakam dan pengkritik sosial, telah memaparkan adegan itu mengikut stail humornya. Tentu sekali pada ketika itu, jumlah wang atau barangan yang bertukar tangan tidak mencecah angka berbilion ringgit seperti hari ini. Namun, P. Ramlee memaparkan, sekali gus memberi mesej bahawa rasuah telah pun tersemai sebagai salah satu cara mudah untuk menutup kesalahan.

Rasuah, tumbuk rusuk(bidalan), minyak pelincir atau greasing ialah memberi atau menerima sesuatu sebagai dorongan atau upah kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu. Bila rasuah diberi, si penerima akan melakukan sesuatu di luar bidang kuasanya. Atau sebaliknya, si penerima tidak akan melakukan tindakan penguatkuasaan terhadap si pemberi.

Pendek kata, rasuah itu melanggar peraturan dan boleh meranapkan sistem. Malah, dalam jangka masa yang panjang, bila rasuah berakar umbi dan menjadi budaya kehidupan, ia boleh sahaja menggadai bangsa dan menjual negara. Pada ketika itu, budaya rimbalah yang bermaharajalela. Siapa yang punya harta dan kuasa, dialah yang empunya takhta.

Namun, bila kita renungi, mereka yang cenderung menyalahgunakan kuasa material itulah yang sukar dihantuk kepala mereka ke tembok batu agar mereka sedar dan insaf. Mereka adalah si pemberi. Mereka menggunakan material sebagai cara untuk merebut sesuatu yang bukan milik mereka. Mereka membeli jiwa dengan menghulur. Dan, mereka adalah jerung yang bermain di lautan dalam.

Di pihak yang satu lagi ialah si penerima atau si ikan bilis. Oleh kerana kelabu mata terkena kilauan material, mereka menodai amanah, melanggar tanggungjawab hingga menggadai jiwa. Silap haribulan, nyawa diri dan keluarga menjadi cagaran apabila keburukan terbongkar dan terdedah.

Soalnya, mengapa menerima rasuah? Hinggakan oleh kerana sedap menerima habuan, akhirnya dia menjadi si peminta tanpa rasa segan silu lagi? Pahala ditolak ke tepi, dosa dipeluk bagai tidak mahu dilepas-lepas lagi. Sedapkah memakan harta yang batil begini?

Tidakkah dia ada maruah yang menjadi benteng untuk menolak pemberian? Pasti tiap insan punyai fitrah untuk menjadi amanah, bertanggungjawab dan menjadi orang yang baik-baik dan mati di dalam iman. Mengapa ini dinyahkan ke tepi?

Tiap sesuatu mesti ada permulaannya. Tentu sekali di peringkat awal, apabila rasuah mahu dihulur, si pemberi sendiri ragu-ragu. Mustahil si pemberi menghulur rasuah di tangan kanan sambil tangan kirinya mengacu pistol di kepala di penerima. Hingga si penerima tidak ada kuasa melainkan menerima rasuah kerana terpaksa. Jika keadaan begitu, mungkin si ikan bilis memberi izin dalam paksa.

Ini tidak. Habuan dihulur dengan senyum simpul di bibir. Si pemberi takut, pancing tidak direnggut si penerima. Pada saat itu, si penerima masih ada masa dan peluang untuk menolaknya dengan cara baik ataupun merenung ke dalam anak mata si pemberi sebagai cara untuk berkata ‘tidak’ dengan suara hati si pemberi.

Tetapi, oleh kerana hendak menjaga hati pada tempat yang salah, tidak pandai berkata ‘tidak’ atau tergoda untuk mencuba, dia menerima rasuah walaupun hati berkata ‘jangan.’ Apabila kali pertama telah berlangsung, kali kedua akan menyusul. Kemudian kali ketiga dan seterusnya akan berlaku seperti satu adat yang disusuli dengan istiadat dan upacara yang diraikan bersama di antara si pemberi dan si penerima. Bergelumanglah kedua-duanya di dalam lumpur noda hingga dihanyut ke lautan dosa. Nauzubillah min zalik.

Wahai. Bukannya sukar berkata tidak. Bukannya payah menjadi berani dalam hal ini. Tidak akan ada sesiapa pun yang akan mengapa-apakan kita bila berpegang kepada amanah. Ingat. Kebaikan akan menumbangkan kejahatan. Sikap tegas yang baik akan memancarkan aura yang akan menggerunkan orang lain. Ada banyak contoh di sekeliling kita.

Mereka yang tegas dan berani menentang kejahatan dalam apa jua bentuk akan membuatkan si jahat tunduk dan akur. Wartawan Karam Singh Walia, kolumnis R. Nadeswaran, aktivis pengguna Dr. Maamor Osman, dan aktivis politik Datuk Ibrahim Ali adalah di antara nama-nama yang menyerlah kerana keberanian mereka menegakkan keadilan.

Pasti di dalam kehidupan seharian mereka, tokoh-tokoh ini berdepan dengan ancaman yang pelbagai. Namun, kerana tegas dan benar, mereka disegani. Inilah yang membezakan di antara si berani dengan si pengecut. Seseorang tidak perlu menjadi selantang mereka membanteras kejahatan. Cukup sekadar berani menolak rasuah dengan membatukan diri bila kita berdepan dengannya buat kali pertama! Percayalah. Si pemberi akan mati akalnya kerana Tuhan sedang membantu.

Afala ta’ qilun. Tidakkah kamu berfikir?

Tuesday, February 9, 2010

BUAT APA MENYUSAHKAN DIRI?


Foto: neoseeker.com
APABILA
YANG SIMPLE
JADI BERSIMPUL


BERTAHUN dahulu, di tempat kerja saya yang lama, saya bertanya seorang teman,
“Jam berapa engkau sampai ke pejabat?”
Jawabnya, “Malam tadi aku tidur lewat sebab tengok bola. Pagi tadi aku terbangun lewat sebab bini aku tak kejutkan aku. Jalan ke pejabat jam sebab ada kemalangan. Kereta aku pulak semput dan mati enjin di tengah jalan…”
Keterangannya saya pintas dengan soalan, “Aku hanya nak tahu jam berapa engkau sampai ke pejabat. Itu aje!”

Perbualan di atas benar-benar terjadi. Ia menggelikan hati apabila saya teringat mengenainya. Ada orang suka bercakap lebih daripada yang sepatutnya. Mungkin, orang begini biasa menjawab soalan yang pendek dengan jawapan yang panjang kerana inginkan markah yang lebih ketika menjawab soalan peperiksaan. Tetapi, ia juga menggambarkan seseorang yang menyukarkan perkara yang mudah.

Mengapa kita perlu menyuap nasi dengan mengangkat tangan kanan ke belakang tengkuk untuk menyuap ke kiri mulut? Bukankah mudah jika kita terus menyuap nasi dari pinggan terus ke mulut? Sikap sesetengah daripada kita yang membelit sesuatu yang lurus ini memang pelik.

Meskipun ia bukan satu penyakit, namun jika direnungi, sikap menyukarkan perkara yang mudah itu adalah satu bentuk pembaziran masa, tenaga dan wang. Sebagai contoh, kita membazir masa dengan memanjang dan meleretkan percakapan. Dalam sesebuah majlis, kita yang memberi ucapan akan menyebut kesemua mereka yang kita anggap sebagai hadirin yang penting.

Kalau boleh, kesemua mereka yang bergelar Tan Sri, Datuk dan Datin disebut. Masalahnya, bila kita menyebut nama dan gelaran seseorang, kita khuatir mengecilkan hati orang yang tidak kita sebut. Akhirnya kita menyebut nama kesemua dif kehormat yang ada di pentas. Sepuluh minit terbuang begitu sahaja.

Walhal, jika kita memulakan ucapan dengan menyebut nama pengerusi majlis dan merangkumkan kesemua para dif kehormat sebagai para hadirin, itu sudah memadai dan tiada nama sesiapa pun yang tidak disebut atau tersasul gelarannya. Dengan cara itu, kita telah menjimatkan sepuluh minit dan tumpuan para hadirin dapat dikekalkan.

Sesuatu majlis yang seharusnya ringkas biasanya akan menjadi meleret-leret dengan upacara. Pemimpin yang datang untuk merasmikan majlis masih lagi diarak, dikompang dan dikepung dengan bunga manggar. Itu belum termasuk memotong riben ataupun menetak ais untuk mengeluarkan sebuah produk yang dilancarkan. Ais situ sendiri lebih gah daripada produk yang dilancarkan. Atas nama keraian, perkara yang sepatutnya mudah jadi susah.

Makanan yang disediakan untuk kebanyakan majlis juga berat-berat dengan pelbagai masakan. Padahal, VIP yang datang sudah makan di tempat lain. Oleh kerana makanannya banyak, maka masa yang diambil untuk duduk dan makan juga lama. Sepatutnya, dia hanya perlu menjamah sepotong kuih dan seteguk air. Tidak sampai seminit, si VIP sudah boleh beredar ke sebuah majlis yang lain pula.

Kita juga membazir masa kerana menyukarkan penyampaian ilmu yang sepatutnya dipermudahkan. Lihatlah sahaja kebanyakan judul buku-buku ilmiah. Tajuknya sahaja sudah seseorang mengambil masa beberapa minit untuk memahaminya. Misalnya, buku ‘Memotivasi Keintelektualan Fikrah Remaja,’ boleh sahaja menjadi ‘Membina Remaja Berfikir.’ Sekali lagi kita menyukarkan sesuatu yang seharusnya mudah.

Seolah-olah, para intelektual di bidang masing-masing mahu mengeksklusifkan ilmu di kalangan mereka sahaja. Sehinggakan orang biasa yang ingin memahami sesuatu bidang itu bingung dan lambat memahami sesuatu bidang itu. Benar, sesuatu bidang ilmu itu mempunyai istilah-istilah yang khusus. Namun, apabila istilah-istilah biasa tidak digunakan, sebenarnya mereka yang di dalam bidang itu sendiri pun terbuang masa untuk memahami ilmu bidangnya sendiri.

Di dalam bidang perniagaan, sesebuah syarikat yang ingin menghabiskan stok dan meningkatkan keuntungan bukan sahaja menjual barangannya dengan harga yang murah. Sebaliknya, ia menjalankan kempen membeli dengan kupon diskaun yang boleh ditukar dengan hadiah misteri (yang sebenarnya hanya kertas tisu), beli satu dapat dua dan belian dengan hadiah melalui gores dan menang (yang mana hadiahnya juga sepaket tisu). Andainya objektif asal adalah untuk menghabiskan stok dan meningkatan keuntungan, berilah sahaja diskaun yang besar tanpa gimik. Para pelanggan akan datang ke premis dan menghabiskan stoknya.

Kemajuan teknologi menjadikan pergerakan kita semakin pantas. Perjalanan darat dari satu tempat ke satu tempat yang memakan masa berjam-jam sudah menjadi beberapa minit sahaja melalui udara. Namun yang peliknya, semakin banyak masa dapat dijimatkan, kita semakin menyempitkan waktu dengan sikap kita sendiri.

Akibatnya kita kalah mengejar masa akibat kegagalan kita sendiri untuk berfikiran sejernih hablur dan bertindak selurus pena. Peredaran bumi yang mengakibatkan peralihan siang dan malam itu tidak pun berputar semakin laju. Kalau kita merenung jarum saat jam di dinding, pergerakannya masih konsisten seperti lazimnya.

Tetapi, oleh kerana sikap kita yang suka menyukarkan yang mudah, kita sendirilah yang mengheret langkah kaki dan memperlahankan tindakan. Padahnya, apa yang simple jadi bersimpul, yang lurus jadi berselirat, yang senang jadi sukar dan yang jernih jadi keruh.
Artikel ini terbit di akhbar Sinar harian pada 10.2.10.

DUA TIP UNTUK CALON TEMUDUGA


Foto: careerlism.com
CALON-CALON
YANG DICARI MAJIKAN

DI SEBALIK cerita-cerita pembuangan dan pemberhentian pekerja, skim pemberhentian sukarela iaitu voluntary separation scheme mahupun penutupan syarikat berikutan dengan masalah prestasi masing-masing, masih terdapat banyak lagi syarikat-syarikat yang tercari-cari pekerja baru.

Iklan-iklan di dada akhbar dan laman-laman web mencari pekerjaan masih melihat permintaan daripada pelbagai syarikat yang berkehendakkan pekerja baru berikutan dengan perkembangan bisnes masing-masing.

Ditambah pula, banyak juga perniagaan yang pada waktu dahulu tidak memerlukan pekerja yang ramai, kini sudah mula memerlukan warga kerja untuk menyudahkan pesanan dan tempahan para pelanggan yang kian bertambah. Kerja-kerja berupa industri belakang rumah pun sudah menggunakan mesin bagi pengeluarannya.

Kerana itu, perniagaan membuat rempeyek, bepang, kerepek dan jamu pun kini memerlukan tenaga kerja yang bukan sedikit. Dan perniagaan-perniagaan ini sudah tidak mengambil para pekerjanya melalui temuduga jalan-masuk atau walk-in interview semata-mata. Malah, syarikat-syarikat ini benar-benar menjalankan temuduga.

Calon-calon yang berkelulusan ijazah pun sudah diambil bekerja di syarikat-syarikat sebegini. Oleh kerana jurusan pembelajaran pada hari ini sudah begitu khusus, agaknya calon yang berkelulusan Ijazah Kulineri yang mengambil mata pelajaran Teknologi Kerepek sebagai kajian majornya ~ dialah yang akan terpilih!

Bagi syarikat-syarikat yang ingin menganjurkan temuduga, ia bukannya proses yang mudah. Calon-calon yang memohon pun semakin bertambah. Bagi setengah-setengah syarikat yang tersohor, berkarung-karung surat permohonan akan diterimanya setiap kali tawaran diwartakan. Itu tidak termasuk e-mel-e-mel peribadi atau permohonan langsung dari syarikat-syarikat mencari pekerja siber.

Sesuatu tarikh perlu diperuntukkan bagi sesuatu temuduga bagi sesebuah jawatan itu. Jika calon yang dicari adalah dari kalangan eksekutif, mereka yang terlibat sebagai penemuduga, tentulah para pegawai dari kalangan pengurusan syarikat. Sekurang-kurangnya pegawai berjawatan pengurus yang akan menjadi penemuduga. Panel temuduga sekurang-kurangnya tiga orang. Bayangkan masa (man-hour) yang diperuntukkan untuk mendapatkan calon.

Siapakah yang dipilih untuk menghadiri temuduga? Andai kata, syarikat berkenaan mengiklankannya, para pemohonnya boleh menjangkau melebihi 100 orang. Biasanya, dalam 100 pemohon, terdapat 90 calon berkelulusan untuk sesuatu jawatan itu.

Mengapa? Kerana kita sudah punyai berbelas universiti awam dan berpuluh-puluh universiti swasta. Justeru itu, kita mempunyai begitu ramai calon-calon yang berkelulusan. Mereka yang mempunyai CGPA atau markah gred purata kumulatif melebihi 3.00 pun semakin ramai.

Namun, daripada 90 calon yang berkelulusan itu, mungkin tidak sampai 10 orang yang berkelayakan untuk menjawat jawatan tersebut. Mereka yang berkelulusan sememangnya ramai. Tetapi yang berkelayakan itu amat sedikit. Ini yang menjadikan pencarian calon-calon yang berkelayakan semakin sukar.

Siapakah pula calon-calon yang berkelayakan? Atau, calon-calon yang bagaimanakah yang akan dicari majikan? Mereka tidak semestinya memperoleh tiga Anugerah Dekan untuk enam semester pengajian kerana mereka yang berkelulusan begitu sudah ramai. Yang dicari adalah calon-calon yang menunjukkan ciri-ciri kepimpinan dan yang ringan tulang.

Tiada ertinya menyertakan berpuluh-puluh sijil penyertaan kursus, bengkel, operasi khidmat siswa mahupun PLKN. Yang dicari adalah calon-calon yang pernah menjadi Pengerusi, Bendahari, Setiausaha ataupun setakat AJK Projek Khidmat Siswa, Persatuan Gamelan, Kelab Ragbi, Persatuan Catur ataupun Ahli Majlis Perwakilan Pelajar.

Ini adalah kerana mereka yang berjawatan dalam persatuan ada pengalaman menjadi ketua. Ketua dicari-cari oleh majikan dalam temuduga kerana mereka yang ada pengalaman memimpin, biasa mengambil keputusan, berbincang, bermesyuarat dan mengatur orang untuk melaksanakan sesebuah projek.

Mereka yang ringan tulang juga dicari-cari. Lagi banyak pengalaman sebagai jurujual, promoter di pasaraya, penjual burger, atau penghantar surat sebelum memohon jawatan, lagilah bagus kerana syarikat-syarikat pada hari ini berkehendakkan calon yang rajin dan berpengalaman bekerja sebagai orang bawahan.

Orang yang biasa bekerja di peringkat bawahan mudah memahami dan mengambil hati para pekerja operasi. Pekerja operasi adalah golongan yang teramai di dalam sesebuah syarikat. Mereka seperti tentera bagi sesebuah syarikat. Mereka umpama semut yang membawa sebutir nasi untuk memenuhi pinggan syarikat.

Rupa paras yang cantik atau wajah yang tampan sudah tidak menjadi keutamaan. Ini adalah kerana, kecantikan dan ketampanan pada hari ini sudah begitu mudah diperoleh. Dengan pakaian yang sesuai, dandanan yang berpadanan, sesiapa sahaja boleh make-over menjadi hensem dan cun. Justeru itu ia hanyalah faktor yang membantu.

Namun x-factor calon-calon pilihan, tetap mereka yang berpengalaman memimpin dan yang ringan tulang. Mereka yang berani membuat keputusan dan lasak bergelumang dalam realiti kehidupan menjanjikan sinar buat syarikat. Mereka tidak akan terperuk di dalam zon selesa. Apatah lagi mempunyai herd mentality.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.2.10.

Tuesday, February 2, 2010

KITA SEMUA DIBERI MASA 24 JAM


FOTO:MOMENTARYCLOUDINESS
KITA TIDAK SIBUK
TETAPI MENYIBUK

DARI semasa ke semasa, saya bertemu dengan orang yang kerap komplen mengatakan dia terlalu sibuk. Kononnya kerjanya tidak selesai kerana tugasannya banyak. Kalau dia bertugas di pejabat, dia memberi alasan kerjanya tidak beres kerana failnya bertimbun.
Kalau dia bekerja di luar pejabat, alasan tugasnya yang tertunggak itu berpunca kerana terlalu banyak temujanji yang perlu dihadiri hingga tidak sempat menyudahkan sesuatu kerja yang diberikan.

Dalam pada itu, saya biasa berjumpa dengan orang yang terpaksa menangani begitu banyak kerja, tetapi tidak pernah merungut. Segala kerja yang diberi diterimanya dengan selamba tanpa kerutan di dahi. Apabila tiba deadline, kerjanya siap sempurna dan menyenangkan hati.
Terdapat perbezaan yang ketara di antara orang yang suka komplen dengan orang yang tidak pernah merungut. Orang yang suka komplen biasanya bukannya sibuk, tetapi menyibuk.

Masanya kononnya tiada, tetapi dia sempat pula melayari internet, bersms mahupun bersembang dengan mereka di kiri dan kanannya dan juga di tingkat yang lain dengan cara berchatting.

Sebaliknya, orang yang tidak pernah merungut bila kerjanya banyak sebenarnya betul-betul menyibukkan diri dengan menyelesaikan segala tugas yang diberikan. Dia tidak membuang masa dengan menepati masa. Kerana itu, masa yang digunakan untuk menyiapkan sesuatu tugasan itu tidak panjang dan terbuang.

Apa yang membezakan di antara mereka yang berjaya dan mereka yang tidak pernah pun berjaya ialah cara mereka menangani masa. Orang yang tidak berjaya selalunya membazir masa. Sebaliknya orang yang berjaya selalunya menggunakan masa dengan sepenuhnya.

Pak menteri contohnya, merupakan orang yang berjaya. Dalam perjalanan ke tempat kerja, dia menghabiskan masanya dengan membaca akhbar. Sebaik sahaja memasuki pejabatnya, dia menghadiri mesyuarat dan brainstorming hingga ke tengahari. Waktu makan tengaharinya akan digunakan untuk berbincang dengan pelabur.

Kemudian dia akan menghadiri majlis perasmian, mungkin sebesar pelancaran sebuah kawasan perumahan ataupun sekecil memberi bantuan kepada fakir miskin. Sekembalinya ke pejabat, akan ada temujanji lagi ataupun dihubungi pihak media untuk memberi komen terhadap sesuatu isu berkaitan dengan kementeriannya.

Jamuan makan malam bukan semata-mata makan-makan dan sembang-sembang. Sebaliknya jamuan makan malam pak menteri selalunya penyeksaan dalam penantian. Ia dipenuhi dengan ucapan, penyampaian anugerah demi anugerah sebelum bersurai sehingga melewati jam 11.00 malam.

Pulang ke rumah, pasti ada penyokong parti yang menunggu memohon pandangan dan nasihat. Sehingga jam 2.00 atau 3.00 pagi dia mungkin perlu menyelesaikan tugas-tugas pejabat seperti menandatangani pelbagai dokumen sebelum dapat melelapkan matanya.

Seseorang biasa yang pandai menggunakan masa juga akan berjaya. Dia mungkin seorang kerani. Untuk memajukan dirinya, dia mengambil diploma melalui program Pengajian Luar Kampus. Pada hari-hari yang dia tidak menghadiri kelas, dia akan berniaga seperti menjual burger.

Ramai daripada kalangan mereka ini sudah berkeluarga dan masih boleh menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan ayah. Saya biasa menemui mereka yang membuat kerja sambilan dengan memandu teksi, berniaga, menjadi ejen jualan langsung, katerer dan juga broker.

Justeru itu, tiada sesiapa pun yang boleh komplen yang dia tidak mempunyai masa. ALLAH yang mencipta dan mengurus masa memberikan semua insan 24 jam sehari. Tiada seorang insan pun diberi lebih masa seperti 25, 26 atau 27 jam sehari agar dia dapat menjadi produktif lebih daripada orang lain.

Kerana itu, andainya dia masih komplen,
ertinya dia sendiri yang memendekkan masanya
kerana bukankah komplen itu membazir waktu?


Artikel ini terbit di dalam Sinar harian 27.1.10