Wednesday, January 20, 2010

MARI KITA BERKEMAS


Foto: strangepictures.net
KITA PENYIMPAN
SAMPAH TERHORMAT


APAKAH itu sampah terhormat? Frasa yang saya peroleh entah dari mana ini merujuk kepada barang atau benda yang sudah tidak berguna atau tidak relevan. Tetapi oleh kerana ia mempunyai nilai-nilai sentimental, atau kerana kemalasan kita sendiri, kita masih ingin terus menyimpannya. Ia tidak kotor, tetapi tidak juga berguna. Namun, bila kita mengarkibkannya, maka jadilah ia sampah terhormat.

Anda yang mempunyai meja di pejabat, bolehlah melihat di sekeliling anda sekarang. Apakah anda pasti, kertas-kertas yang tersusun di hadapan anda itu benar-benar berupa maklumat yang berguna untuk kerja anda ataupun hanya sampah sarap yang sepatutnya sudah lama dibakulsampahkan?

Lihatlah di kotak simpanan pen, Berapa banyak pen mata pena berdakwat merah, biru atau hitam yang tersimpan? Mengapa sampai menyimpan melebihi tujuh batang pen, sedangkan anda hanya memerlukan sebatang pen hitam, sebatang pen merah dan sebatang pen biru pada satu-satu masa? Berapa pula pen yang tidak berdakwat yang anda simpan? Sepatutnya ia sudahpun anda buang lama dahulu?

Bagi wanita pula, bukalah tas tangan anda. Apakah terdapat berhelai-helai resit keluaran wang ATM yang anda simpan? Mengapa pula terdapat kotak bedak kompak yang sudah kosong di situ? Bila anda hendak membuang plastik asam kecut sedangkan isinya telahpun habis anda telan? Dan, kenapa anda masih menyimpan di situ, puting susu anak yang anda beli di pasaraya minggu sudah?

Sampah terhormat juga terdapat di rumah. Seluklah ke dalam peti sejuk. Pasti terdapat keju yang sudah luput tarikh, kangkung yang sudah lunyai dan ataupun plastik-plastik kecil sos cili yang anda kumpul setiap kali anda memesan ayam goreng segera. Bukalah almari. Akan terdapat banyak sekali baju-baju lusuh yang seharusnya dijadikan kain buruk atau dibuang sahaja. Stokin yang tiada pasangnya, malah di situlah tersimpannya segala bil-bil api, air dan telefon sejak tahun 2000!

Sampah terhormat bukan benda mustahak pun. Ia hanya tampak berguna kerana kita punyai rasa kasih sayang yang tak kena pada tempatnya. Setiap kali kita berkemas, ketika itulah kita akan membelek apa yang selama ini kita simpan. Surat khabar lama, majalah lama, pinggan retak, bekas yang sudah hilang tudungnya atau tudung bekas yang hilang bekasnya adalah benda-benda yang kita masih hendak simpan lagi.

Bila menatap barang-barang ini, perasaan sentimental akan mengalir di dalam sanubari, lalu pisau yang tidak berhulu yang anda ingin buang itu anda simpan kembali ke dalam laci dapur. Kononnya anda lakukan itu kerana berasa pisau itu boleh diguna jika tiada pisau lain. Sedangkan anda sudah mempunyai empat bilah pisau yang baru anda beli. Oh, tidak!

Sikap bertangguh untuk berkemas akan memperbanyakkan sampah terhormat. Ia akan menyesak bilik pejabat, bilik tidur, peti sejuk, malah rumah anda. Bila ia menyesak, ia mula menyemak. Bila ia menyemak, fikiran kita akan jadi senak. Fikiran yang senak akan menurunkan produktiviti kerana mana boleh kita berfikir dengan tenang dalam suasana yang berserabut?

Sebab itulah, pakar-pakar produktiviti daripada Jepun melahirkan konsep 5S sebagai satu cara untuk mengekalkan produktiviti. 5S atau berkemas secara sistematik ini dikenali sebagai seiri, seiton, seiso, seiketsu dan shitsuke atau sisih, susun, suci, seragam dan sentiasa. Melalui sistem ini, suasana di tempat kerja akan kelihatan kemas dan tersusun.

Apabila semua barang ada di tempatnya dan semua tempat ada barangnya, maka kita tahu mencari apa yang dikehendaki dengan mudah. Bila kita hanya menyimpan apa yang perlu sahaja, ruang operasi tidak berselerak. Ini akan meringankan otak dan memberi kita semangat untuk bekerja.

Sampah terhormat dalam bentuk benda amat mudah untuk dikemas dan dinyahkan. Bagaimana pula dengan sampah-sampah terhormat yang tersembunyi, yang tidak memakan ruang fizikal yang besar? Sampah terhormat ini kurang disedari kerana kita tidak perasan akan kehadirannya. Lihatlah nombor-nombor telefon di telefon bimbit anda.

Bila anda mengambil keputusan untuk menyisih nombor-nombor yang anda tidak inginkan, senang-senang lebih daripada 20 nombor yang anda simpan itu sudah tidak berguna lagi. Mungkin nombor itu sudah tamat perkhidmatannya ataupun kita menyimpan nombor orang yang sama tetapi menggunakan dua nama yang berbeza. Ataupun, kita menyimpan mesej-mesej lama yang termasuk juga alamat rumah pengantin dan senarai nama buku anak ketika hendak membeli buku sekolah untuknya pada hujung tahun lalu.

Di dalam komputer juga terdapat sampah terhormat. Di dalam peti e-mel, kita menyimpan e-mel berantai, e-mel daripada kawan lama dan minit mesyuarat lama. Ada juga perisian versi lama yang kita simpan, sedangkan kita sudah ada versi baru. Ini tidak termasuk imej, permainan atau fail-fail yang kita sendiri tidak tahu bila ia ada di dalam komputer kita. Kehadiran sampah terhormat di dalam komputer, melembabkan kelajuannya.

Dan, akhir sekali, satu lagi tempat singgah sampah terhormat ialah di dalam minda kita. Ada banyak sekali sampah di dalam minda yang sepatutnya sudah lama kita buang. Sampai bila kita hendak menyimpan dendam kepada orang yang sudahpun kita maafkan? Mengapa kita menyimpan rasa benci terhadap seseorang artis, ustaz atau ahli politik, sedangkan dia tidak pernah menyusahkan kehidupan kita secara peribadi?

Kalaulah kita punyai perisian anti-virus untuk otak seperti perisian anti-virus komputer, segala sampah terhormat di dalam minda kita akan dapat dibersihkan setiap kali kita bangun pagi. Sama seperti komputer membersihkan virus setiap kali komputer dibuka. Bila minda bersih, sampah terhormat yang besar-besar di sekeliling kita mudah sekali dilupuskan dari pandangan mata dan fikiran.


Artikel ini terbit di akhbar SINAR HARIAN 20.1.10.

Wednesday, January 13, 2010

JADILAH ANAK JANTAN


Foto: mocoloco

LELAKI YANG
BUKAN ANAK JANTAN

IZRA adalah teman sebilik anak perempuan saya di hostel. Sebagai seorang siswi yang tinggal jauh daripada ibu dan bapanya, Izra kerap berkunjung ke rumah saya pada hujung minggu. Itupun sekiranya dia tidak keluar berdating dengan teman lelakinya. Oleh kerana dia kerap datang ke rumah, selalu juga saya bersembang dengannya.

Pada suatu hari, Izra tampak muram. Lama sangat murungnya. Saya mengagak remaja sepertinya tidak mungkin bermuram begitu lama jika tidak kerana bermasalah dengan teman lelakinya. Oleh kerana risau dengan kerisauannya, saya mula menyelidik. Benar. Soalan saya dijawab dengan anggukan yang lemah, tanda dia tidak berdaya berdepan dengan problemnya.

Mengikutnya, semakin sehari, teman lelakinya kian bergantung kepadanya. Mula-mula sekadar meminjamkan buku-buku rujukan, kemudian teman lelakinya meminta pula nota-nota kuliah untuk disalin apabila dia ponteng. Sebagai teman, Izra ingin sekali membantu orang yang disayangi.

Namun, semakin sehari, teman lelakinya semakin menyalahgunakan kebaikan gadis itu. Bermula dengan belanja makan, si teman lelaki sudah mula meminta Izra membuat top-up telefon bimbitnya, meminjamkan wang, membelikan pakaian dan akhirnya membasuhkan juga pakaiannya. Izra bukan sahaja menjadi teman wanita, tetapi akhirnya menjadi peminjam wang dan juga tukang dobinya.

Saya nasihatkan Izra agar berfikir panjang mengenai masa depannya sebagai siswi. Sebagai orang yang belum bergaji, dia perlukan setiap sen wang PTPTNnya untuk menampung kos pengajiannya. Dia tidak boleh menanggung orang lain, apatah lagi seorang teman lelaki. Ya. Seorang lelaki.

Apa yang dihadapi oleh Izra menjadikan saya kian bimbang dan rimas. Ini adalah kerana, semakin sehari, saya makin kerap terdengar cerita lelaki-lelaki yang bukannya anak jantan. Golongan ini adalah jenis yang lemah semangat dan pendirian. Mereka tidak berkeupayaan untuk berfikir dan memajukan diri. Berwawasan jauh sekali.

Saya teringat satu insiden beberapa tahun dahulu. Rakan sepejabat saya, Fazli menjawab telefon dengan suara tinggi dan membentak-bentak. Setelah meletakkan telefon, saya bertanya Fazli, apa yang membuatnya menyinga. Katanya, dia menerima panggilan bekas teman serumahnya, si polan yang hendak meminjam wang.

Fazli begitu marah kerana kawan lamanya itu sudah pun bekeluarga. Perangainya suka meminjam wang dan berhutang telah menjadi karakternya. Padahal, gajinya lebihkurang sama dengan Fazli. Kata-kata Fazli itu masih terngiang-ngiang di telinga saya,

“Sampai bila dia nak hidup dengan meminjam dan berhutang? Dia sudah ada keluarga, bukannya masih bujang! Bukan anak jantanlah, kalau hidup masih ditanggung orang!”
Di kalangan anak muda, golongan lelaki yang bukan anak jantan, hanya menghabiskan beras.


Mereka bukannya memilih kerja, malah tidak mahu bekerja langsung. Mereka enggan membantu kerja-kerja di rumah walaupun sekadar menolong menghantar adik ke sekolah. Mereka lebih suka berlingkar di tempat tidur di sepanjang hari kerana mereka manusia malam.
Ada juga lelaki yang sepatutnya menjadi ketua keluarga lebih suka membiarkan si isteri menanggung segala perbelanjaan seisi rumah. Sewa rumah, bil api, air, astro dan perbelanjaan dapur semuanya ditanggung isteri. Gajinya hanyalah untuk dirinya sendiri.

Keadaan pada hari ini di mana si isteri turut bekerja bagi menampung ekonomi keluarga turut menjadikan lelaki yang bukannya anak jantan, naik lemak. Sikap baik si isteri ingin membantu akhirnya menjerat diri. Akhirnya, memberi nafkah kepada keluarga sudah beralih kepada si isteri.

Lelaki sebegini mempunyai pandangan yang terbalik. Dia menjadi ketua keluarga atas kebetulan semata-mata. Entah-entah kahwinnya juga disponsor sepenuhnya oleh ibu dan bapa. Dia tidak tahu peranan, tanggungjawab dan kewajipan sebagai ketua.

Mereka mungkin sekali tidak menerima didikan mengenai peranan lelaki sebagai ketua, pemimpin dan suami daripada ibu bapa. Kelelakian adalah pembinaan peribadi tidak terdapat dalam sukatan pelajaran sekolah. Kerana itu, ibu bapalah yang seharusnya mencorakkan mereka agar menjadi lelaki yang sebenarnya, mengikut fizikal, mental dan perwatakannya.

Bila tiada didikan, golongan ini tidak tahu peranan mereka. Lalu mereka berbuat sesuatu mengikut suka hati. Akhirnya mereka menjadi lelaki-lelaki yang tiada kekuatan jiwa, rasa ingin merdeka untuk mencari rezeki sendiri dan ingin menguasai dengan menjadi pelindung keluarga yang mereka ketuai.

Oleh kerana lemahnya fikiran untuk belajar daripada suasana sekeliling, memperoleh ilmu melalui pembacaan dan mendapat iktibar melalui tatapan di TV mahupun internet, mereka tidak tahu yang mereka tidak tahu pentingnya ilmu menjadi anak jantan. Akhirnya mereka bukannya menjadi pemberi, sebaliknya hanya menjadi peminta, sama ada kepada kekasih, isteri mahupun ibu sendiri.

Dalam pada itu, masih ramai lagi lelaki yang mempunyai sifat-sifat anak jantan. Lihatlah mereka yang bekerja sebagai petani, pesawah, nelayan, peneroka, drebar teksi, askar dan apa jua kerja-kerja yang memerlukan tenaga tulang empat kerat. Walau betapa susah dan payahnya mereka, dapur di rumah sentiasa berasap dan anak-anak mereka cemerlang di dalam pelajaran.

Jika direnung, pertambahan lelaki yang tidak bersikap seperti anak jantan berpunca daripada kita yang sudah hidup selesa. Tentu sekali kita selesa hari ini kerana bermula dengan kepayahan. Bila sudah senang, kita tidak mahu anak-anak kita susah seperti kita dahulu.
Lalu kita tidak mahu melasak anak kita dengan kesusahan dan kepayahan.


Tanpa kita sedari, anak-anak kita dimanjakan. Bangun pagi dikejut, tidurnya didodoi. Ke sekolah dihantar dan kembalinya dijemput. Mereka hanya duduk goyang kaki dan makan tidur di rumah. Sebiji pinggan pun mereka tak perlu mereka basuh. Biar ibu atau bibi sahaja yang menguruskan.

Jika kita inginkan anak-anak yang teguh personalitinya, kita harus berani memberi kesukaran kepada anak-anak, khususnya anak-anak lelaki. Latihan yang mensasarkan kepada pembinaan fikiran sudah terlalu banyak ditumpukan. Apa yang perlu dititikberatkan pula ialah latihan untuk membina fizikal.

Latihan kelasakan, keberanian, kecekapan dan ketangkasan fizikal perlu dijalankan seiring dengan latihan mental. Ertinya, kita perlu latih anak kita berlari, melompat dan memanjat. Mempekakan naluri kelelakian ini akan melahirkan lelaki yang bersikap seperti anak jantan!

Tuesday, January 5, 2010

BERANI BERKATA TIDAK


Foto: Beothuckstreetplayers.org
BERANI BERKATA TIDAK
KEPADA JURUJUAL


PADA suatu petang Ahad, saya terdengar bunyi loceng menandakan ada seseorang di luar rumah. Sebaik sahaja saya membuka pintu, saya terpandang seorang pemuda berbaju putih, berseluar hitam, berbeg coklat dengan tali leher berwarna merah.

Sebaik sahaja terpandang saya, dia berkata sesuatu yang sudah saya agak isinya. Tanpa membuang masanya dan masa saya, terus sahaja saya menggeleng dan mengibarkan tangan saya tanda tidak berminat untuk mendengar apa yang dipromosikannya. Saya segera menutup pintu.

Tidak lama kemudian, saya terdengar riuh-rendah suara jiran saya yang terdiri daripada gadis-gadis bujang. Suara mereka berselang-seli dengan suara pemuda yang singgah ke rumah saya sebentar tadi. Tahulah saya, pemuda yang mengunjungi rumah saya itu kini sudah berada di rumah sebelah.

Termenung saya seketika. Jika tidak melakukan sesuatu, nampak gaya, gadis-gadis itu akan tertewas dengan pujuk rayu si pemuda itu. Lantas saya keluar rumah dan memperkenalkan diri sebagai saudara kepada gadis-gadis itu.

Dengan hormat, saya meminta pemuda yang menjual penapis air itu beredar kerana saya tahu jiran-jiran saya itu tidak berminat untuk membeli apa yang dijual oleh pemuda itu. Jika dibiarkan, mereka akan tewas berhujah lalu membeli apa yang mereka tidak ingini.

Kesukaran berkata ‘tidak’ kepada jurujual adalah di antara kelemahan sebahagian besar di antara kita. Kerana tidak mahu melukakan hatinya atau kerana kasihan, maka kita sanggup membiarkan diri dihujani dengan pujukan demi pujukan jurujual. Akhirnya, kita termakan rayuan dan terbeli sesuatu yang tidak berguna bagi mereka.

Kerapkali saya berdepan dengan golongan ini. Di gedung pakaian, saya selalu diekori jurujual agar memilih lebih daripada sehelai pakaian. Di foyer kompleks membeli-belah, saya kerap diterpa oleh amoi yang menyapu lengan saya dengan pewangi. Bila saya menoleh, dia cepat-cepat memperkenalkan produknya. Dan saya pernah dikerumuni sekumpulan remaja yang menanti saat saya bertentang mata dengan salah seorang daripada mereka sebelum dia menerjah saya dengan hujan celoteh jualannya.

Pernah juga saya didatangi oleh pemuda yang mengganggu saya ketika makan hanya untuk memperkenalkan saya dengan satu pelan percutian. Itu belum lagi dengan remaja-remaja ‘gores dan menang’ yang cuba menipu saya dengan selamba. Kepada mereka ini, saya selalu menasihatkan agar mereka sendirilah yang menyertai peraduan itu sekiranya ia benar-benar menguntungkan. “Lu sendili goles, lu sendili menangla,” begitulah jawapan saya hingga ada yang menggaru kepala sambil tersengih-sengih.

Tetapi, selalunya saya tidak akan memberi golongan jurujual ini peluang untuk bercakap. Apabila mereka menghampiri, saya sudah bersedia untuk mematahkan taktik mereka. Sebaik sahaja mereka membuka mulut, saya hanya menunjukkan ibu jari sebagai tanda ‘bagus.’ Kalau seminit mereka bercakap, selama seminit jugalah saya akan mengangkat ibu jari tanpa berkata apa-apa melainkan menghadiahkannya sebuah senyuman plastik. Saya akan terus mengangkat ibu jari saya sehingga mereka penat bercakap!

Seandainya saya dihampiri ketika saya sedang makan, saya hanya akan menggeleng dan berkata ‘no’ lalu terus makan tanpa mempedulikan mereka. Seolah-olah mereka tiada di situ. Cara begini akan membuatkan mereka beralih kepada bakal pelanggan mereka yang lain.

Apakah saya tidak kasihan kepada mereka ini yang ingin mencari sesuap nasi? Tidak. Saya tidak bermaksud untuk memandang enteng akan profesyen jurujual ini. Sebabnya, saya pernah membeli pelbagai barangan seperti mesin kira, pen, buku dan CD daripada mereka ini.

Saya hanya ingin sampaikan peri pentingnya kita membeli kerana kita inginkan sesuatu barangan. Bukan terbeli kerana dikelentong oleh jurujual. Dan, saya kasihankan diri kerana tidak petah berhujah dengan jurujual. Kepetahan mereka boleh mematikan akal kita.

Para jurujual adalah anggota promosi yang amat terlatih. Mereka diajar untuk mematahkan hujah bakal pelanggan. Pendekatan AIDA atau attention, interest, desire and action iaitu perhatian, minat, berkehendak dan bertindak adalah formula yang selalu digunakan oleh para jurujual. Justeru itu, jika kita tidak tertarik dengan sapaan awal mereka, seluruh taktik mereka akan dapat dipatahkan.

Saya juga tahu, seandainya mereka gagal menarik seseorang pelanggan yang selamba dan berhati kering seperti saya, percayalah, kes saya akan dibincangkan di dalam mesyuarat harian mereka pada keesokan harinya. Mereka akan mencari jalan bagaimana untuk berdepan dengan pelanggan seperti saya. Setelah itu, mereka akan keluar menemui pelanggan dengan lebih bersemangat.

Saya tahu semua taktik ini kerana saya pernah
menjadi salah seorang daripada mereka!


Artikel ini tersiar di akhbar Sinar Harian, 6.1.10.