Thursday, October 22, 2009

MENGENAI SEMANGAT


Foto: irwanmuhammadzain.wordpress
MENGAPA SEMANGAT
MUDAH HILANG



APABILA kita menghadiri satu-satu perhimpunan, tidak kira sama ada perhimpunan politik, malam anugerah syarikat jualan langsung mahupun majlis pelancaran sesebuah produk, ramainya kehadiran para pesertanya sudah cukup menguja hati dan minda. Pakaian mereka yang seragam ataupun sefesyen akan menjadikan kita berasa bahawa para pesertanya sudah sependapat dari segi zahir.

Hiasan pentas dengan tulisan besar, yang mempamerkan tujuan perhimpunan itu, logo persatuan yang terpampang serta foto gergasi ketuanya yang tampak hebat kerana saiznya, akan menjadikan kita turut berasa gah.

Tata cahaya yang menyentuh kaca candelier lalu menjadikan ia berkilau seperti berlian, kain satin berwarna-warni yang beralun-alun seperti ombak di langit dewan, hiasan sepanduk yang berjurai-jurai di tiang-tiang seri dewan perhimpunan serta belon-belon yang tergeleng-geleng ditiup angin penghawa dingin akan membuat kita terpegun penuh kekaguman.

Dan, apabila majlis bermula dengan lagu pertubuhan, lagu syarikat atau lagu tema yang dinyanyikan beramai-ramai hingga dewan bergema, ia pasti akan menggetar perasaan. Apabila tokoh utamanya bercakap, berucap dan berpidato, tumpuan semua mata akan ke wajahnya di layar besar. Kesemuanya akan terpaku kaku memerhati ekspresi wajah dan gerak bibirnya.

Ketika tokoh itu bersyarah, tepukan akan mengiringi, gelak tawa akan menghiasi dan pendengar yang terjal dan berani akan menyampuk untuk menghidupkan komunikasi dua hala. Akhirnya, bila tokoh utama bertempik, para hadirin akan terjerit, bila tokoh utama melaung, para hadirin akan menyahut dengan suara yang menggaung. Ketika itu, bulu tengkuk sudah berdiri dan jantung telah berdegup kencang. Semangat kian membara dalam gegak gempita suasana.

Namun, sebaik sahaja acara selesai dan para hadirin berbondong-bondong ke dewan bankuet, kehangatan perasaan sebahagian besar daripada mereka tiba-tiba mendingin! Fikiran sudah teralih daripada ingatan terhadap kata-kata semangat yang dilontar tokoh kepada juadah apakah yang sudah terhidang. Tajuk perbualan sudah tidak lagi mengenai apakah pesanan dan amanat si tokoh, tetapi perbualan basa basi yang sudah basi seperti ‘apa khabar,’ ‘kerja di mana,’ ‘baju you cantik,’ yang diselangi dengan ha-ha-ha yang tak berkesudahan.

Di mana perginya semangat yang membara hingga hendak terbakar seketika tadi? Mengapa fikiran dan pertuturan sebahagian besar daripada mereka boleh berputar 180 darjah, sama seperti sebelum memasuki dewan perhimpunan? Apakah yang telah terjadi? Andainya suara si tokoh boleh dilihat, agaknya kita boleh nampak bagaimana suaranya itu menerobos telinga kanan dan keluar melalui telinga kiri sebahagian besar para hadirin. Ya, semangat sebahagian besar daripada para hadirin sudah terbang menghilang.

Apakah itu semangat kalau ia bukannya perasaan kuat mengingini sesuatu? Justeru, jeritan dan laungan yang bertukar menjadi kebisuan sebaik sahaja majlis tamat itu menandakan semangat yang dizahirkan itu bukan semangat sebenarnya. Sekali pandang, kesemua yang hadir melontarkan suara lantang dengan tangan tergenggam ke udara, seolah-olah sudah menuturkannya penuh semangat.

Padahal, apa yang sebilangan daripada mereka zahirkan adalah semangat yang dibuat-buat. Yang dipertontonkan kepada orang lain supaya jangan tidak orang lain melihat dia tidak bersemangat. Ada juga yang melahirkan semangat kerana terikut-ikut dengan keadaan. Bulu romanya juga berdiri, suaranya pun bergetar, tetapi pada ketika itu sahaja. Pekikannya dilakukan kerana kesan ‘mob psychology’ atau terpengaruh dengan suara dan aksi ramai.

Lazimnya sebilangan besar daripada mereka yang menghadiri sesebuah perhimpunan itu menzahirkan semangat yang dibuat-buat atau bersemangat kerana terikut-ikut. Biarpun ia semangat plastik, namun jumlahnya yang ramai itu memberi kesan terhadap pandangan ramai terhadap kumpulan itu.

Kerana itulah, kini banyak pertubuhan amat memerlukan golongan ini. Parti-parti politik menggunakan golongan pengikut sebagai tukang sorak pada setiap ceramahnya. Mereka berpindah-randah mengikut penceramah untuk menghidupkan suasana agar kehebatan tokoh parti politik itu menyerlah.

Syarikat-syarikat jualan langsung juga ada ahli-ahli baru yang masih mempunyai impian kejayaan yang masih segar. Merekalah yang meriuhkan majlis hingga menarik mereka yang belum ahli menyertai skim jualan langsung itu. Malah, syarikat-syarikat persembahan menggunakan penonton yang dipanggil ‘fanatic’ untuk berdiri berhampiran dengan pentas persembahan artis dan membuat riuh agar semangat konsert tumpah kepada penonton yang lain untuk menari dan bertepuk sama.

Ya, semangat yang sekejap-sekejap, yang lahir di bibir dan yang datang daripada luar tidak akan kekal lama. Yang teguh, yang ampuh adalah semangat yang mengalir di dalam pembuluh darah. Ia meresap ke dalam jantung dan bersarang di minda. Namun, semangat yang datang daripada dalam diri seseorang itu tidak mudah diperoleh.

Ia perlu dihayati dan dijiwai kerana semangat atau perasaan yang kuat berkehendakkan sesuatu itu menjelma hasil kesedaran bila seseorang itu bertafakkur dan bermuhasabah. Tidak kira sama ada semangat memperoleh kejayaan dunia mahupun kejayaan akhirat, semangat akan bersemarak di dalam jiwa setelah seseorang memahami sejarah diri mahupun kelompoknya.

Semangat akan datang bila seseorang memandang ke belakang atau menghayati sejarah. Sejarah itu pula amat penting kerana ia berkait rapat dengan ‘reflective thinking,’ atau tadabbur. Berfikir dan merenung dengan tenang. Kerana itu, andainya kita asyik memandang ke hadapan atau berwawasan, semangat tidak akan diperoleh.


Oleh kerana kita asyik memikirkan masa depan ataupun berwawasan, sebab itulah kita hanya teruja untuk bertempik. Bila kita berhenti menjerit, tiada semangat yang bertakung di dalam dada. Inilah yang terjadi kepada sebilangan besar daripada kita. Ada inspirasi, ada motivasi tetapi tidak reti menyimpan semangat kerana tidak kenal sejarah.

Tuesday, October 6, 2009

MENGAPA KITA MESTI MEMBACA


Foto: conciousexpeditions.com
JANGAN BERCAKAP
SEPERTI ORANG LAIN


INDUSTRI penerbitan buku tempatan kini berkembang dengan begitu pesat sekali. Penghasilan buku-buku pula memperlihatkan perkembangan yang amat memberangsangkan. Kegawatan ekonomi yang dikatakan menjejaskan beberapa sektor industri tidak mengheret industri penerbitan buku untuk turut menggelongsor.

Bagaimana pun, di sebalik kerancakan dan peningkatan jualan buku, kita masih tidak nampak kegilaan membaca buku dijadikan budaya. Kalau ada pun mereka yang meminati membaca, golongan ini tidaklah ramai kalau dilihat dengan pandangan kasar. Masih tidak ramai yang membaca buku di dalam LRT, di taman-taman rekreasi ataupun di mana-mana tempat menanti seperti di bank atau kaunter-kaunter jabatan kerajaan.

Kehebatan siaran televisyen membuatkan mata kita terpaku ke skrin TV. Ia bukan sahaja mengambil alih masa untuk aktiviti riadah, komunikasi di dalam keluarga dan malah juga tabiat membaca.

Siaran hiburan yang disertai dengan warna, bunyi dan suara membuatkan kita terpukau sehingga ramai di antara kita yang memperuntukkan sejumlah masa dalam sehari untuk menonton TV. Rancangan TV yang berbentuk pengetahuan pula, bila disiar dengan menggunakan kesan khas imej dan bunyi kian menjadikan kita asyik hingga kita mempunyai tanggapan bahawa kononnya kita sedang belajar dan bukan berhibur.

Tanggapan ini juga mengurangkan minat seseorang untuk membaca. Padahal, aktiviti menonton apa bentuk siaran pun adalah sejenis aktiviti pasif dalam konteks meningkatkan kecerdasan minda dalam menganalisa sesuatu perkara yang dibentangkan.

Bila kita memperkatakan mengenai tabiat membaca, mengapakah lazimnya ia bermaksud tabiat membaca buku? Bukankah membaca juga termasuk membaca majalah, akhbar malah membaca daripada sesebuah artikel di dalam laman internet? Bagi saya, terdapat kelainan kesan yang membezakan di antara membaca buku, akhbar, majalah mahupun daripada laman di internet.

Apa yang dibaca di akhbar biasanya berbentuk berita atau maklumat. Maklumat belum tentu lagi menjadi pengetahuan. Lagi pula, berita-berita biasanya disiarkan dalam bentuk cebisan yang pendek-pendek. Ketika membaca sesebuah berita, ekor mata pula akan tertarik dengan berita berhampiran. Ini membuatkan seseorang yang menatap akhbar, tidak dapat menatapnya dengan penuh konsentrasi.

Artikel di dalam majalah pula, meskipun lebih panjang, namun ia belum juga dapat memberi kesan yang mendalam terhadap si pembaca. Dia mungkin memperoleh maklumat dan juga pengetahuan asas mengenai apa yang dibacanya tetapi ia belum cukup untuk meningkatkan kecerdasan otak khususnya daya analisa terhadap sesuatu perkara yang dibentangkan.

Membaca laman-laman di internet pula boleh memberi kelainan. Seseorang boleh melayari pelbagai laman yang berkaitan dengan apa yang diingininya. Namun, oleh kerana capaiannya begitu luas, seseorang itu perlu banyak menapis maklumat pula kerana sebahagian daripada apa yang diperoleh di laman web adalah sampah terhormat ataupun maklumat yang belum tentu ada kredibilitinya.

Justeru itu, membaca buku adalah jawapan kepada tabiat membaca yang terbaik. Ambil lah sebuah buku yang bagus dan tataplah. Apabila sehelai demi sehelai halaman diselak, ia adalah sebuah perjalanan yang panjang. Ertinya, ia adalah satu senaman minda yang lama. Jika membaca akhbar adalah umpama lari jarak dekat, membaca majalah mahupun melayari internet adalah larian jarak jauh, membaca buku pula adalah satu maraton.

Bila membaca buku, otak dilatih untuk menumpukan fikiran terhadap sesuatu dalam jangka masa yang panjang. Ini adalah kerana, sesebuah buku lazimnya hanya membicarakan sesuatu topik dengan mendalam. Ia berbeza dengan akhbar dan majalah yang memaparkan sesuatu yang berbentuk selayang pandang. Kerana itu, bila membaca buku, kita menjadi lebih kreatif dan analitikal.

Seorang penulis buku sebenarnya menurunkan apa yang berselirat di dalam mindanya di atas kertas. Fikiran itu disusun semula dari segi struktur ayat, nahu dan bahasa agar mudah difahami oleh si pembaca. Justeru itu, bila kita membaca sesebuah buku, kita juga sedang menjalin perhubungan psikik dengan si penulis. Penulisnya tiada di sisi, tetapi tulisannyalah yang kita tatap. Apa yang diteliti adalah pemikirannya yang sudah tersusun.

Setelah kita membaca halaman terakhir dan menutup bukunya, kita juga sebenarnya sudah menghadam sebahagian daripada minda si penulis. Bayangkan, penulis mungkin mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan tulisannya. Kita hanya mengambil masa semalam untuk meratah apa yang dihidangnya!

Saya teringat sebuah lawak seorang teman ketika di kampus dahulu. Ketika itu, fahaman komunis dan Mao Tse Tung begitu digeruni. Teman saya itu dengan selamba berkata, “Kalau engkau nak tahu, aku boleh lebih pandai dari Mao Tse Tung.”

“Bagaimana?” tanya saya.

“Aku akan lebih pandai daripada Mao Tse Tung kalau aku baca kesemua buku tulisannya dan kemudian aku baca senaskhah buku lain!”

Meskipun ia lawak, namun, secara literal, kita boleh berfikiran seperti si penulis seandainya kita membaca buku-bukunya. Tentu sekali bila kita membaca pelbagai jenis buku dari pelbagai penulis, kita juga sebenarnya ‘berkawan’ dengan mereka. Cara berfikir kita juga akan turut berubah dan terlahir ketika bergaul.

Jika kita rajin memerhati, kita akan dapati seseorang yang rajin membaca biasanya bukan berbual, tetapi berbicara. Dia tidak memperkatakan hal-hal klise bila bercakap. Selepas bertanya khabar secara berbasa basi, dia akan memperkatakan perkara di sebalik cerita dan berita.

Dia tidak akan bercakap mengenai calon manakah yang akan menang dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, tetapi apakah nilai-nilai yang dipegang oleh parti-parti yang bertanding. Dia tidak akan memperkatakan mengenai gempa di Padang, tetapi apa yang berlaku di kerak laut kepulauan Tonga. Dia tidak akan memperkatakan mengenai bencana alam, tetapi mesej yang Tuhan hendak sampaikan kepada kita. Pertuturan kita menggambarkan apa yang kita baca.

Kalau kita malas membaca, apa yang kita cakap itu sama seperti orang lain!
p.s: Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian, 7.10.09